AGAK menakutkan apabila dikatakan wabak rusa zombi sudah melanda beberapa wilayah di Amerika Syarikat sekali gus menggemparkan dunia.
Penyakit yang dikatakan boleh membawa maut itu mula dikesan buat pertama kalinya di Taman Negara Yellowstone yang mana melibatkan haiwan liar seperti rusa, kijang, elk dan moose.
Lapor Al Jazeera, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) merumuskan fenomena tersebut sebagai slow-moving disaster yang mana ia ‘memakan’ otak haiwan sehingga menyebabkan gejala seperti demensia.
Apa yang lebih membimbangkan, penyakit tersebut menyebabkan simptom seperti tidak bermaya, air liur meleleh dan merenung jauh tanpa sebarang pergerakan.
Kalau keadaan bertambah buruk, mangsa boleh bertindak agresif dan hilang berat badan secara mendadak.
Malah, jangkitan tersebut boleh berlarutan dalam tempoh yang lama dan boleh membawa kepada kematian.
Sementelah, sehingga kini masih tiada penawar atau vaksin ditemui bagi penyakit tersebut.
Meskipun masih belum jelas punca sebenar wabak tersebut, namun setakat ini ia melibatkan semua spesies haiwan bersifat ruminan (pemakan tumbuhan) daripada keluarga Cervidae.
Menurut portal itu lagi, kajian saintifik menunjukkan Penyakit Buangan Kronik (CWD) itu disebabkan sejenis set protein yang hampir tidak boleh dihancurkan dalam badan yang boleh menjejaskan haiwan dan manusia.
Impaknya, boleh menyebabkan gangguan kesihatan seperti neurodegeneratif progresif yang mana ia sebenarnya kes yang jarang-jarang berlaku di dunia.
Bukan itu sahaja, ia boleh berlaku selepas sistem saraf terutamanya pada bahagian otak rosak teruk dan sedikit demi sedikit melumpuhkan sistem tubuh.
Risiko jangkitan
Apa yang membuatkan ramai panik, kajian menunjukkan kes yang sudah merebak ke seluruh Amerika Utara itu boleh berjangkit dengan manusia.
Justeru, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah menggesa kawalan penularan wabak dengan mengenal pasti haiwan dijangkiti tidak termasuk dalam rantaian sumber makanan manusia.
Meskipun masih belum ada bukti kukuh bahawa manusia boleh dijangkiti CWD daripada haiwan, namun WHO mahu langkah berjaga-jaga dilaksanakan segera.
Ini kerana para saintis tidak menolak kemungkinan daging rusa yang dijangkiti wabak penyakit berisiko dimakan oleh manusia tanpa disedari.
Baca juga Bahaya! Wabak Salmonella dalam produk coklat Kinder menular di 11 negara. 10 fakta berkaitan
Lebih memeranjatkan, CDC juga menganggarkan sebanyak 15,000 haiwan dijangkiti CWD dimakan setiap tahun.
Jika daging tidak dimasak elok atau hanya separuh masak jer, boleh dikatakan risiko penyakit lebih tinggi.
Bukan itu jer, jangkitan wabak rusa zombi juga boleh merebak melalui air liur, air kencing, darah atau najis dan ia boleh kekal dalam persekitaran untuk tempoh masa yang lama.
Setakat artikel ini ditulis, sekurang-kurangnya 31 negeri di Amerika Syarikat dan tiga wilayah Kanada dilaporkan berdepan kes tersebut sehingga November lalu.
Agak merisaukan bila kes sama juga direkodkan berlaku di Norway, Finland, Sweden dan Korea Selatan.
Bagaimanapun, menurut kajian Geologi Amerika Syarikat, kes pertama rusa zombi buat pertama kali ditemui di Colorado pada tahun 1967.
Maknanya, jangkitan tersebut pernah berlaku sebelum ini, kan? Harap-harap belum ada kes sama berlaku di Malaysia.
Jika anda seorang penggemar daging khususnya rusa, pastikan ia dimasak dengan sempurna dan jaga kebersihan diri ya!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang