[DIKEMAS KINI] IBU bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu pada Disember tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, pasangan berusia 29 tahun itu, didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga jam 9.55 malam, 6 Disember.
Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron manakala pembelaan oleh peguam, Fahmi Abd Moin dan Mahmud Jumaat.
Baca juga: Luahan bapa Zayn Rayyan di mahkamah. 'Saya dianiaya, ini semua fitnah'
Baca juga: 'Kami akan terus kuat.' Lepas ibu ayah, datuk & nenek Zayn Rayyan pula ditahan polis
Kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan masing-masing sebanyak RM10,00 dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
DATUK & NENEK DIBEBASKAN
Sementara itu, penahanan datuk dan nenek kanak-kanak autisme itu semalam adalah untuk membantu siasatan.
"Berkenaan status tangkapan datuk dan neneknya semalam, saya dimaklumkan kedua-duanya akan dilepaskan pada pagi ini.
"Mereka berdua juga akan dibawa ke mahkamah ini bagi tujuan jaminan polis," kata Fahmi kepada media.
Menerusi laporan Astro Awani, pasangan itu telah ditahan dalam tempoh 24 jam untuk membantu siasatan dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Pada 6 Disember tahun lalu, mayat kanak-kanak berusia enam tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai, selepas hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan badannya akibat mempertahankan diri.