SIAPA pun pasti akan mengingati kes wanita yang dipukul suami ketika hamil bertarung nyawa hingga koma.
Dalam tragedi 4 Mei 2021, Jahidah Nordin,46, yang sedang hamil 13 minggu ketika itu mengalami kecederaan parah di kepala sehingga sebahagian tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang dan rusuk retak.
Jahidah yang bekerja sebagai penjawat awam dan menetap di Johor Bahru ketika itu koma kerana kecederaan parah pada kepala dipukul bekas suaminya, Rosmaini Abd Raof yang berusia 38 tahun.
Susulan insiden hitam itu, Jahidah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke HTJ Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.
Koma selepas kejadian, Jahidah meneruskan kehamilan. Bagaikan keajaiban, beliau selamat melahirkan cahaya mata lelaki diberi nama J Eshan Nufail pada November 2022 menerusi pembedahan Caesarean walaupun masih berada dalam keadaan koma.
Lulus tuntutan fasakh pada 14 Mac 2023, Jahidah akhirnya sah bercerai.
Artikel berkaitan:
- Lelaki pukul isteri kedua hingga koma, rupanya ada 4 isteri, 7 anak
- Lulus tuntutan fasakh, wanita mangsa dera suami hingga koma, Jahidah Nordin sah bercerai
- Wanita hamil dipukul suami menghitung hari bersalin, adik luluh hati, bimbang risiko pembedahan
- Ibu ibu, adik datang ni.' Gelagat Nufail mengesot masuk bilik sambil cari ibunya yang koma bikin warga maya sebak!
SUAMI DIJEL 10 TAHUN
Tiga tahun berlalu, Mahkamah Sesyen Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Rosmaini yang menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya itu.
Berikut perkembangan terbaru kes berkenaan:
1-Hakim, Fatimah Zahari membuat keputusan di akhir pembelaan kes berkenaan terhadap Rosmaini menjelaskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
2-Rosmaini disabitkan bersalah selepas semua keterangan, dokumen dan hujahan bertulis semua pihak, mitigasi pembelaan dan hujahan pendakwaan didengar, dipertimbang, diteliti serta didengar.
3-Jelas Hakim Fatimah, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
4-Sementara itu, peguam mewakili tertuduh, Mohd Salleh Togimin memohon mahkamah memberikan hukuman ringan ke atas tertuduh berikutan anak guamnya mempunyai sakit jantung.
5-Tertuduh bekerja sendiri dengan pendapatan tidak tetap menanggung dua isteri dan lapan orang anak yang berusia di antara dua hingga 19 tahun.
6-Terdahulu, tertuduh ditahan di penjara selama setahun dua bulan dan keluarga terpaksa mengumpul wang untuk dijamin keluar.
Rosmaini didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin kira-kira jam 6 pagi, 4 Mei 2021 mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan denda manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.
'SAYA SAKSI DERITA KAKAK, SEPERTI MAYAT HIDUP' - FAUZIAH
Adik Jahidah yang menjaganya, Fauziah Nordin, 43, tidak dapat menahan sebak dan menangis selepas hukuman dijatuhkan.
"Alhamdulilah kes sudah selesai dan kami sebak sebenarnya sebab lama tunggu lama untuk tahu keputusan mahkamah. Syukur dapat keputusan hari ini.
"Hampir tiga tahun kami tunggu untuk mengetahui keputusan mahkamah.
"Saya dan keluarga akan jaga kakak Jahidah, semoga cepat sembuh dan besarkan anaknya dengan baik," katanya.
Selepas kekejaman Rosmaini terhadap Jahidah, Fauziahlah orang yang menjaga wanita itu yang disifatkan seperti mayat hidup, bergantung kepada susu khas yang perlu diberikan setiap empat jam sekali dan diganti lampin pakai buang.
"Semuanya saya uruskan, dia mengandung saya uruskan. Sehingga hari ini, anak dia status OKU. Perkembangan anak Jahidah lambat, walaupun dia sudah berusia tiga tahun. Sekarang baru boleh berjalan tetapi masih tidak boleh bercakap.
Kata Fauziah, susulan kerana perkembangan yang lambat, Nufail masih dalam perhatian pakar sehingga kini.
Jelasnya, keluarganya kini mahu membina hidup baharu dan akan terus memandang ke hadapan dengan tumpuan sepenuhnya diberikan untuk membesarkan anak tunggal Jahidah iaitu Eshan Nufail.
Sumber: Sinar Harian