TANAH Suci Mekah sering menjadi lokasi umat Islam mengalirkan doa dan mengharapkan keberkatan. Begitu juga bagi pelakon dan penyampai radio Rakita, Neera Azizi, yang tidak menyangka doanya di Tanah Suci agar dipertemukan jodoh akhirnya dimakbulkan dengan cara yang sungguh istimewa.
Mengimbas kembali perjalanan umrahnya pada Februari tahun lalu, Neera yang kini berusia 27 tahun, mengakui salah satu niatnya adalah memohon dipermudahkan urusan jodoh.
Namun, siapalah yang sangka, lelaki yang kini bergelar tunangnya, Hafizi, seorang mutawif dan juga memiliki ilmu agama yang tinggi, bakal menjadi pelengkap hidupnya.
"Ketika di Tanah Suci, saya memang berdoa agar dipertemukan jodoh. Namun, ketika itu, saya tak ada perasaan apa-apa terhadap dia (Hafizi).
"Hanya selepas pulang dari umrah, kami mula rapat. Dia melamar saya untuk bertunang kerana tidak mahu bercinta lama-lama. Katanya, lebih baik bercinta selepas berkahwin,” ujar Neera.
Penghijrahan
Tidak menunggu lama selepas pulang dari umrah, Hafizi membuat keputusan mengikat tali pertunangan. Kini, pasangan itu sibuk membuat persiapan menuju hari bahagia yang dijadualkan berlangsung Julai ini.
"Berdebar juga sebab banyak persiapan perlu saya uruskan sendiri memandangkan tunang saya kini berada di Arab Saudi selama enam bulan. Walaupun berjauhan, saya bersyukur hubungan kami dipermudahkan dan doa agar semuanya lancar,” kata Neera.
Lebih istimewa, perkenalan dengan Hafizi turut membawa perubahan besar dalam hidup Neera.
Mula bertudung selepas beberapa kali bermimpi mengenakannya, pemilik nama sebenar, Nurazneera Azizi mengakui, perkenalan dengan jejaka itu juga menjadi antara faktor yang mendorongnya untuk berhijab.melihat keputusan itu sebagai hidayah yang hadir dengan sokongan kuat tunangnya.
"Dia tak pernah paksa, tapi selepas pulang dari umrah, saya bermimpi selama tiga malam berturut-turut memakai tudung. Pada malam terakhir, saya rasa sudah tiba masanya untuk berhijab. Alhamdulillah, dia banyak memberikan sokongan dalam proses penghijrahan ini,” luah Neera.
Dalam perkembangan kerjaya, Neera yang memulakan langkah sebagai pelakon pada tahun 2016 kini bersedia untuk membawa watak utama dalam filem baharu bertajuk Hukum Kifarah yang bakal menjalani penggambaran tidak lama lagi.
"Doa adalah senjata paling kuat bagi seorang hamba. Apa yang berlaku dalam hidup saya kini adalah bukti kebesaran-NYA Saya bersyukur atas segala nikmat ini,” ujar Neera.