Inspirasi! Pemuda viral video bersihkan masjid terima undangan Arab Saudi tunai haji, doa dalam tangisan di Raudah termakbul

Iklan

MENUNAIKAN haji impian setiap Muslim, apatah lagi jika berpeluang melakukannya pada usia muda.

Seperti pemuda, Muhamad Cecep Abdullah yang sering tular dengan konten membersihkan masjid menerima undangan daripada kerajaan Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Iklan
Iklan

Mungkin asbab sering berbuat kebajikan ke jalan ALLAH, memetik Detik, rezeki tidak disangka-sangka itu diterima Cecep, 27, dan dijadualkan berangkat ke Tanah Suci pada 29 Mei 2025 bersama 20 orang jemaah yang lain.

Berasal dari Citamiang, lelaki tersebut menjadi satu-satunya wakil Sukabumi yang terpilih bagi tahun ini.

Iklan

Anak muda berkenaan mengakui terkejut apabila menerima panggilan dua bulan yang lalu.

Iklan

Katanya, sejak 2024, dia mula menitipkan doa untuk menunaikan haji. Malah termasuk ketika berada di Raudah semasa menunaikan umrah.

"Dalam sujud terakhir saya doa, ‘Ya ALLAH, berikan aku haji, bagaimanapun cara ENGKAU berikan.’ Saya menangis di sana, berharap sepenuhnya kepada ALLAH,” kenangnya.

Tidak lama selepas pulang ke Indonesia, Cecep menerima tujuh panggilan tidak dijawab melalui telefon bimbitnya.

Selepas menghubungi semula, ternyata panggilan itu daripada pengarah stesen televisyen nasional yang menyampaikan berita mengejutkan telah dijemput untuk menunaikan haji oleh program khas kerajaan Arab Saudi.

"Cecep, awak sudah naik haji ke belum? Dia tanya.

"Saya jawab tidak. Kemudian dia tanya lagi, 'Awak nak pergi haji tahun ni?' Saya jawab, sudah tentu saya mahu," katanya.

Pada mulanya, dia mengakui ragu-ragu dan bimbang jika itu adalah perangkap atau penipuan.

Namun pada tanggal 14 Mei, pemuda itu mendapat kepastian selepas dimasukkan dalam sebuah grup WhatsApp bagi jemaah jemputan khas.

"Waktu itu baru saya yakin yang saya bakal berangkat sebagai jemaah," tambahnya.

Dalam pada itu, Cecep juga berkongsi khabar gembira di TikTok.

"ALLAH memberkati kalian semua dan menambah berkat untuk kalian semua.

"Insya-ALLAH mulai esok saya akan mendokumentasikan perjalanan menuju masjid ALLAH," kongsinya.

Terdahulu, pemilik akaun TikTok @cleanermasjid yang memiliki 2.5 juta pengikut itu mulai tular pada 2024.

Aktif membersihkan masjid di sekitar Sukabumi, Cecep sebenarnya sudah lama melakukan amalan mulia itu iaitu ketika masih menuntut di Pondok At-Tibyan pada tahun 2012.

Tidak hanya membersihkan masjid, Cecep juga membantu menyudahkan pembinaan yang terbengkalai.

Pernah terhenti seketika ketika pandemik melanda, semangat Cecep tidak pernah pudar. Kini, dia mengetuai sebuah komuniti seramai 20 orang ahli yang mampu membersihkan sehingga 12 buah masjid sehari.

"Saya dulu cuma ajak orang ikut bersihkan masjid sebab tak mungkin saya mampu buat semua sendiri," katanya.

Buat baik pasti akan dibalas baik. Kisah ini benar-benar memberikan inspirasi! Alhamdulillah dan syabas Cecep bakal bergelar haji muda!

Sumber: Hidayatullah, Detik