TAHNIAH diucapkan penyanyi rap Benladin yang kini bergelar bapa selepas isteri, Anna Syida selamat bersalin.
Ben menerusi Instagram berkongsi berita gembira dan menitipkan kesyukuran dengan kehadiran anak sulung yang dikenali sebagai Baby J.
"Assalamualaikum, pewarisku tercinta, Alhamdulillah isteri saya Anna selamat melahirkan bayi kami. Terima kasih yang banyak mendoakan kami.
"Terima kasih kepada isteriku yang tercinta kerana telah menghadiahkan anugerah paling berharga kepadaku. Aku amat menghargai segala pengorbananmu sepanjang masa. Ini adalah satu perjalanan yang panjang buat kita berdua.
Semoga ALLAH sentiasa memelihara keluarga kita," kongsinya.
Dalam pada itu, Ben atau nama penuhnya Muhammad Benladen Munshi Shaihan sempat menitip pesan penuh emosi buat cahaya matanya.
"Pewarisku tercinta, yang lahir dari doa dan linangan air mata. Dalam lena kecilmu yang tiada dosa, Ayahmu menatap bisu dan terkesima.
"Kamu benih dari sabar yang tak terucap. Titisan kasih antara langit dan harap, dari rahim suci ibumu tercinta. Lahirlah kamu amanah tak ternilai harta.
"Aku bukan pahlawan bertanjak besi, bukan alim penuh kitab dan puisi, namun dengan tangan yang lemah ini, aku berjanji melindungi hari-harimu nanti.
"Jika kelak kamu dewasa dan menyoal takdir, mengapa ayahmu diam dalam getir. Ketahuilah, ayahmu tidak lari dari perjuangan, hanya menyorok luka dalam senyuman.
"Maka hiduplah kamu dengan jiwa yang berani. Bukan kerana ayahmu hebat, tapi kerana kamu erti. Pewarisku, dengar pesan dalam lena ini. Ayahmu pernah hancur, tapi tetap berdiri.
"Daddy & Mummy sudah ada Baby J. Semoga anak soleh ini sentiada dalam lindungan Allah," titipnya.
Untuk rekod, pelantun lagu Hikayat Benladin dan Angan itu berkahwin dengan wanita pilihannya dikenali Anna Syida pada Julai 2024.
Sumber: Instagram