PENYANYI Shila Amzah berkongsi caranya membesarkan anak sulungnya, Seth Uwais, 5, yang disahkan mengalami autisme tahap satu.
Mengakui menjadi ibu bapa kepada anak istimewa bukanlah perkara mudah. Membesarkan mereka bukan sekadar kasih sayang tetapi menuntut empati, kesabaran tanpa batas dan keberanian untuk memahami dunia seorang anak istimewa.
Itulah perjalanan yang sedang dilalui Shila Amzah bersama suaminya, Ubai, yang kini menjadi antara insan paling rapat dalam hidup Seth Uwais.
Menurut penyanyi lagu Patah Seribu itu, walaupun Ubai hanyalah ayah tiri, kasih sayangnya terhadap Seth tidak pernah berbeza malah melebihi seorang ayah kandung.
"Ubai mungkin bukan ayah kandung dia, tapi Seth sangat sayang dan hormat dia sebagai ayah yang sentiasa kehadapan. Dia lah yang mendisiplinkan, tunjuk rasa empati, ajar erti perasaan, ajar bagaimana untuk sepak bola dan sebagainya.
Pemilik nama Nurshahila binti Amir Amzah itu turut menjelaskan bahawa beliau dan keluarga terdekat amat mengenali Seth, termasuk hal-hal kecil yang boleh mencetuskan tantrumnya.
Paling penting, Seth sentiasa pulang ke rumah dengan selamat dan gembira setiap kali keluar bersama individu yang dipercayai.
"Mak saya bawa Seth pergi ke mana-mana pun dia suka. Seth siap boleh lepak dengan kawan-kawan saya dan Ubai sendirian sebab mereka tahu dia macam mana, mereka belajar apa yang dia suka, pandai ambil hati dia dan faham apa yang boleh membuatkan dia triggered.
Warganet yang antaranya ibu bapa cahaya mata autisme bersetuju dan sependapat dengan Shila.
Terdahulu, Shila berkongsi Seth mengalami masalah lambat bertutur atau speech delay pada usia tiga tahun. Sejak itu, anak sulungnya dipantau pakar yang mengesyaki si kecil itu mengalami autisme sehingga disahkan pada Jun 2024.
Sekadar info, Shila dan Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 2023 dikurniakan seorang cahaya mata perempuan Rhea Akira, setahun.
Untuk rekod, Seth adalah anak daripada perkahwinan pertama Shila bersama Haris Idraki Elias.
Sumber: Threads