PERKONGSIAN pelakon Wan Sharmila baru-baru ini tiba-tiba menjadi perhatian apabila dia memuat naik pengalaman pertamanya membawa jemaah mengerjakan umrah.
Bukan sekadar kisah perjalanan ibadah, tetapi reaksi orang ramai yang mempertikaikan, bolehkah seorang artis memegang peranan mutawif, membuatkan cerita itu semakin hangat diperkatakan.
Namun si kecil molek yang mesra disapa Lala mengakui, realitinya jauh berbeza daripada sangkaan ramai.
Dia sendiri tidak pernah berani mengaku gelaran tersebut.
“Untuk saya nak galas posisi mutawwifah tu sebenarnya saya malu, saya takut. Saya masih dalam perjalanan. Kalau ALLAH izinkan betul-betul memang selayaknya, insya- ALLAH saya teruskan,” katanya jujur.
Detik sebelum berangkat menjadi antara pengalaman paling mendebarkan buatnya.
Walaupun sudah lama berada dalam dunia lakonan dan biasa berdepan orang ramai, situasi di lapangan terbang membuatkan dia benar-benar gementar.
“Saya nak pergi airport pun perlukan kawan teman. Badan berpeluh sebab ini the real one. Saya bukan pergi kosong, saya pergi bekerja dan kena jumpa jemaah sebenar.
Yang paling penting saya menyantuni tetamu ALLAH,” kongsinya.
Segan nak klaim
Ramai tidak tahu,rupa-rupanya pemilik nama sebenar, Wan Sharmila Wan Muhamed ini pernah mengikuti pembelajaran berkaitan pengurusan haji dan umrah.
Peluang membawa jemaah kali ini menjadi ruang pertama mempraktikkan ilmu yang dipelajari, namun dia tetap merendah diri dan memilih memperkenalkan diri sebagai petugas sahaja.
“Kalau muat naik dekat Instagram pun saya tulis petugas. Saya segan nak klaim mutawwifah.
"Saya cuma pembantu kepada mutawif,” jelasnya.
Pun demikian katanya, sepanjang perjalanan, dia bersyukur kerana menerima sokongan tidak disangka.
Jemaah dari Malaysia, Singapura dan Brunei datang mengucapkan tahniah.
Malah, beberapa mutawwifah berpengalaman turut berkongsi tips. Situasi itu membuatkan dia rasa kerdil.
“Masha-ALLAH mereka datang ajar dan bagi nasihat. Saya rasa ini rezeki besar yang saya tak pernah terfikir.
"Saya risau juga orang fikir ‘dia berlakon tiba-tiba jadi mutawwifah’… saya pun takut,” kata wanita berusia 44 tahun itu lagi.
Apabila ada yang membandingkan dan mempersoalkan artis menjadi pembimbing ibadah, Lala memilih untuk tidak melatah.
Baginya, tidak semua orang akan memahami.
"Ramai yang nasihatkan saya Jangan fikir yang negatif.
“Lagipun tak semua orang suka kita walaupun rasa benda tu betul. Kalau artis boleh, aku pun boleh, jangan fikir begitu.
"Doakan yang baik-baik,” ujarnya tenang.
Tambahnya lagi, pekerjaan hanyalah latar belakang manusia dan bukan ukuran penerimaan di sisi Tuhan.
“Apa pun pekerjaan kita, asalkan halal. Kalau ALLAH izinkan untuk meneruskan, saya akan teruskan.
"Semoga ALLAH terima apapun pekerjaan yang kita buat. Asalkan halal," ungkapnya lagi.
Bagi Lala, perjalanan ini bukan tentang gelaran atau imej baharu. Ia sekadar langkah kecil seorang hamba yang sedang belajar memikul amanah, perlahan, tetapi penuh harapan.