BARU-baru ini seorang pelajar maahad tahfiz, Tengku Umayr 'Akef Tengku Asyraf, 16, mencatat kejayaan membanggakan apabila mencapai syahadah ula iaitu satu pengiktirafan tertinggi dalam perjalanan menghafal al-Quran menjadi inspirasi ramai.
Bukan calang-calang, kejayaan Tengku Umayr bukan mudah kerana ujian hafazan al-Quran tahap tertinggi ini menyaksikan ketabahan dan kekuatan luar biasa calon apabila perlu memperdengarkan keseluruhan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh masa yang singkat dengan jumlah kesalahan yang sangat minimum.
Ibunya, Nasarah Nasr yang dihubungi SinarPlus berkongsi anaknya terdahulu mendapat tawaran melanjutkan pelajaran peringkat menengah di sekolah berasrama penuh integrasi namun bukan aliran ulul albab (tahfiz). Remaja itu memilih untuk ke maahad tahfiz. Katanya"sebab saya nak menghafal al-Quran."
Dalam pada itu, wanita itu sempat berkongsi tip dan alaman yang menjadi pegangan mereka dalam membantu Tengku Umayr menamatkan syahadah ula dengan keputusan cemerlang mumtaz.
"Semuanya dengan izin ALLAH. Abang Umayr menamatkan syahadah ula dengan keputusan mumtaz dengan usaha guru-guru sekolahnya. Merekalah yang paling banyak berkorban, mendidik, membimbing dan tidak pernah jemu memimpin anak-anak dengan penuh sabar.
"Teknik hafazan LATU juga mereka ajarkan dengan tersusun dan sistematik serta disiplin. Asasnya perlu mengulang setiap ayat 60 kali disertai disiplin yang tinggi.
Cuti sekolah juga lebih singkat daripada sekolah biasa demi menjaga momentum hafazan," kongsinya.
Selain itu, menurut Nasarah, Tengku Umayr turut berkongsi point penting kedua iaitu taat kepada ALLAH, ibu bapa dan guru dan hormati orang lebih tua serta sentiasa bertenang.
"Kalau ditanya daripada sudut kami sebagai ibu bapa, perlu percaya kepada guru-guru dan sekolah.
Malah, dia dan suami membiasakan anak lelaki mereka solat berjemaah di surau dan meneliti sumber makan minum anak daripada sumber yang halal.
"Jaga sumber rezeki dan makanan. Pastikan halal dan tinggalkan yang syubhah.
Dalam pada itu, Nasarah dan suaminya tidak menyekat anak mereka menonton televisyen mahupun internet namun mengehadkan bahagian tertentu dan menerapkan ilmu keibubapaan dalam mendidik.
"TV dan internet kami beri tetapi dengan had masa dan pemantauan. Kami cuba menjaga apa yang masuk ke mata dan hati mereka. Tiada aksi ganas dan babak tidak soleh seperti cium atau seksi.
"Selebihnya, kami hanya mampu berdoa agar ALLAH memelihara mereka ketika berada di luar pengawasan kami. Kami terus belajar tentang ilmu keibubapaan. Setiap anak berbeza.
"Ada yang lembut, ada yang kuat membangkang. Ibu ayah jangan putus asa jangan berhenti memahami mereka," titipnya.
Nasarah juga mengakui mereka sekeluarga mengamalkan kehidupan bersederhana.
"Yuran sekolah mungkin kelihatan tinggi, tetapi kami melihatnya sebagai pelaburan ilmu. Malah, guru-guru di Al-Fateh berkorban jauh lebih besar daripada apa yang mereka terima iaitu gaji. Bayaran fasiliti semua ditanggung sekolah," tuturnya.
Ibu kepada enam cahaya mata itu turut berkongsi perkara-perkara 'rare' yang diamalkan bersama suami dalam mendidik.
"Abang Umayr seorang yang sangat tinggi sifat empatinya. Mungkin ALLAH mendidiknya selepas sering diuji asma sejak usia empat bulan yang sering ditahan di wad. Alhamdulillah, kini sihat.
"Kami abi ummi menawarkan Abang Umayr bantuan untuk akademiknya sebab dia memilih untuk 'pulun' awal syahadah ula.
"Ini hanyalah secebis perjalanan kami. Ramai lagi ibu bapa pelajar syahadah ula yang terlebih dahulu dan jauh lebih berpengalaman. Ambillah ilmu daripada mereka. Abang Umayr banyak ambil inspirasi dari anak-anak mereka," kongsinya.
Tengku Umayr 'Akef terdahulu menggegarkan negara selepas berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk al-Quran dalam masa 15 jam 42 minit. Bukan sahaja mampu tasmik surah tanpa lupa, remaja itu juga mampu menyampaikan kepada panel baris-baris hujung dalam kalimah dengan tepat!
Bermula seawal jam 4.30 pagi, Tengku Umayr berjaya menamatkan ujian syahadah ula dengan gred cemerlang tertinggi dan markah 97.7 peratus!