BAGI sesetengah anak, kejayaan memperoleh pendapatan sendiri menjadi peluang untuk membalas jasa ibu bapa. Begitu juga penyanyi Iman Troye yang mempunyai cara tersendiri menghargai pengorbanan insan paling dekat dalam hidupnya.
Biarpun sudah bekerja sejak usia remaja, penyanyi berusia 24 tahun itu tidak pernah meletakkan hasil pendapatannya sebagai milik peribadi semata-mata. Sebaliknya, dia mahu ibu bapanya turut menikmati rezeki yang diperoleh hasil perjalanan kerjaya seninya.
Sebab itu, soal kewangan bukan sesuatu yang perlu diuruskan sendirian. Sejak mula menyanyi pada usia 16 tahun, Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, selesa membiarkan ibunya mengendalikan pendapatan serta perbelanjaan bulanannya.
Malah, aturan tersebut masih diamalkan sehingga kini. Ibunya menetapkan jumlah wang belanja untuk kegunaan sepanjang bulan, manakala sebarang pembelian perlu mendapat keizinan terlebih dahulu.
Bagi Iman, cara itu membantunya lebih berdisiplin, terutama apabila menyedari dirinya juga boleh terikut-ikut dengan kehendak sendiri ketika berbelanja.
“Sejujurnya saya rasa lebih selamat apabila orang tua kita pegang duit,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan outlet Bayu Somerset di 118 Mall, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Lebih daripada soal mengawal perbelanjaan, keputusan itu turut mencerminkan bagaimana Iman melihat kejayaan yang dikecapinya hari ini.
“Saya nak ibu bapa saya rasa duit tersebut juga merupakan milik mereka, bukan duit saya semata-mata. Saya di sini pun disebabkan rezeki dan pengorbanan mereka,” ujarnya.
Dalam kehidupan seharian, Iman juga tidak menjadikan jenama antarabangsa sebagai ukuran untuk bergaya. Dia mengakui lebih banyak memilih produk tempatan berbanding barangan luar.
“Saya bukan individu yang terlalu mementingkan jenama. Ada juga satu, dua saya beli 'brand' luar, selebihnya memang produk lokal,” katanya.
Minat terhadap produk tempatan itu turut membuatkan Iman menghargai usaha usahawan Malaysia yang semakin berani mengembangkan perniagaan sendiri.
Mengulas pembukaan outlet ke-25 Bayu Somerset selepas lima tahun beroperasi, dia menyifatkan perkembangan jenama tempatan sebagai sesuatu yang membanggakan.
“Saya memang suka menyokong produk tempatan. Masing-masing ada kreativiti dan identiti tersendiri, tetapi masih mengekalkan elemen Malaysia serta tradisi kita,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Iman turut merancang untuk menghasilkan lagu raya bagi sebuah album yang dijangka dilancarkan tahun depan.