BARU lima hari yang lalu, Youtuber terkenal Korea, Daud Kim melamar bekas isterinya yang dikenali sebagai Mia.
Video lamaran itu mengundang sebak kepada lebih 1.4 juta netizen yang menontonnya menerusi saluran Youtube miliknya sepanjang tempoh berkenaan.
Urusan Daud yang bergelar saudara baharu sejak bulan September tahun lalu ternyata dipermudahkan oleh ALLAH SWT apabila Mia menerima lamarannya.
Daud yang terkenal sebagai Youtuber yang mengkhususkan dalam konten Islamik menjelaskan, beliau berkahwin dengan Mia kira-kira empat tahun lalu dan dikurniakan seorang anak lelaki.
[caption id="attachment_27390" width="1024"] DAUD KIM memeluk Islam sejak bulan September tahun lalu.[/caption]
Barangkali kerana faktor usia yang masih belum matang lagi menyebabkan perkahwinan mereka tidak berjalan dengan lancar.
Begitupun, dalam video terbaharunya, Daud berkongsikan berita yang sangat dinanti-nantikan peminatnya.
Mia mengucap syahadah di hadapannya. Malah, Daud sendiri tidak menyangka hati Mia begitu cepat terbuka untuk memeluk Islam.
Benarlah, hidayah itu milik ALLAH. DIA memberikan petunjuk itu kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA.
(Artikel berkaitan: Purata 10 orang peluk Islam di Perancis setiap hari… Hidayah ALLAH datang kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA)
Sebelum Mia menjadi seorang Muslim, kelihatan Daud menitipkan pesanan buat wanita yang bakal menjadi suri hatinya sekali lagi.
"Saya gementar sebab bila awak mengucap syahadah, awak akan jadi Islam dan semua dosa-dosa yang dilakukan sebelum ini akan ‘pergi’. Awak akan ‘dilahirkan semula’ sebagai orang yang suci dan bersih.
"Apabila awak sudah masuk Islam, awak kena tahu Rukun Islam. Kita hayati dan praktikkan bersama-sama.
"Kita sama-sama berdoa kepada ALLAH agar memimpin kita ke jalan yang benar. Saya seorang mualaf dan awak juga akan menjadi seorang mualaf.
"Sudah tentu kita tak akan jadi sempurna untuk pertama kalinya, tapi kita praktis sedikit demi sedikit. Kita akan jadi Muslim yang baik satu hari nanti. Insya-ALLAH kita akan dapat masuk syurga bersama-sama.
"Saya sangat gembira. Bila hanya saya seorang Muslim, kita tak boleh pergi syurga bersama-sama, tetapi Alhamdulillah jika kita kedua-duanya Muslim, kita boleh bersama-sama, malah selepas kehidupan ini,” katanya.
Akhirnya, bait-bait syahadah lancar meniti pada bibir Mia yang kelihatan ayu berselendang.
[caption id="attachment_27392" width="1024"] MIA (kanan) mengucap syahadah dengan lancar.[/caption]
Ketika ditanya tentang perasaannya, Mia mengakui beliau sangat selesa dengan agama Islam yang disukainya sejak kecil. Malah, datuknya iaitu bapa kepada ibunya juga merupakan seorang Muslim.
Sama-sama kita doakan agar kedua-duanya dapat disatukan sebagai suami isteri. Semoga mereka sentiasa dalam peliharaan ALLAH SWT dalam menjadi Muslim dan Muslimah yang terbaik.
Sumber & Foto: Youtube & Instagram Daud Kim