OLEH kerana kelihatan seperti tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19, seorang doktor dan selebriti Instagram, Mikhail Varshavski, telah dikecam oleh pengikutnya di media sosial.
Malah, Mikhail atau dikenali sebagai Dr Mike juga disebut-sebut sebagai doktor paling seksi di Instagram.
Namun, malangnya pengikutnya menjadi berang setelah tular foto yang menunjukkan Dr Mike berpesta di atas kapal di Miami dipercayai dalam majlis ulang tahun kelahirannya yang ke-31 tanpa memakai pelitup muka dan tidak menjaga penjarakan sosial.
Menerusi foto tersebut, Dr Mike dikerumuni wanita dengan berbikini di Sunset Harbor dan terdapat juga foto dia memegang seorang wanita tanpa memakai pelitup muka.
Foto-foto tersebut mencetuskan amarah peminatnya.
Baca juga Gadis 19 tahun anak petani dinobat Miss Vietnam 2020
Dr Mikhail Varshavski dinobatkan sebagai 'sexiest doctor alive' oleh majalah People pada tahun 2015.
Dr Mike bekerja sebagai doktor utama di Chatham, New Jersey, New York.
Sementara itu, seorang wakil Dr Mike menyangkal tohmahan orang ramai dan mendakwa Dr Mikhail Varshavski hanya menanggalkan pelitup muka untuk berenang.
"Dr Mikhail Varshavski menanggalkan pelitup muka hanya ketika masuk dan keluar daripada air, juga sesuai dengan panduan CDC untuk topeng basah dan dia sentiasa memakai pelitup muka demi keselamatan di tengah musim wabak," katanya.