MIMPI ngeri buat 30 ratu cantik di Thailand ini apabila mereka dikatakan jatuh serentak ke dalam air.
Menurut The Sun, kejadian itu berlaku ketika mereka sedang bergambar di atas sebuah jambatan gantung.
Namun secara tiba-tiba, jambatan gantung itu runtuh sekali gus kesemuanya terjerumus ke dalam kolam tersebut.
Difahamkan 30 gadis tersebut adalah peserta Miss Thailand 2020.
Sebagai sebahagian daripada acara pertandingan, mereka dikehendaki bergambar di jambatan gantung diperbuat daripada tali yang dihubungkan dengan keluli di sebuah kafe.
Tiga daripada gadis itu cedera ringan dan seorang daripada mereka mengalami lebam di dahi.
Mereka semua dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Pemilik kafe, Worapot Chatkanjana berasa malu dengan kejadian sedemikian dan telah menanggung kos rawatan bagi peserta yang cedera sebanyak £ 12,500 (RM67, 620).
Dia juga akan membayar kepada peserta lain untuk membersihkan pakaian mereka secara profesional.
Baca juga Penyakit misteri di India, seorang maut dan ratusan sedang dirawat
Sementara itu 27 peserta pertandingan kecantikan itu tetap meneruskan acara dan tiga yang cedera terpaksa berehat seketika.
Pengarah Miss Thailand 2020, Dr Adisorn Suddee turut mengatakan kebiasaannya pertandingan diadakan di Bangkok, namun kali ini mereka memilih Chiang Mai dan yakin ia akan selamat dan terjamin.