MENGAGUMKAN. Demikian gambaran yang dapat diberikan menerusi ciptaan inovasi sebuah robot yang mampu menghasilkan beberapa siri lukisan potret.
Robot humanoid yang dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) itu dikenali sebagai Ai-Da.
Memetik laporan portal trtworld.com, robot Ai-Da dinamakan sedemikian sempena mengambil nama ahli matematik abad ke-19, Ada Lovelace.
Ciptaan robot canggih itu adalah hasil cetusan Pemilik Galeri Seni Oxford, Aidan Meller dan kurator, Lucy Seal.
Robot itu dibuat oleh Engineered Arts Ltd dan pelajar ijazah doktor falsafah dari Universiti Oxford, London.
Menariknya, robot berkenaan mampu mempamerkan beberapa siri lukisan potret dengan hanya melihat ke cermin menerusi kanta kameranya.
Malah, Ai-Da juga menjadi robot ultra realistik pertama yang mampu melukis potret manusia. Semuanya dengan hanya menggunakan matanya dan pensil di tangannya.
"Ai-Da hanya perlu melihat ke arah cermin dan proses AI. Program algoritma pada robot tersebut akan mengubah apa dilihatnya menjadi koordinat.
"Sementelah, tangan robotik digunakan oleh Ai-Da, yang dibangunkan oleh jurutera di Leeds kemudian akan mengira data dan menafsirkan koordinat untuk menghasilkan karya seni tersebut," katanya.
Baca juga Covid-19: Robot hantar pesanan makanan buat pengunjung elak kontak sentuhan
Karya potret yang dihasilkan Ai-Da bakal dipersembahkan buat kali pertamanya di Muzium Reka Bentuk London yang dijangka bakal dibuka pada bulan Mei ini.
[caption id="attachment_37868" width="1024"] KARYA yang dihasilkan Ai-Da bakal dipamerkan di Muzium Reka Bentuk London pada bulan Mei ini.[/caption]
Dikhabarkan, Ai-Da bakal menampilkan tiga potret yang berskala besar pada pameran berkenaan.
Portal entrepreneur.com melaporkan, ia merupakan pameran kedua buat Ai-Da yang mana robot itu sebelum ini hanya dipaparkan sebagai ciptaan yang meneroka batasan AI, teknologi dan kehidupan organik dalam bidang lukisan, patung dan seni video.
Sama-sama kita nantikan karya mengagumkan daripada Ai-Da tidak lama lagi.
Sumber: entrepreneur.com, trtworld.com & The Sunday Times
Foto: entrepreneur.com, trtworld.com & Instagram @aidarobot