WAZE dan Google Maps adalah aplikasi navigasi paling popular dalam kalangan pengguna peranti Android ataupun iOS.
Kedua-dua aplikasi tersebut mempunyai 'peminat' tersendiri kerana menawarkan fungsi yang memudahkan pengguna mencari lokasi dituju.
Bagaimanapun, ada ketikanya aplikasi navigasi terbabit juga menghadapi masalah teknikal sehingga menyebabkan pengguna tersasar daripada laluan sebenar.
Inilah situasi yang berlaku oleh seorang pemuda di Jepun dikatakan tersesat di hutan gara-gara mengikut arahan Google Maps.
Menurut laporan Tribunnews, pemuda berasal dari Semarang, Jawa Tengah, Indonesia itu telah bekerja di Jepun selama empat tahun.
Pun begitu, baru-baru ini beliau dikatakan tersesat di hutan di kawasan Yokohama.
Cerita pemuda dikenali sebagai Jalu Alif itu, pada mulanya beliau ingin ke pasar raya berhampiran untuk membeli barangan.
Tambahan pula, Jalu yang bertugas sebagai jururawat di Yokohama itu menyifatkan dengan berbasikal beliau berpeluang bersantai bersama teman.
Secara kebetulan hari pada hari tersebut adalah bulan Ramadan yang mana umat Islam menjalani ibadah puasa. Jadi, aktiviti berbasikal di sana lazimnya dilakukan sebelum waktu iftar sekitar pukul 4.30 petang (waktu tempatan).
Jalu mengakui pernah melalui jalan lain terbabit cuma terlupa. Lantas beliau menggunakan Google Maps supaya dapat pulang dengan selamat.
Dek terlalu bergantung pada aplikasi navigasi itu, Jalu dan rakannya melalui jalan kecil. Kemudian, menempuh pula hamparan sawah, menemui tangga sehingga tersesat ke laman rumah orang tidak dikenali.
Lebih kurang 30 minit, Jalu dan sahabatnya masih berada di hutan dan gagal menemui jalan keluar.
Baca juga Fenomena Super Blood Moon pada 26 Mei ini, bulan penuh serentak dengan gerhana bulan
Mereka mula panik sekiranya tidak dapat keluar memandangkan hari semakin gelap.
Akhirnya, setelah menempuh perjalanan yang panjang, Jalu dan rakannya menarik nafas lega apabila menemui kawasan kejiranan.
Video berkenaan mencuri perhatian warganet dan kini telah mendapat lebih 11.3 juta tontonan dan 1.5 tanda suka.