SEJAK hampir dua tahun Covid-19 mula menjangkiti manusia, ia telah meragut berjuta-juta nyawa dan pelbagai varian juga telah ditemui.
Terbaru, varian dinamakan Omicron diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai varian yang membimbangkan (variant of concern – VOC).
Kebimbangan timbul berdasarkan kadar mutasi varian baharu itu yang ‘sangat luar biasa’ kerana mampu mengelakkan tindak balas imun badan manusia, menjadikan ia boleh mudah dijangkiti.
Pakar epidemiologi dari Kesatuan Saintis Amerika Syarikat, Dr Eric Feigl-Ding turut memaklumkan Omicron 'agak serius' dan berisiko mencetuskan Pandemik 2.0 di sana.
Malah lebih membimbangkan apabila Dr Eric Feigl-Ding menyatakan varian Omicron menjangkiti mereka yang divaksinasi dan bekas pesakit Covid-19 atau 'Covid Survivor'.
Namun apa yang menakutkan, varian Omicron dilaporkan turut aktif menyerang kanak-kanak!
Baca juga Varian baru Covid-19, Omicron boleh cetus Pandemik 2.0, 10 fakta penting mengenainya
Menurut Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NICD), kanak-kanak bawah umur dua tahun menyumbang kira-kira 10 peratus daripada jumlah kemasukan ke hospital di pusat perebakan varian baharu Covid-19 Omicron di Tshwane.
Pakar kesihatan awam di NICD, Waasila Jassat, berkata lebih ramai kanak-kanak dimasukkan ke hospital kini berbanding sewaktu peringkat awal negara ini dilanda gelombang keempat penularan Covid-19 ketika ini.
Katanya, trend tersebut serupa berlaku ketika gelombang ketiga melanda dengan varian Delta.
Tegas beliau, peningkatan kadar kemasukan ke hospital itu berkemungkinan menggambarkan ibu bapa perlu mengambil langkah lebih berjaga-jaga, susulan kebimbangan akan mutasi varian baharu terbabit.
Varian Omicron kali pertama dikenal pasti oleh saintis Afrika Selatan.
Meskipun gejala jangkitan Omicron dilihat sebagai ringan, setakat ini, risiko sebenar daripada strain baharu itu masih belum dapat dipastikan.
Baca juga Varian baru Covid-19, Omicron boleh cetus Pandemik 2.0, 10 fakta penting mengenainya
Justeru, diharapkan kita semua lebih berhati-hati dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian Covid-19.
Sumber: Agensi