Tak judge, kurang drama prinsip hidup Misha Omar kekal tenang meniti 40-an. ‘Jangan sibukkan otak sendiri’
TENANG, berprinsip dan sentiasa membawa aura matang dalam setiap tutur kata, itulah Misha Omar.
Kekal jelita dan langsing pada usia 44 tahun, pemilik nama sebenar Samihah Omar itu mendedahkan rutin penjagaan diri termasuk kesihatan mental.
Penyanyi yang bermula daripada pentas Bintang RTM 2001 itu mendedahkan, salah satu penjagaan kecantikan yang digemarinya ialah rutin penjagaan kulit.
"Saya suka skin care dan boleh berlama-lama setiap pagi dan malam untuk rejimnya.
"Untuk mempunyai kulit yang cantik itu perlu skincare yang bagus. Sebelum saya masuk ke mulut atau sapu, saya baca bahan-bahan satu persatu kandungannya.
"Untuk kulit yang sihat, perlu cukup minum airnya, jaga perut (pemakanan) dan senaman," kongsinya.

Selain penjagaan fizikal, Misha percaya kecantikan sebenar bukan sekadar luaran, sebaliknya bermula daripada ketenangan fikiran dan empati.
Ditemui pada Majlis Pelancaran Muzik Video I Don’t Like You Anymore atau akronimnya IDLYA yang boleh distrim di semua platform digital bermula 6 Februari 2026, Misha mengakui turut menjauhkan diri daripada perkara negatif dan tidak mudah menghakimi orang lain.
Penyanyi yang mula mencipta fenomena menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta pada tahun 2002 itu cuba mengawal pemikiran dan memberikan tarikh akhir untuk kesedihan.
"Melakukan senaman secara sederhana dan jangan memikirkan hal negatif. Itu paling susah. Saya tahu, tak logik tapi saya akan cuba kawal ia.
"Kalau saya sedih hari ini. Saya akan bagi tarikh tamat. Saya fikir, besok saya tidak mahu lagi ia berlarutan. Saya akan cari jalan untuk menangani perasaan itu," kongsinya.
Ibu kepada dua cahaya mata tersebut turut berkongsi cara mengendalikan dan menghadapi komen negatif di laman sosial.
"Hidup saya kalau boleh, less drama dan walk the talk. Saya suka perkara yang harmoni.
"Kadang-kadang jika berhadapan dengan komen-komen laman sosial, saya fokus dengan yang indah sahaja.

"Komen yang negatif saya tengok dan katakan dia tak kenal kita. Kita pun tak kenal dia.
"Kita pun tak tahu apa kesusahannya, cuba fikir begitu. Kadang-kadang orang yang suka cakap benda yang negatif itu sebenarnya ada masalah dalam kehidupannya. Unresolved atau yang tidak dapat diselesaikan.
"Jadi kita pun tak tahu apa yang berlaku, kita pun jangan judge dia.
"Saya suka fikir seperti itu agar tidak berburuk sangka. Nampak saya begini, jangan sibukkan otak sendiri," tutur Misha.
Dalam majlis di Courtyard by Marriot Kuala Lumpur South pada Selasa, Misha menitiskan air mata saat menerima pengiktirafan platinum hasil penjualan keseluruhan terkini penstriman digital bagi lagu Break.
Karya komposer prolifik Indonesia, Melly Goeslaw dan diterbitkan genius muzik, Tohpati itu juga membawa Misha merentas jurang usia apabila menembusi kelompok pendengar Gen Z.
Mengotakan janji untuk sentiasa mendekati peminat dengan karya segar, anak kelahiran Machang, Kelantan itu kembali bagi kesinambungan lagu Break menerusi single terbaharu, IDLYA.
IDLYA kata Misha, membuka ruang baharu untuk diteroka dari sudut muzik dan vokal menerusi siri perbincangan serta perkongsian ilmu bersama Tohpati dan pengarah vokal, Datuk Syafinaz Selamat.

“Saya bersyukur kerana syarikat rakaman, Sony Music Malaysia turut mempunyai misi yang selari. Kami sangat teliti dalam setiap aspek produksi. Saya tidak suka kerja asal boleh. Banyak tapisan dan perbincangan dibuat dalam pemilihan lagu kerana kami mengutamakan kualiti.
“Bekerjasama dengan Melly dan Tohpati, dua tokoh muzik yang sangat disenangi menambahkan lagi keyakinan dengan percaturan yang kami lakukan. Diperkuatkan lagi dengan kehadiran Datuk Syafinaz, saya percaya sinergi antara kami akan memberikan warna baharu dalam IDLYA,” katanya.
Misha juga berkongsi cabaran dihadapi untuk memberikan yang terbaik buat para penggemar muziknya. Penghasilan muzik video IDLYA di kawasan pergunungan bersalji di China merupakan cabaran buatnya.
Terpaksa keluar dari zon selesa, Misha mengakui tidak mampu menahan kesejukan namun tetap memilih profesionalisme sehingga terhasilnya muzik video berdurasi lima minit 16 saat itu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
