8 jam sebelum nikah tunang pergi selamanya, catatan wanita buat ramai sebak. 'Arwah janji berjumpa 10 pagi, kami jumpa tapi di forensik'

No Image Caption
A
A
A

JODOH, ajal dan maut ketentuan ALLAH. Kita hanya mampu merancang namun ALLAH juga yang menentukan. 

Begitulah takdir yang terpaksa diterima oleh seorang wanita, Nor Izzati, 32, apabila majlis perkahwinan yang dirancang rapi terpaksa dibatalkan selepas tunangnya meninggal dunia hanya lapan jam sebelum akad nikah.

Kisah pilu ini menjadi tular di platform Threads selepas Nor Izzati memuat naik satu catatan penuh emosi menyentuh hati memaklumkan kepada para jemputan bahawa majlis resepsi dirancang pada 25 Disember ini tidak menjadi kenyataan selepas mempelai lelaki meninggal dunia ketika tidur.

Takdir ALLAH mendahului segalanya. Mereka yang sepatutnya dinikahkan pada Jumaat, 19 Disember lalu di pejabat agama Islam di Kepala Batas terpisah selamanya sebelum ijab dan kabul.

“Assalamualaikum kepada rakan-rakan yang mengenali saya dan yang menerima jemputan majlis perkahwinan saya pada 25/12/2025.

"Di sini saya nak maklumkan, lapan jam sebelum akad nikah semalam, bakal suami saya iaitu tunang saya Mohamad Faiz Md Rozi telah menghembuskan nafas terakhir pada jam lebih kurang 2 pagi. 

"Arwah meninggal semasa tidur dan sudah sampai masa dia bertemu Maha Pencipta,” titip Izzati.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Difahamkan, berita duka pemergian Mohamad Faiz hanya diketahuinya selepas dimaklumkan kakak Allahyarham.

Bakal pengantin itu dikatakan baharu sahaja selesai menggosok pakaian dan sempat berkomunikasi tiga jam sebelum Allahyarham pergi selamanya.

Izzati juga menjelaskan, Mohamad Faiz tiada masalah kesihatan cuma pernah mengadu sakit kepala.

Dalam nada sarat dengan kesedihan, Nor Izzati turut memohon agar orang ramai menghadiahkan al-Fatihah buat arwah yang bekerja sebagai juruteknik elektrik di sebuah kilang.

Apa yang lebih menyentuh hati warganet adalah luahan Nor Izzati tentang peribadi arwah tunangnya. Katanya, Mohamad Faiz seorang yang sangat baik dan disayangi ramai. Malah lelaki itu mahu ramai mendoakan selepas pemergian.

“Allahuakbar, arwah pernah kata dia mahu selepas orang ramai mendoakan. Ramai sangat yang doakan arwah. Yang tak pernah kenal pun mendoakan arwah," ungkapnya.

No Image Caption

Dalam pada itu, Izzati juga mendedahkan kebiasaan Allahyarham untuk singgah ke masjid apabila keluar bersama.

“Sekadar ingin berkongsi, arwah memang selalu singgah masjid.

"Hari itu, kami keluar bersama anak buah saya, Firash. Firash teringat Pak Uda kerana Pak Uda selalu singgah masjid. Ke mana sahaja kami pergi, Pak Uda pasti mencari masjid. Arwah meninggalkan hanya yang baik-baik untuk dikenang," titipnya.

Dalam kesedihan yang ditanggung, Nor Izzati tetap reda dan tabah. Wanita itu menyifatkan arwah sebagai insan terbaik yang pernah ALLAH hadirkan dalam hidupnya, walaupun hanya untuk seketika.

Lebih meruntun perasaan, Nor Izzati berkongsi bahawa arwah pernah berjanji untuk bertemu pada jam 10 pagi namun pertemuan itu berlaku dalam situasi yang tidak disangka.

"Dia tunaikan janjinya. Jenazah arwah senyum. Arwah janji untuk berjumpa 10 pagi.

"Betul-betul kami jumpa, tapi di forensik. Malah hasrat  untuk menjaga ibunya dan tidak mahu berkahwin yang menjadi satu doa yang akhirnya dimakbulkan ALLAH dengan cara tersendiri.

"Arwah cakap kepada emaknya sebelum kenal saya. Dia kata tidak mahu kahwin dan hendak menjaga ibunya sampai mati. ALLAH makbulkan doanya. 

"Saya kuat sebab tahu saya orang yang dia sayang. Sayang sampai akhir nyawanya. Insya-ALLAH, syurga untuk arwah," kongsi wanita itu lagi.

Luahan itu membuatkan ramai pembaca mengakui tidak dapat menahan air mata. Ruang komen dibanjiri doa, kata-kata semangat dan ucapan takziah, malah ada yang mengatakan kisah ini mengingatkan mereka tentang rapuhnya perancangan manusia.

 

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang