'Macam Mak Masak' – Dari busana sarat memori ke sentuhan air tangan, Nisa Bakri kongsi cerita di sebalik Tepuk Tepung
BAGI yang mengenali Puan Sri Nisa Bakri pasti tahu, beliau sebelum ini mencipta nama dalam perniagaan antarabangsa.
Jenama beg tangan miliknya menembusi gedung mewah Harrods dan empayar Leather Love dibuka di 12 buah negara.
Namun, minat terhadap kulinari perlahan-lahan menarik beliau kembali ke dunia yang memberi kepuasan peribadi apabila kini menjadi pengasas Tepuk Tepung Pâtisserie.
“Daripada menguli doh, memasak sambal, hingga bangun seawal jam tiga pagi, semua itu memberi kepuasan yang tidak dapat digambarkan,” katanya, menceritakan detik awal membina jenama tersebut.
Daripada pengalaman itu, jenama tersebut bukan sekadar menjual kek dan pastri, tetapi mengangkat nilai kasih sayang dalam setiap hidangan.
Nama Tepuk Tepung diilhamkan daripada tradisi nenek moyang yang memasak mengikut gerak hati, bukan resipi bertulis.

Dengan slogan 'Macam Mak Masak', setiap pelanggan yang melangkah masuk dihidangkan dengan kehangatan dapur rumah.
“Bunyi hiruk-pikuk dapur, keluarga di sisi, dan suasana sederhana itulah yang membentuk rasa dalam setiap masakan.
"Itu yang saya mahu kongsikan dengan semua,” ujarnya lagi, menekankan bahawa elemen paling penting dalam masakan adalah kasih sayang yang dituangkan dalam setiap hidangan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui SinarPlus dalam majlis pelancaran mini kafe Tepuk Tepung bari-baru ini.
Sentuhan air tangan
Di sebalik kisah kulinari tersebut, penampilan beliau pada majlis berkenaan turut menjadi tumpuan.
Apa tidaknya, tuan punya badan dalam ucapannya memberitahu, busana yang digayakan itu bukan sekadar cantik, tetapi menyimpan memori peribadi yang mendalam.
Dedah isteri bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Zinin itu, pakaian berkenaan pernah dipakainya ketika pertemuan bersama Tun Mahathir Mohamad.
Kongsinya lagi, busana yang sama turut dipakai ketika kali pertama bertemu Datin Seri Rosmah Mansor.
Malah, lebih istimewa lagi, pakaian tersebut merupakan pilihan arwah ibunya.

“Hampir dua dekad usianya, dan saya hanya pakai pada acara tertentu. Busana ini simpan kenangan yang tidak ternilai,” katanya sambil berseloroh bahawa suatu hari nanti ia mungkin dilelong, bukan kerana nilai material, tetapi kisah yang dibawa.
Menurut Puan Sri Nisa, busana itu mengingatkannya kepada akar budaya, keluarga, dan nilai tradisi yang turut diterapkan dalam setiap hidangan Tepuk Tepung.
Sekadar makluman, mini kafe Tepuk Tepung Pâtisserie yang terletak di Hartamas Shopping Centre dirasmikan oleh Tengku Datuk Dr Hishammuddin Zaizi bersama Tan Sri Syed Mohd Yusof atau lebih dikenali sebagai Tan Sri Jojo.

Majlis pada hari tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan muzik tradisional dan tarian singa sempena Aidilfitri, menjadikan pelancaran bukan sekadar acara, tetapi satu pengalaman budaya yang lengkap.
Dalam majlis sama turut termeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Sea Travel Agency.
“Harapan saya agar Tepuk Tepung bukan sekadar tempat untuk menikmati makanan, tetapi menjadi satu pengalaman yang menghubungkan rasa, perjalanan dan kenangan.
"Kolaborasi ini membuka peluang untuk kami membawa sentuhan ‘air tangan’ Malaysia ke peringkat yang lebih jauh,” jelas Nisa yang merupakan penerima anugerah Persona Pelancongan & Makanan ASEAN 2026.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
