'Jadikan saya tetamu VVIP-MU' – Dulu ketepikan hasrat tunai haji demi jaga ibu, doa wanita 73 tahun ini akhirnya termakbul
MENJEJAK kaki ke Tanah Suci pada usia 73 tahun bukanlah satu perkara kecil, apatah lagi apabila perlu berkelana sendirian tanpa peneman di sisi.
Namun bagi warga emas kental, Zalipah Md Alwi, keberaniannya itu bertunjangkan satu keyakinan yang cukup luar biasa terhadap kekuasaan doa.
Beliau tidak mengharapkan layanan permaidani merah atau kemewahan material, sebaliknya hanya mendambakan satu gelaran yang paling didambakan oleh setiap mukmin.
“Setiap hari saya berdoa, mudahkan urusan saya dan jadikan saya tetamu VVIP ALLAH,"ungkapnya.
Ternyata, impian yang sekian lama tersimpan kemas sejak usia 40 tahun itu akhirnya menjadi realiti.
Bagi Zalipah, definisi 'VVIP' di mata Tuhan adalah apabila setiap langkah ibadahnya dipermudahkan.
“Alhamdulillah, akhirnya ALLAH makbulkan. Saya cuma doa nak jadi tetamu VVIP ALLAH.
"Bila urusan dipermudahkan, rasa sangat bersyukur,” katanya dengan nada hiba.

Meskipun datang sebatang kara, wanita itu tidak pernah merasa terasing. Sebaliknya beliau percaya, apabila seseorang itu berserah sepenuhnya, bantuan akan datang dalam pelbagai bentuk.
“Saya datang seorang, tapi saya rasa ALLAH mudahkan urusan saya. Kawan-kawan pun baik, perjalanan pun dipermudahkan.
"Itu yang saya maksudkan jadi tetamu VVIP ALLAH,” jelasnya yang menyifatkan ketenangan di Madinah sukar digambarkan dengan kata-kata.
Ditipu ejen umrah
Namun, perjalanan menuju ke Baitullah ini penuh dengan onak. Mengimbas kembali impian tersebut sudah lama tersimpan, namun beliau menangguhkan hasratnya demi menjaga ibunya yang sakit sebelum meninggal dunia akibat COVID-19.
Selain itu, Zalifah turut berkongsi pengalaman pahit kerugian RM14,000 selepas ditipu ejen umrah tidak rasmi.
“Dia baik dengan kami, bawa makan, ajak ke rumah.
"Mula-mula bayar RM3,000, kemudian tambah lagi sampai RM14,000 untuk dua orang. Akhirnya kami sedar kena tipu,” ceritanya sebagai peringatan buat orang ramai agar menggunakan saluran yang sah.
Baginta, segala ujian itu adalah tarbiah untuknya lebih bersabar. Beliau tetap berpegang teguh bahawa doa adalah senjata paling utama.
“Kalau kita doa sungguh-sungguh, ALLAH dengar. Saya selalu bergantung kepada ALLAH.
"Apa-apa pun kita serah kepada DIA. Doa itu penting. Kalau diuji, kita sabar,” pesan wanita itu lagi.
Sumber: Awani, Sinar Harisn
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

