Anak perempuan Faizal Ismail raih dua anugerah akademik, buktikan pelajar madrasah mampu cemerlang - 'Dunia dikejar, akhirat dijaga...'
SIAPA yang tidak kenal dengan penyampai radio dan pengacara versatil, Faizal Ismail, atau lebih mesra disapa Faizal FBI.
Baru-baru ini, personaliti popular itu berkongsi rasa kesyukuran yang amat mendalam apabila anak perempuannya, Qalisya, sekali lagi melakar kejayaan yang cukup membanggakan seluruh keluarga.
Melalui hantaran menyentuh hati di media sosialnya, FBI mendedahkan, anak gadis suntinya itu berjaya merangkul dua Anugerah Pencapaian daripada KUMON Malaysia bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik.
Detik manis tersebut pastinya mengimbau memori lama buat dia dan isteri tercinta.
Menurut penyampai radio Zayan itu, kejayaan berkenaan merupakan kesinambungan daripada apa yang pernah dicapai oleh anak lelakinya sebelum ini.
"Dulu abangnya, Khalish, pernah menerima award untuk English… and today, seeing Qalisya follow the same path truly makes our hearts full," luahnya dengan nada yang penuh kebanggaan seorang bapa.
Apa yang lebih mengagumkan dan menyentuh hati rata-rata pengikutnya adalah latar belakang pendidikan anak-anak personaliti ini.
Walaupun sibuk mengejar kecemerlangan akademik di luar, anak-anak FBI sebenarnya merupakan pelajar madrasah yang mendalami ilmu agama dengan mendalam.

Kejayaan itu secara tidak langsung memecah stigma masyarakat tentang kemampuan pelajar aliran agama dalam menguasai subjek moden.
FBI menegaskan, pilihan pendidikan itu bukanlah satu penghalang untuk berjaya.
"Apa yang lebih menggembirakan kami sebagai parents… Qalisya, bersama kakak dan abangnya, semuanya adalah pelajar madrasah.
"Hari ini, mereka membuktikan bahawa pursuing religious education is never a limitation to achieving academic excellence," katanya lagi.
Bagi selebriti tersebut, dia dan isteri melihat anak-anak membesar dengan seimbang dari segi rohani dan intelek adalah satu nikmat yang paling besar dalam keibubapaan.
Tiada apa yang lebih didoakan melainkan anak-anak mereka terus dipelihara dan diberkati dalam setiap langkah kehidupan.
"Sebagai ibu ayah, kami hanya mampu bersyukur melihat anak-anak grow dengan seimbang, ilmu dunia yang dikejar, akhirat yang dijaga.
"Semoga ALLAH SWT terus memelihara anak-anak kita semua, mengurniakan kejayaan yang membawa manfaat di dunia dan keberkatan hingga ke akhirat. Ameen Ya Rabb," kongsinya panjang lebar.

Hantara yang penuh inspirasi itu nyata menarik perhatian warga maya yang rata-ratanya tumpang gembira dan membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah serta pujian melambung.
Ada yang mengagumi cara FBI mendidik anak-anaknya sehingga mampu mengimbangi tuntutan dunia dan akhirat dengan begitu baik sekali.
Antara komen netizen yang mencuri tumpuan termasuklah, "Tahniah pada anak-anak FBI… proud of you and family,"
Ada juga yang menambah, "Alhamdulillah… bila agama nombor satu, semua jadi mudah." Kegembiraan keluarga ini pastinya menjadi pembakar semangat buat ibu bapa lain di luar sana untuk terus memberikan yang terbaik buat permata hati mereka.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
