Ibu terkorban tragedi helikopter Lumut, anak kembar seiras teruskan legasi Noor Rahiza. Berjaya jejak kaki ke UPNM!
TRAGEDI dua helikopter TLDM terhempas di Pangkalan TLDM Lumut yang mengorbankan 10 perwira negara pada April 2024 terus segar dalam lipatan sejarah.
Dua tahun kehilangan insan yang paling disayangi, anak kembar Bintara Muda Noor Rahiza Anuar, iaitu Nur Qistina Awliyah dan Nur Qistina Auni Mohd Azinor meneruskan legasi ibu mereka selepas melanjutkan pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Menerusi video tular, Nur Qistina Awliyah dan Nur Qistina Auni yang kini berusia 18 tahun memilih kursus Diploma Kecergasan Pertahanan.

Selain meminati bidang fisiologi, pasangan kembar seiras itu juga terdorong untuk menceburi kerjaya dalam dunia ketenteraan.
"Kami tengok dalam Unit Pusat Universiti (UPU) boleh jadi fisio. Kami berminat dan ambil kursus ni.
"Boleh jadi kadet, Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) dan Askar Wataniah. Kebajikan pun terjaga," tutur mereka.
Pemilihan bidang tersebut juga dipengaruhi oleh jiwa atlet yang mengalir dalam diri mereka, memandangkan pasangan kembar ini merupakan atlet judo yang pernah mewakili Kelantan hingga ke peringkat kebangsaan.

"Kami sertai judo sejak Tingkatan Satu lagi. Mula-mula sekadar mencuba, pada peringkat awal ada juga rasa mahu keluar tetapi kami kekal dalam sukan ini kerana seronok," kongsinya.
Menempuhi kehidupan sebagai pelajar institusi pengajian tinggi, Nur Qistina Awliyah dan Nur Qistina Auni mengakui pesanan daripada ibu mereka terus menjadi azimat serta penguat semangat.

"Ibu pesan jangan gaduh adik beradik, belajar betul-betul dan jangan mengharapkan orang lain.
"Susah senang, ada adik-beradik," kongsinya.
Terdahulu, Allahyarham Bintara Muda Noor Rahiza Anuar yang menaiki helikopter Operasi Maritim HOM-AW139 terkorban ketika sedang menyertai raptai perbarisan sempena sambutan Ulang Tahun Hari TLDM ke-90.
Selain Nur Qistina Awliyah dan Nur Qistina Auni, Allahyarham juga meninggalkan dua lagi cahaya mata iaitu Muhammad Qisti Afif,17 dan Nur Qistina Afia, 8.
Sumber: Bernama, Instagram UPNM
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
