'Saya menangis, sedih mama tiada…' – Marissa Dania nafi ketepikan Abby Abadi, jawab isu mesej ‘forward’ & kongsi pesanan abang
AIR mata seorang anak tumpah jua di hari bahagia, apatah lagi saat kelibat ibu kandung yang amat dinantikan langsung tidak kelihatan.
Itulah luahan sayu Marissa Dania yang mengakui hatinya dipalit rasa sedih apabila ibunya, Abby Abadi, tidak menghadirkan diri ke majlis sambutan hari jadinya baru-baru ini.
Berkongsi rasa terkilan di Instagram Story selepas ditangan netizen, Marissa secara jujur mendedahkan betapa dia amat mengharapkan kehadiran figura penting itu di sisinya.

"Ya saya nak dia berada di sana.
"Saya nangis dekat Mak Long dan Mak Teh (kakak mama) semasa majlis tersebut sebab mama tiada," kongsinya penuh emosi.
Mengulas tentang dakwaan kononnya mesej jemputan jenis forward menjadi punca Abby berkecil hati, Marissa tampil mempertahankan tindakannya.

Tiada istilah pilih kasih
Jelasnya, tiada istilah pilih kasih kerana semua tetamu jemputan menerima teks yang sama daripada pihak pengurusan acara.
"Kenapa mesej forward dijadikan isu jika semua menerima jemputan yang sama memandangkan ia telah diberikan oleh designer termasuk papa, abah dan mummy," tulisnya lagi bagi menjernihkan keadaan yang mula menjadi bualan netizen.

Rupa-rupanya, sebalik kemelut yang melanda, hubungan dua beranak ini sudah sedia tegang sebelum majlis berlangsung lagi ekoran satu salah faham yang timbul secara tidak sengaja.

Kisahnya bermula apabila Marissa sempat bertemu dengan bapanya, Norman Hakim, selepas urusan mahkamah selesai.
"Sebenarnya sebelum saya hantar jemputan tersebut, ada perbualan lain yang telah menjadi isu memandangkan saya jumpa papa tetapi tidak berjumpa dengan dia.
"Saya jumpa papa sebaik sahaja urusan di mahkamah selesai dan memang tidak dirancang," ujarnya.

Ruang menenangkan diri
Situasi menjadi semakin rumit apabila masing-masing mula berkecil hati, sedangkan Marissa ketika itu hanya memerlukan sedikit ruang untuk menenangkan fikiran selepas melalui hari yang panjang.
"Sejujurnya, ketika itu saya perlukan masa sendirian selepas selesai di mahkamah.
"Boleh sahaja kita jumpa hari kemudiannya tanpa menaikkan perkara. Daripada situ terasa dengan masing-masing lagi padahal baru sahaja berjumpa dua hari sebelum," luahnya lagi.

Di sebalik tumpuan hangat netizen terhadap kemelut tersebut, abang sulungnya, Danish Hakim, tampil memberikan sokongan moral yang cukup mendalam.
Menerusi tangkap layar mesej yang dikongsikan Marissa, Danish menolak segala dakwaan negatif luar dengan mendedahkan bahawa Marissa sebenarnya merupakan antara adik-beradik yang paling kuat berusaha menjaga hubungan baik dengan ibu mereka.
"Antara kita bertiga kau dah paling cukup baik dengan mama," tulis Danish yang sangat menghargai pengorbanan adiknya itu sebagai pendamai keluarga.
Tidak mahu menuding jari atau menyalahkan mana-mana pihak, Danish dengan matang mengakui bahawa setiap keluarga tidak lepas daripada ujian, namun apa yang paling utama adalah keikhlasan untuk memperbaiki keadaan.

"Pasal keluarga, saya faham. Manusia tak sempurna, dan yang penting adalah keikhlasan untuk memperbaiki.
" Saya tahu awak sentiasa cuba untuk jadi jambatan antara semua pihak, dan saya sangat hargai usaha awak," luahnya sekali gus menutup mulut netizen tentang hal sebenar di sebalik ujian yang menimpa keluarga mereka.
Walaupun ketidakhadiran Abby mencetuskan pelbagai spekulasi, Abby bagaimanapun menafikan dirinya marah, sebaliknya menjelaskan ucapan hari jadi di media sosial adalah bukti kasih sayang yang tidak pernah padam buat anak gadisnya itu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
