'Doa umi, abi sentiasa mengiringi' -Impian Ustazah Asma' 25 tahun lalu tercapai, anak lelaki daftar masuk Universiti Malaya

A
A
A

PENDAKWAH terkenal, Ustazah Asma' Harun meluahkan rasa syukur apabila anak keduanya, Tengku Luqman secara rasmi mendaftar sebagai penuntut di Universiti Malaya (UM).

Menerusi satu catatan di media sosial, Ustazah Asma' berkongsi bahawa kejayaan anaknya melangkah ke menara gading berkenaan seolah-olah menyambung semula impiannya yang tidak kesampaian sekitar 25 tahun lalu.

Mengimbas kembali momen pada tahun 2001, Ustazah Asma' mendedahkan dia sebenarnya pernah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di UM yang merupakan universiti impiannya ketika itu.

No Image Caption

Bagaimanapun, atas nasihat dan hasrat keluarga, dia akur untuk menyambung pengajian di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) sebagai laluan ke Universiti Al-Azhar, Mesir.

"Alhamdulillah, ALLAH susun perjalanan hidup ini dengan sangat indah. Hari ini pula, ALLAH takdirkan anak umi melanjutkan pengajian di UM. Seolah-olah menyambung satu impian yang pernah ALLAH takdirkan buat umi dahulu, cuma dengan jalan yang berbeza," katanya.

Kongsi Ustazah Asma' sebelum melangkah ke alam universiti, anak lelakinya itu memanfaatkan tempoh enam bulan berada di rumah dengan menggalas tugas menguruskan projek pertanian dan perikanan mini di ruang belakang rumah yang terhad.

 Antara hasil projek pertanian dan perikanan mini oleh anak lelaki Ustazah Asma'
Antara hasil projek pertanian dan perikanan mini oleh anak lelaki Ustazah Asma'

Di bawah seliaan ketat, Tengku Luqman berjaya mengusahakan ternakan ikan keli dan ikan tilapia serta tanaman sayur-sayuran seperti sawi, bayam, cili, limau, labu, terung, buah delima dan jagung.

Artikel Berkaitan:

"Bagi umi, ini bukan sekadar tanam sayur atau bela ikan. Umi mahu Luqman belajar kemahiran hidup. Belajar sesuatu daripada kosong. 

"Daripada tanah, benih, air, anak ikan saiz 1 inci, urus makanan ikan, penjagaan setiap hari, sabar menunggu, lalu akhirnya ALLAH izinkan keluar hasil.

"Walau umi tegas, lagi bila salah step pembenihan atau tak sesuai kaedah tanaman, di situlah Luqman belajar sabar, disiplin, teliti dan belajar bertanggungjawab. Belajar bahawa sesuatu yang kita mula, mesti kita usahakan sampai selesai.

Ujar Ustazah Asma', bertani membentuk sifat sabar, disiplin, teliti dan bertanggungjawab pada anaknya
Ujar Ustazah Asma', bertani membentuk sifat sabar, disiplin, teliti dan bertanggungjawab pada anaknya

"Dan yang paling penting, Luqman dapat rasa sendiri betapa manisnya menikmati hasil daripada usaha tangan sendiri," titipnya.

Sebagai ibu, Ustazah Asma' menitipkan pesanan berharga buat Luqman menyesuaikan diri dengan situasi baharu.

"Belajar di universiti nanti bukan sekadar mahu mengejar ijazah. Tetapi belajarlah menjadi manusia yang kuat, matang, beradab, sabar dan bermanfaat," coretnya.

No Image Caption

Dia juga sempat berkongsi bahawa proses menuntut ilmu tidak pernah berakhir.  Malah dia sendiri masih bergelar pelajar Doktor Falsafah (PhD), Fakulti Kepimpinan & Pengurusan dalam pengkhususan Dakwah dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

"Belajarlah bersungguh-sungguh, jaga solat, jaga akhlak, hormati pensyarah, pilih sahabat yang baik. 

"Semoga ALLAH kurniakan Luqman ilmu bermanfaat, hati yang dekat dengan ALLAH, akhlak  mulia dan kehidupan yang sentiasa dipandu oleh keredaan-NYA," titip lagi.

Sekadar info, Ustazah Asma dan suaminya,  Tengku Fazli Tengku Yahya memiliki enam lagi cahaya mata iaitu Atikah, Maisarah, Imran, Sofwan, Raihanah dan Fatimah.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang