'Kita grad sama-sama ok!' Norman Hakim hantar Maria Danisha ke universiti, sambung belajar bersama Marissa Dania secara ‘out-campus’
IBU bapa antara individu yang paling sibuk dan teruja dalam mempersiapkan segala keperluan anak-anak demi melangkah ke menara gading.
Itulah fasa baharu yang dilalui oleh pelakon, pengacara dan usahawan, Norman Hakim yang menguruskan pendaftaran anak perempuan bongsunya bersama bekas isteri, Abby Abadi iaitu Maria Danisha yang kini rasmi bergelar mahasiswi universiti.
Menerusi hantaran terbaharu di laman Instagram miliknya, Norman atau nama sebenarnya Mohamed Nurhakim Zaidon, bersyukur dan menyifatkan minggu sangat padat namun produktif demi memastikan urusan pendaftaran anaknya itu berjalan lancar.
"Alhamdulillah syukur nikmat. Minggu yang sangat hectic ada peak dia hari ini. Syukur sangat productif dengan izin-NYA khusus untuk 'baby' Maria Danisha untuk permulaan jadual praorientasi selama seminggu ini," tulisnya.
Bapa kepada enam cahaya mata ini turut mendedahkan tugasnya yang perlu 'melayan' dan membimbing Danisha bagi memenuhi senarai semak yang agak panjang sebelum bermulanya hari orientasi yang sebenar.

Lebih melucukan, Norman sempat berseloroh mengenai jumlah barangan yang dibawa oleh anak gadisnya itu yang disifatkan sangat banyak.
"Hari-hari papa kena guide dia untuk fulfilling to be exact 180 checklist dan ‘wishlist’ dia sebelum start the real orientation day bermula esok, hari pertama Baby sebagai mahasiswi universiti.
"Dapat accomplished 179 combined checklist dan wishlist je. Satu kena keep in view dulu.
"Syukur sangat ALLAH permudahkan segala urusan. Papa advised barang sikit-sikit tapi dia cakap 'Papa ni, baby kan girl. Kalau boy, takpela bawa sikit-sikit'.
"Aiyokkk... Boleh relate tak? Tu dia barang-barang dia, dah macam nak belajar 16 tahun kat sini!" kongsinya berseloroh.
Terdahulu, SinarPlus pernah melaporkan rancangan asal pendaftaran pengajian itu hanyalah melibatkan Maria Danisha dalam bidang Pengurusan dan Pentadbiran Perniagaan.

Bagaimanapun, atas cadangan pihak universiti, kakaknya, Marissa Dania turut ditawarkan laluan pendidikan bersama berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia yang memberangsangkan.
Menariknya, fasa baharu anak-anaknya itu turut menyuntik semangat buat Norman sendiri untuk kembali menyambung pelajaran.
Memiliki impian untuk berdiri di atas pentas konvokesyen bersama anak-anak, Norman mendedahkan dia dan Marissa akan melanjutkan pengajian secara luar kampus serta dalam talian.
"Apapun janji Baby happy, jiwa tenang untuk mulakan pengajian pada peringkat yang lebih tinggi selepas ini. Insya-ALLAH papa dan Kak Dania bakal menyusul secara out campus serta online.
"Semoga ALLAH permudahkan untuk kita grad sama-sama ok!" titipnya penuh harapan.
Di akhir perkongsian tersebut, pelakon drama Gerak Khas ini sempat menitipkan doa agar perjalanan akademik anaknya dipermudahkan selain memohon doa orang ramai agar mendoakan kejayaan Maria Danisha.
Sekadar info, Marissa Dania dan Maria Danisha ialah anak Norman daripada perkahwinannya dengan pelakon dan penyanyi Abby Abadi.
Mereka juga memiliki seorang cahaya mata lelaki, Mohd Danish Hakim. Norman dan Abby berkahwin pada tahun 2002 namun berpisah pada 2008.
Selepas berpisah Norman berkahwin dengan Memey Suhaiza pada 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Darwisz Hakim, Muhammad Dikhriz Hakim dan Mikayla Delisha Hakim.
Sumber: Instagram
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
