Bayi lahir besar bukan semestinya tanda sihat, ini risiko GDM yang ibu perlu tahu

No Image Caption
A
A
A

BAYI yang lahir gebu dan besar sering dianggap tanda sihat, namun jika saiz tersebut berpunca daripada kencing manis semasa hamil atau gestational diabetes mellitus (GDM), ia boleh membawa risiko tertentu kepada kesihatan si kecil. 

Menurut Pakar Perunding Pediatrik, Dr Elida Hanan Awang dari Columbia Asia Hospital Bukit Rimau, apabila ibu mengalami GDM, paras gula yang tinggi dalam darah boleh disalurkan kepada bayi melalui plasenta. 

“Bayi akan menghasilkan lebih banyak insulin untuk mengawal lebihan gula tersebut. Insulin bukan sahaja mengawal gula dalam darah, tetapi turut bertindak sebagai hormon pertumbuhan. 

“Apabila terlalu banyak insulin dihasilkan, ia boleh menyebabkan bayi membesar secara berlebihan atau dikenali sebagai macrosomia,” jelasnya. 

Menurut beliau, bayi yang terlalu besar mempunyai risiko lebih tinggi mengalami komplikasi ketika kelahiran termasuk bahu tersangkut serta masalah gula darah rendah selepas dilahirkan. 

Sumber gambar PEXELS
Sumber gambar PEXELS

“Selepas tali pusat dipotong, bekalan gula daripada ibu terhenti secara tiba-tiba, tetapi paras insulin bayi masih tinggi. Keadaan ini boleh menyebabkan gula darah bayi turun dengan cepat,” katanya. 

Justeru, bayi daripada ibu GDM perlu dipantau sebaik dilahirkan termasuk pemeriksaan paras gula darah, pernafasan, suhu badan serta penyusuan awal bagi membantu menstabilkan paras gula. 

Selain itu, bayi juga berisiko lebih tinggi mengalami masalah pernafasan walaupun dilahirkan cukup bulan kerana paras insulin yang tinggi boleh melambatkan kematangan paru-paru. 

Bagaimanapun, keadaan tersebut bukan bermakna semua bayi daripada ibu GDM akan mengalami masalah kesihatan apabila membesar. 

Kongsi pakar itu lagi, pendedahan kepada gula tinggi ketika dalam kandungan boleh meningkatkan risiko obesiti, diabetes jenis dua dan masalah metabolik pada masa depan, namun gaya hidup selepas kelahiran turut memainkan peranan penting. 

“Penyusuan susu ibu jika mampu, pemakanan seimbang, pengambilan buah-buahan serta sayur-sayuran dan mengehadkan makanan tinggi gula boleh membantu mengurangkan risiko tersebut,” ujarnya. 

Sejarah diabetes 

Sementara itu, Pakar Obstetrik & Ginekologi, Dr Choi Yee Xian dari pusat perubatan yang sama menjelaskan, GDM boleh berlaku kepada ibu yang tidak pernah mempunyai sejarah diabetes. 

No Image Caption

Katanya, perubahan hormon ketika hamil menyebabkan badan kurang memberi tindak balas terhadap insulin atau berlaku keadaan dikenali sebagai insulin resistance.

“Hormon daripada uri diperlukan untuk menyokong pertumbuhan bayi, tetapi pada masa sama boleh mengurangkan keberkesanan insulin. Jika badan ibu tidak menghasilkan insulin yang mencukupi, paras gula dalam darah akan meningkat dan GDM boleh berlaku,” katanya. 

Menurut Dr Yee Xian, faktor seperti usia ibu, berat badan berlebihan, sejarah keluarga diabetes atau pernah mengalami GDM boleh meningkatkan risiko, namun ibu tanpa faktor tersebut juga masih boleh mengalaminya. 

Lebihan gula yang diterima melalui plasenta bukan sahaja menyebabkan bayi membesar lebih cepat, malah boleh menyumbang kepada masalah air ketuban berlebihan. 

Apabila bayi disyaki bersaiz besar, keputusan sama ada ibu perlu menjalani pembedahan Caesarean atau bersalin normal perlu dibuat berdasarkan penilaian doktor. 

Sumber gambar PEXELS
Sumber gambar PEXELS

“Bukan hanya berat bayi yang diambil kira, tetapi juga saiz tubuh ibu, sejarah kelahiran terdahulu serta keadaan keseluruhan ibu dan bayi,” katanya. 

Selepas bersalin, ibu yang pernah mengalami GDM juga perlu membuat pemeriksaan susulan. Dr Yee Xian menyarankan ujian toleransi glukosa oral (OGTT) sekitar enam minggu selepas bersalin bagi memastikan paras gula kembali normal. 

“Walaupun kebanyakan ibu kembali normal selepas bersalin, mereka masih mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat diabetes jenis dua pada masa depan. Pemeriksaan gula secara berkala sangat digalakkan,” katanya. 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang