'Dia cakap claim insurans, lepas tu blah!' – Abby Abadi kemalangan, kongsi detik cemas kenderaan dilanggar dari belakang

No Image Caption
A
A
A

NIAT murni mahu mencari tempat menunaikan solat Subuh bertukar menjadi detik cemas buat penyanyi dan pelakon popular, Abby Abadi, apabila kenderaan yang dinaikinya dilanggar dari belakang dalam satu kemalangan pagi Isnin.

Insiden yang berlaku ketika bekas bintang drama bersiri Gerak Khas itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Singapura.

Mengimbas kembali kejadian tersebut, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan memberitahu, suasana jalan raya yang gelap membuatkan dia dan rakan perjalanannya tidak menyedari kenderaan mereka sebenarnya telah dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta lain.

"Dalam perjalanan balik ke KL dari Singapura, tengah leka mencari tempat nak solat Subuh, tiba-tiba ada yang langgar dari belakang! Memang terkejut sangat-sangat.

No Image Caption

"Mula-mula ingat tayar pecah. Bila berhenti di tepi, ada abang penunggang motosikal datang dan beritahu ada kereta lain yang langgar. Tapi serius memang tak sedar sebab keadaan gelap waktu itu," katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Namun, apa yang membuatkan Abby lebih terkilan dan kecewa adalah sikap pemandu yang melanggar kenderaannya itu. Pemandu berkenaan dilihat seolah-olah mahu lepas tangan dan terus berlalu pergi begitu sahaja selepas memberi pesanan ringkas.

"Pendekkan cerita, pemandu kereta yang langgar tu datang. Tengok gitu-gini, lepas tu dia cakap 'claim insurans'. Nak buat macam mana lagi, lepas tu dia terus cakap 'oklah ye kak' dan blah!

"Lah! Dah kita orang kereta tak boleh jalan, terkapai-kapai tengah highway ni tunggu bantuan PLUS. Macam tu sahaja ya kalau dah langgar orang?" luahnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Ekoran kejadian itu, kenderaan yang dinaiki Abby tidak dapat meneruskan perjalanan dan terpaksa menunggu bantuan tunda daripada pihak Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di tepi lebuh raya.

Rata-rata netizen dan pengikut di ruangan komen turut menyuarakan rasa simpati serta mengecam tindakan pemandu berkenaan yang dianggap tidak bertanggungjawab dan bersikap acuh tak acuh.

Apa Perlu Buat Jika Terlibat Kemalangan Di Lebuh Raya?

Situasi yang dialami Abby Abadi boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Jika anda berdepan kejadian sebegini, pastikan anda mengambil langkah-langkah keselamatan berikut:

Utamakan Keselamatan: Pasang lampu kecemasan dan letakkan papan tanda amaran kecemasan pada jarak yang selamat di belakang kenderaan.

Kumpul Bukti: Ambil foto atau rakam video nombor plat kenderaan yang terlibat, cermin/bahagian yang rosak dan keadaan persekitaran.

Tukar Maklumat: Pastikan anda maklumat pemandu terbabit sebelum mereka beredar.

Hubungi Bantuan: Jika berada di lebuh raya, terus hubungi talian kecemasan lebuh raya (seperti PLUSLine 1800-88-0000) untuk bantuan trak tunda percuma ke kawasan selamat.

Laporan Polis: Buat laporan polis dalam tempoh 24 jam untuk memudahkan urusan tuntutan insurans.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang