'Dato’ Jojo soon?' - Jojo Ghazali terima darjah kebesaran Ahli Bintang Sarawak, bangga terus bawa nama negeri ke pentas dunia 

No Image Caption
A
A
A

PETINJU Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Jojo Ghazali, melakar satu lagi detik bermakna dalam kariernya apabila menerima Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Ahli Bintang Sarawak (ABS). 

Pengurniaan itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak yang berlangsung di Astana Negeri Sarawak, hari ini. 

No Image Caption

Jojo, antara 154 penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Sarawak pada istiadat berkenaan. Pengiktirafan tersebut diberikan sebagai penghargaan terhadap pencapaian serta sumbangannya dalam mengharumkan nama Sarawak menerusi sukan Muay Thai. 

Bagi anak muda berusia 19 tahun yang sinonim dengan aksi agresif di gelanggang itu, pengiktirafan berkenaan ternyata cukup dekat dengan hatinya memandangkan Sarawak merupakan negeri yang banyak membentuk perjalanan kariernya. 

Artikel berkaitan: 

Menerusi hantaran di media sosial, Jojo menyifatkan Sarawak mempunyai tempat istimewa dalam hidupnya. Mengungkapkan 'Agi idup, agi ngelaban' menggambarkan semangat yang menjadi pegangan petarung itu dalam mengharungi dunia sukan tempur. 

"Di Sarawak kami mempunyai pepatah ‘Agi idup agi ngelaban’ yang bermaksud ‘Selagi saya hidup, selagi itulah saya akan berjuang’ dan saya berpegang teguh pada prinsip itu.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

"Kepada bandar yang sentiasa di hati saya, terima kasih atas pengiktirafan ini. Alhamdulillah.

Saya akan terus berusaha sehabis baik untuk mengharumkan nama tempat ini” tulisnya. 

Dalam satu lagi hantaran, Jojo sempat mencuit hati pengikutnya dengan mempersoalkan sama ada pengiktirafan tersebut menjadikannya secara rasmi sebagai ‘harta negara’. 

No Image Caption

"Secara rasminya sebuah khazanah negara?

"Alhamdulillah. Terima kasih Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan terima kasih Sarawak. Pingat (ABS) Ahli Bintang Sarawak."

 

“Dato’ Jojo soon?” katanya berseloroh. 

Walaupun masih muda, nama Jojo bukan lagi asing dalam arena Muay Thai antarabangsa. 

Mewakili Rentap Muaythai Gym, Jojo mula menceburi sukan tersebut ketika berusia 10 tahun sebelum membina nama di pentas tempatan dan antarabangsa.

Kedua-dua ibu bapanya juga mempunyai latar belakang dalam Muay Thai, sekali gus menjadikan sukan itu sebahagian daripada kehidupannya sejak kecil. 

Antara pencapaian terbesar yang melonjakkan namanya ialah kejayaan menjuarai Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2022 selepas menewaskan wakil Rusia, Rustam Yunusob. 

Jojo kemudian mencuri perhatian menerusi pentas ONE Championship selepas beberapa kemenangan meyakinkan yang akhirnya membolehkannya memperoleh kontrak bernilai AS$100,000 bersama organisasi seni bela diri berkenaan. 

Daripada seorang remaja yang berlatih di gim Muay Thai di Sarawak, Jojo kini berdiri sebagai antara wajah muda Malaysia yang mendapat perhatian di pentas antarabangsa. 

Sumber: Facebook, One Championship 

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang