'Kami sayang ayah sangat-sangat' – Isteri titip ucapan penuh kasih sempena hari lahir Achey 

No Image Caption
A
A
A

BUKAN sekadar seorang suami, malah menjadi tempat bergantung dan pelindung buat keluarga, pelawak Achey menerima ucapan penuh kasih daripada isterinya, Nor Hasanah Yahaya sempena ulang tahun kelahirannya. 

Menerusi satu perkongsian di media sosial, Nor Hasanah atau lebih mesra disapa Anne menitipkan ucapan yang cukup bermakna buat lelaki yang menjadi teman hidupnya selama ini. 

Tidak banyak yang diminta, sebaliknya Anne mendoakan agar Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah sentiasa diberikan kesihatan, dipanjangkan usia dan dimurahkan rezeki. 

“Selamat ulang tahun buat suami tercinta, Mohd Nasir. Terima kasih kerana sentiasa menjaga, menyayangi dan melindungi saya dan Tiara. 

“Terima kasih atas segala pengorbanan, kesabaran dan kasih sayang yang tidak pernah putus,” tulisnya. 

No Image Caption

Di sebalik kehidupan sebagai pasangan selebriti, rumah tangga Achey dan Anne bukanlah sentiasa dihiasi momen manis. Anne sempat berkongsi video memaparkan perjalanan rumah tangga mereka sehingga kehadiran anak angkat mereka, Tiara atau nama penuhnya Nur Tiara Zinnirah pada tahun 2018. 

Pasangan itu melalui pelbagai fasa kehidupan bersama, termasuk jatuh bangun mencari rezeki, membina keluarga dan perjalanan mendapatkan cahaya mata. 

Malah, Achey sebelum ini pernah berkongsi bagaimana Anne menjadi individu yang banyak berkorban ketika dirinya masih bertatih dalam industri seni. 

Artikel Berkaitan:

Menurut Achey, isterinya pernah bekerja sebagai tukang cuci bagi membantu menyara kehidupan mereka ketika keadaan kewangan masih belum kukuh. 

Artikel berkaitan

Justeru, tidak hairanlah apabila pasangan itu sering memperlihatkan sisi keluarga yang begitu rapat dan saling menyokong. 

Bagi Anne, lelaki yang dikahwininya itu bukan sekadar pasangan hidup, tetapi insan yang sentiasa berada di sisi mereka dalam susah dan senang. 

No Image Caption

Dalam ucapan sama, Anne turut menitipkan doa agar segala urusan suaminya dipermudahkan dan mereka sekeluarga terus diberi kesempatan untuk bersama. 

“Semoga ALLAH panjangkan umur, murahkan rezeki, berikan kesihatan yang baik dan permudahkan setiap urusan. 

“Semoga kita terus bersama dalam suka dan duka, hingga ke syurga,” katanya. 

Lebih mengundang rasa sebak, ucapan itu turut ditutup dengan luahan kasih daripada Anne dan Tiara buat insan yang mereka panggil ayah. 

“Kami sayang ayah sangat-sangat. Selamat ulang tahun, sayang,” tulisnya bersama emoji hati. 

Hantaran berkenaan menerima pelbagai reaksi daripada warganet. Rata-rata mengucapkan selamat hari lahir buat juara Bintang Mencari Bintang musim pertama itu. 

Sekadar info, Achey mendirikan rumah tangga dengan Anne pada 2011.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang