Sakit dada disangka gastrik? Jangan pandang ringan, serangan jantung juga boleh berlaku pada golongan muda
SERANGAN jantung sering dikaitkan dengan golongan berusia, tetapi realitinya golongan muda zaman sekarang juga tidak lagi terkecuali daripada ancaman berisiko tinggi ini.
Lebih membimbangkan, individu yang kelihatan aktif berkunjung ke gimnasium, rajin bersukan mahupun gemar menyertai acara maraton belum tentu bebas daripada bahaya penyakit berkenaan.
Fenomena imej fizikal yang cergas di luaran sering kali mengelabui mata ramai, sedangkan di dalam tubuh terdapat pelbagai faktor risiko tersembunyi yang tidak disedari.
Menurut Pakar Kardiologi dan Perubatan Dalaman dari Pantai Hospital Melaka, Dr Mohd Al-Baqlish Mohd Firdaus, faktor pendorong serangan jantung dalam kalangan orang muda sebenarnya hampir sama dengan pesakit yang berusia.

“Punca dia masih sama kebanyakan masa. Tapi generasi muda sekarang ini banyak yang ada faktor risiko untuk mendapat serangan jantung,” katanya.
Antara punca utama yang dikesan termasuklah masalah kencing manis, obesiti, amalan merokok atau penggunaan vape, kolesterol tinggi serta tekanan darah tinggi pada usia lebih muda.
Keadaan itu menjadi semakin buruk apabila digabungkan dengan amalan pemakanan berkalori tinggi serta kegilaan mencuba pelbagai hidangan dan minuman manis yang tular di media sosial.
Di samping itu, fenomena FOMO atau takut ketinggalan trend turut mendorong ramai anak muda mengamalkan gaya hidup tidak sihat tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap organ dalaman.
Isu tekanan kerja berpanjangan juga memainkan peranan penting dalam menambah risiko kesihatan diri. Tekanan emosi secara berterusan mendorong seseorang mengamalkan tabiat memudaratkan seperti merokok lebih kerap, mengabaikan senaman, serta mengalami kecenderungan food craving terhadap makanan manis atau masin.
Tabiat melepak hingga lewat malam pada hujung minggu sambil menikmati hidangan berat sebelum tidur turut mengeruhkan lagi tahap kesihatan salur darah jantung.
Rebah tiba-tiba
Mengulas mengenai gejala penyakit, Dr Mohd Al-Baqlish menjelaskan kekeliruan yang paling kerap berlaku dalam masyarakat adalah apabila seseorang sukar membezakan antara masalah jantung dengan serangan gastrik.

“Tak semestinya kena sakit kuat. Kadang-kadang cuma rasa tak selesa dekat tengah dada. Biasanya sakit dada yang berkaitan dengan jantung ini rasa berat, dan dia boleh menjalar ke leher serta kedua-dua belah tangan,” jelas beliau.
Kekeliruan ini bertambah parah apabila serangan jantung menunjukkan tanda tidak spesifik (atypical presentation). Walaupun sakit gastrik umumnya berpunca dari kawasan hulu hati, serangan jantung yang melibatkan salur darah bahagian bawah (inferior wall) juga sering mencetuskan rasa senak di perut yang kelihatan amat serupa dengan gastrik biasa.
Ketidakselesaan tersebut biasanya hadir bersama rasa peluh dingin, kesukaran bernafas, mahupun keletihan mendadak sewaktu melakukan aktiviti ringkas.
Insiden rebah secara tiba-tiba ketika bersukan, berlari atau bermain badminton juga tidak semestinya berpunca daripada serangan jantung semata-mata, namun ia tetap merupakan antara kemungkinan utama yang wajib dipertimbangkan. Disebabkan terlalu yakin diri masih muda, ramai anak muda mengabaikan isyarat amaran awal ini.
Mereka cenderung merawat diri sendiri dengan mengurut badan atau sekadar menyapu minyak angin. Tindakan sedemikian sangat berbahaya kerana melengah-lengahkan masa mendapatkan rawatan di hospital yang sepatutnya dapat menyelamatkan nyawa.
Selain faktor gaya hidup, kecenderungan genetik atau sejarah keluarga merupakan risiko kekal yang tidak boleh diubah.
Sehubungan itu, Dr Mohd Al-Baqlish mengingatkan agar masyarakat tidak mudah terpedaya dengan imej sihat yang ditayangkan di platform digital semata-mata.

“Tak boleh kita portray kita hidup sihat dekat media sosial, tapi belakang-belakang kita merokok, tak jaga pemakanan atau makan lewat malam lepas itu terus tidur,” tegasnya.
Justeru, pengesanan awal menerusi ujian darah, elektrokardiogram mahupun pemeriksaan spesifik amat penting bagi mereka yang mempunyai faktor risiko. Bagi pesakit yang pernah mengalami serangan jantung, program rehabilitasi kardiak dapat membantu mereka kembali beraktiviti secara selamat. Jangan tunggu sehingga rebah, segera dapatkan pemeriksaan pakar sekiranya mengalami sebarang gejala yang mencurigakan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
