'Besi 96cm dibaluti tali leher untuk memukul, berlaku pergelutan...' Irene Sofiya dipercayai mangsa dendam cinta ditolak



PEMERGIAN tragis pelajar pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Sabtu lalu dipercayai berpunca daripada perasaan dendam termasuk berkaitan penolakan cinta oleh suspek yang merupakan rakan sekelasnya.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata bagaimanapun, motif berkenaan masih diperhalusi menerusi siasatan yang sedang dijalankan.
"Polis percaya motif pembunuhan adalah akibat perasaan dendam suspek terhadap mangsa termasuk berkaitan penolakan cinta suspek dan menjalinkan hubungan dengan kawan baik sendiri.
"Bagaimanapun, perkara ini akan diperhalusi dalam siasatan yang masih dijalankan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Memetik Bernama, Ab Rahaman berkata suspek lelaki berusia 16 tahun ditahan dan setakat ini tiada individu lain dikenal pasti terlibat.
Difahamkan, sepanjang tempoh siasatan dari 4 hingga 8 Oktober, berlaku beberapa siri rampasan dan penemuan barang kes di sekitar Yong Peng.
Ia termasuk sebatang besi sepanjang kira-kira 96 sentimeter yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa. Lebih memilukan, batang besi itu dibaluti tali leher berwarna biru pada bahagian hujung, dipercayai dijadikan sebagai pemegang untuk memukul mangsa!
"Berdasarkan laporan bedah siasat, kami percaya pukulan mengenai bahagian kepala, tetapi terdapat juga kesan pukulan pada badan, tangan dan beberapa anggota tubuh mangsa," katanya.
Dalam pada itu, polis juga percaya berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek berdasarkan keadaan di lokasi kejadian selepas menemukan meja dan kerusi terbalik selain sebuah pasu pecah serta terdapat kesan menunjukkan mangsa cuba mempertahankan diri.
Bagaimanapun, kata Ab Rahman siasatan setakat ini tidak menjurus kepada pasu berkenaan digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu.
Selain batang besi, iPhone 13 Pro, baju jersi Mizuno, seluar panjang hitam, sepasang selipar Adidas, satu set dekoder jenama Alhua Technology, seluar sukan berwarna hitam serta baju sukan putih dan merah bernombor 27 yang mempunyai kesan dipercayai darah antara barang kes dirampas.
Sebuah beg kanvas mengandungi peralatan tulis, beg galas mengandungi buku Matematik Tambahan dan kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tertera nama Irene Sofiya, sepasang cermin mata, anak kunci berlambang Yamaha, botol minuman Owala, tiga helai kertas kehadiran pelajar serta sebuah kalkulator Casio berwarna merah jambu turut dirampas.
Semua barang kes berkenaan telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis.
Ditanya sama ada terdapat cubaan perkosa terhadap mangsa dalam kejadian itu, Ab Rahma berkata setakat ini siasatan tidak mengesan perkara berkenaan.
Suspek setakat ini tidak mempunyai rekod masalah disiplin di sekolah manakala berkaitan keadaan mental remaja berkenaan akan diserahkan kepada mahkamah sekiranya dia didakwa dan perlu dirujuk untuk pemeriksaan psikiatri.
Katanya, siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan hampir lengkap dan kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor hari ini untuk arahan lanjut.
Imbas kembali 3 Oktober lepas, Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran dar*h di sebuah dewan sekolah di Yong Peng kira-kira 5.50 petang sebelum disahkan meninggal dunia.
Susulan kejadian itu, suspek ditahan sekitar7 malam hari yang sama dan telah reman selama enam hari pada 4 Oktober lepas bagi membantu siasatan dan disambung enam hari lagi bermula esok.
Sumber: BERNAMA
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

