'Kembali kepada ALLAH saat dunia terasa berat' – Dr Fie titip penghargaan buat keluarga selepas majlis resepsi
PEMPENGARUH Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau lebih mesra disapa Dr Fie menitipkan luahan penuh makna selepas majlis resepsi perkahwinannya bersama suami, Kapten Amrul Nizar Anuar.
Menerusi perkongsian di media sosial, doktor pergigian itu mengingatkan bahawa ALLAH SWT sentiasa mengetahui setiap kesukaran yang dilalui seseorang meskipun tidak diluahkan kepada sesiapa.
Menurutnya, ketika berdepan kehidupan yang terasa semakin berat, perkara paling utama adalah kembali meletakkan hati dan kebergantungan kepada ALLAH.
“Apabila dunia terasa terasa berat, kembalilah kepada ALLAH dengan sepenuh hati. DIA yang mengetahui segala perjuangan yang tidak pernah kamu ceritakan dan doa-doa yang kamu bisikkan dalam diam,” tulisnya.

Dalam perkongsian sama, Dr Fie turut merakamkan penghargaan kepada semua tetamu yang sudi meluangkan masa menghadiri majlis resepsi mereka.
Namun, perhatian khusus diberikan kepada kedua-dua belah keluarga yang disifatkan sebagai individu penting dalam menjayakan hari bahagia berkenaan.
Malah, dia mengakui segala persiapan dan kelancaran majlis tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan serta bantuan keluarga.
"Terima kasih kepada semua yang hadir ke majlis kami. Paling penting, terima kasih kepada ahli keluarga saya dan keluarga suami. Kami tidak mungkin dapat melakukannya tanpa kalian semua," kongsinya.
Terdahulu, Dr Fie selamat mendirikan rumah tangga bersama usahawan, Kapten Amrul Nizar Anuar dalam majlis akad nikah yang berlangsung pada 1 November lalu.
Pasangan berkenaan disatukan dengan sekali lafaz, Dr Fie menerima mas kahwin berupa satu dinar emas.
Untuk rekod, Dr Fie pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi Nubhan Ahamad pada Ogos 2015 sebelum bercerai talak dua pada Disember 2025.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.
Sumber: Threads
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

