Tidak perlu diet ekstrem, Julie Ng guna ilmu pemakanan bantu lebih 6,000 penghidap diabetes
TEORI pemakanan yang dipelajari di menara gading tidak seharusnya terkunci di bilik kuliah atau terperap di dalam makmal penyelidikan semata-mata.
Bagi pakar pemakanan, Dr Julie Ng, ilmu berkaitan nutrisi dan diabetes adalah tiket terbaik untuk beliau turun padang, membantu masyarakat menyantuni tahap kesihatan masing-masing menerusi perubahan kecil dalam rutin harian.
Berbekalkan latar belakang akademik yang kukuh dalam bidang sains pemakanan, beliau mendedikasikan kerjayanya kepada pendidikan serta pengurusan diabetes secara praktikal.
Hasilnya, lebih 6,000 individu yang berdepan masalah kesihatan itu berjaya dibimbing menerusi pendekatan mesra gaya hidup yang dibangunkannya.
Segalanya bermula selepas beliau menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sains Pemakanan dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2008. Kecintaan mendalam terhadap bidang tersebut mendorongnya menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) pada 2012 dengan memfokuskan kepada aspek pemakanan khusus buat penghidap diabetes.
Kesungguhan beliau membuahkan hasil apabila kajiannya merangkul tempat pertama dalam pertandingan penyelidikan kesihatan antarabangsa pada 2015, sebelum secara rasmi memperoleh gelaran PhD dua tahun kemudian.

Berbekalkan pengalaman lebih 15 tahun dalam dunia pengajaran dan penyelidikan, Julie akhirnya menterjemahkan segala kepakaran tersebut menerusi Program Diet Remisi Diabetes 100 Hari.
"Inisiatif ini lahir daripada satu kepercayaan mudah—ilmu pemakanan mesti diterjemahkan kepada panduan praktikal yang realistik dengan kehidupan sebenar seseorang.
"Menerusi program ini, setiap peserta akan menjalani penilaian kesihatan dan semakan sejarah pemakanan sebelum menerima pelan diet yang disusun khusus mengikut keperluan tubuh masing-masing. Mereka juga dipantau rapi oleh pakar pemakanan untuk memahami bacaan glukosa selepas makan serta cara membuat pilihan bijak walaupun ketika makan di luar," katanya.
Tambah beliau, bagi peserta yang masih bergantung kepada ubat-ubatan atau suntikan insulin, pemantauan doktor turut disediakan bagi memastikan sebarang pelarasan dos dibuat dengan selamat mengikut perkembangan semasa pesakit.

Menolak tanggapan bahawa diet pesakit diabetes itu menyeksakan, pakar tersebut menegaskan pelan pemakanan yang berkesan tidak sepatutnya membebankan sehingga gagal diamalkan dalam jangka masa panjang.
"Hidangan harian perlu kekal menyeronokkan, mudah disediakan dan selamat. Pendekatan saya langsung tidak memaksa peserta membuang terus makanan berkanji seperti nasi, apatah lagi bergantung kepada lambakan suplemen.
"Sebaliknya, fokus utama adalah pada gabungan nutrisi, kawalan saiz hidangan dan kebijaksanaan memilih menu—termasuklah cara menikmati makanan kegemaran tanpa rasa bersalah," jelasnya lagi.

Tidak terhenti di situ, usaha murni beliau mendekatkan ilmu kesihatan kepada orang ramai kini giat diperluaskan menerusi siri ceramah dan perkongsian awam. Baginya, kesedaran mengenai kawalan glukosa dan gaya hidup sihat perlu dipupuk segera kerana ancaman diabetes kini tidak lagi mengenal usia, malah semakin menghimpit golongan muda.
Dedikasinya tanpa jemu dalam memartabatkan pendidikan kesihatan turut mendapat pengiktirafan pelbagai pihak. Antaranya termasuklah Anugerah Penyelidikan Kesihatan Antarabangsa (2015), Malaysia Influential Educator (2022), BritishPedia Successful People in Malaysia (2023) serta Asia Pacific TOP Excellence Service Award menerusi DJ HealthyMax pada 2024.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

