'Tak tertanggung sakit ini ya ALLAH, nak bernafas pun struggle' – Amir Raja Lawak dedah keadaan terkini, masih bergantung pada oksigen
PELAWAK Amir Raja Lawak berkongsi keadaan terkini dirinya selepas dipindahkan ke wad biasa selepas hampir 12 hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan.
Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 37, mengakui perjalanan untuk kembali pulih seperti sedia kala masih panjang apabila dirinya masih berdepan kesukaran untuk bernafas, bercakap dan bergerak.
Menerusi perkongsian di Instagram, Amir memaklumkan dirinya masih berada di bawah pemantauan pihak hospital selain memerlukan bantuan oksigen.
Lebih menyentuh hati, pelawak itu turut mendedahkan keadaan dirinya yang lemah. Jelas Amir, untuk menulis satu hantaran Instagram, dia mengambil masa lebih sejam berikutan keadaan fizikal yang masih belum mengizinkan.
"Ketika posting ni ditulis, Alhamdulillah saya telah dipindahkan ke ward biasa. Saya dah pegang telefon sendiri sekarang kat sini.
"Saya masih dipantau dan pakai oksigen. Terima kasih banyak-banyak kepada semua," tulisnya.
Dalam perkongsian sama, Amir tidak menyembunyikan penderitaan yang ditanggung sepanjang berdepan ujian kesihatan berkenaan, malah menyifatkan kesakitan dialami terlalu berat untuk ditanggung.

Malah, dia turut bermuhasabah mengenai hikmah di sebalik ujian ALLAH SWT yang dilaluinya ketika ini.
"Apa yang boleh saya cakap dengan ujian ALLAH bagi ini, yang biasanya orang cakap sakit adalah untuk menghapuskan dosa kecil.
"Kalau hapuskan dosa kecil pun sudah sesakit ini, bagaimana keadaan saya jika untuk bersihkan dosa besar saya?
Berkongsi keadaan dirinya, Amir memberitahu kesakitan itu seolah-olah menyerang bahagian sendi dan dalaman tubuh. Dia juga mengakui masih mengalami keadaan tidak menentu apabila sesekali berasa keliru, termenung dan terlupa.
"Ya ALLAH, tak tertanggung sakit ini. Memang sakit Ya ALLAH. Dia macam serang sendi dan dalaman.
"Kadang saya masih blur, kadang termenung, kadang tak ingat.
"Saya boleh katakan, nak dapat balik kondisi keadaan diri saya 50/50 macam hari tu pun struggle lagi sekarang.
"Masih struggle lagi, untuk bernafas sekalipun, apatah lagi nak bergerak, memang ambik masa.
"Bercakap banyak patah pun jadi terbatuk-batuk, jadi saya banyak diam," luahnya sambil menyertakan emoji menangis.
Jelas Amir lagi, dia perlu menjalani proses pemulihan secara berperingkat bagi melatih paru-paru kembali berfungsi seperti sebelum ini.
"Saya kena perlahan-perlahan untuk latih paru-paru kembali aktif macam sebelum ini, tak boleh buat dengan terburu-buru supaya paru-paru dapat blend dengan kondisi tubuh badan semasa saya," jelasnya.
Pada masa sama, Amir turut menghargai keprihatinan orang ramai yang tidak putus-putus menitipkan doa dan kata-kata semangat sepanjang dirinya menerima rawatan.
Malah, dia memaklumkan sudah membaca komen-komen yang ditinggalkan peminat meskipun belum berkesempatan membalas setiap satunya.
"Saya scroll dan baca komen-komen awak semua, maaf ye saya tak balas, saya cuma baca je.
"Tulis posting ini pun, sejam lebih saya ambik masa.
"Yang cuba contact sebelum ini kat inbox dan Whatsapp pun saya dah cuba jawab satu persatu ikut saya larat," katanya.
Terdahulu, Amir dilaporkan dimasukkan ke hospital pada 10 November lalu akibat jangkitan paru-paru sebelum ditempatkan di ICU HRPZ II untuk pemantauan rapi.
Pelawak itu juga mempunyai sejarah penyakit asma sejak kecil, manakala keadaan cuaca sejuk dan demam beberapa hari sebelum itu dilaporkan memburukkan lagi tahap kesihatannya.
Perkembangan mengenai keadaan Amir sebelum ini turut dikongsikan rakan pelawaknya, Lando Zawawi yang menafikan dakwaan Amir ditidurkan ketika menerima rawatan di ICU.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
