Afiq Rahim cef dalam ciptaan, mahu terbang ke serata dunia belajar ilmu masakan

SEDANG berkira-kira untuk mencari maklumat bagi menulis artikel seterusnya, tiba-tiba notifikasi mesej Whatsapp penulis berbunyi.

Kiriman teks itu datang daripada influencer muda terkenal dalam bidang kulinari, Muhammad Afiq Abd Rahim atau mudah disapa Afiq.

Kata pemuda berusia 29 tahun itu, beliau sudah sampai di bangunan Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor.

Nampaknya, Afiq hadir sejam lebih awal dari waktu yang dijanjikan. Enggan membiarkan tetamu keseorangan, penulis tampil di lobi bangunan untuk mempelawanya bersarapan dulu. Maklumlah, studio belum dibuka, jurumekap juga masih belum sampai.

Oh! Rupa-rupanya, Afiq tidak bersendirian. Beliau ditemani sahabat baiknya yang tinggi lampai.

Disebabkan sesi fotografi dijalankan pada hari Jumaat, kesempatan yang ada digunakan sebaiknya untuk bertanya soalan-soalan mengenai dirinya yang masih banyak perlu diselongkar.

Hanya menonton sejumlah video masakannya di laman Instagram yang mencecah hampir 200,000 pengikut, rasanya memang tidak cukup untuk mencoret penulisan yang mencecah 1,000 aksara.

Kontradiksi

Sebagai pembuka bicara, tentulah Afiq menceritakan bagaimana titik mula beliau melibatkan diri sebagai pencipta kandungan yang bukan ‘menayangkan‘ aktiviti sehari-hari, tetapi berkongsi bagaimana untuk membuat pelbagai resipi yang mudah untuk diikuti warga maya.

Katanya, apa yang dilakukan itu adalah satu kontradiksi dalam pelan kehidupan yang telah dirancang.

Masakan tidak, sebagai seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Perhubungan Awam, Universiti HELP, Kuala Lumpur, semestinya misi beliau ingin bekerja dalam bidang yang dipelajari.

“Ya, saya pernah sekejap bekerja dalam lapangan yang saya ambil di kampus, namun ia cuma seketika sahaja,“ katanya.

Segalanya berubah secara perlahan-lahan apabila jejaka tampan itu sering muncul dalam video masakan ibu tercinta, Faezah Sufian yang merupakan pemegang akaun Instagram @Adikfoods. Nama Faezah cukup tersohor dalam dunia maya.

Berdasarkan rekod, @Adikfoods yang memiliki hampir 800,000 pengikut telah memuatkan hampir 2,000 entri tentang masakan. Kepopularannya telah mendorong wanita tersebut menerbitkan buku berjudul Inspirasi Masakan AdikFoods.

“Disebabkan saya kerap muncul dalam rakaman memasak bersama ibu, orang ramai mula meminta saya untuk membuat platform masakan sendiri. Memandangkan ketika itu musim pandemik Covid-19, saya menyahut cabaran itu.

“Saya fikirkan reaksi yang diterima biasa-biasa sahaja, tetapi memang tak sangka, kewujudan akaun @afiqrahim mendapat sambutan hangat. Rata-ratanya mengakui menyukai gaya dan konsep masakan yang ditonjolkan,“ katanya yang bersyukur percubaan untuk terjah ke medan lain menjadi.

Pun demikian, kata anak muda itu, jika tidak mendapat dorongan daripada ibu tercinta, beliau tidak akan sanggup berbuat demikian.

“Apa yang boleh saya katakan, sebenarnya, sejak kecil lagi, saya memang suka ‘menyibuk‘ di dapur. Sikap keterbukaan ibu yang tidak kisah dan suka dibantu anak bujangnya, membuatkan minat saya untuk memasak wujud secara semula jadi,“ katanya.

Tidak seperti ibu, Afiq berkata, sasaran kandungannya hanya bertumpu kepada golongan remaja.

“Kalau dilihat, @Adikfoods lebih berkongsi resipi menjurus ke arah masakan yang boleh dibuat mereka yang berusia. Sementara, konsep saya pula adalah bersesuaian untuk anak muda yang masih solo tidak kira lelaki atau perempuan yang mempunyai keinginan belajar memasak dengan cara paling senang,“ kata peminat masakan Sambal Ikan Bilis Berlado itu.

Jika diamati susunan konten yang dibawa Afiq, ternyata apa yang dikatakan beliau benar.

Menu-menu seperti telur kicap bercili, kacang panjang tumis telur, bihun goreng kicap, nasi goreng butter sosej dan lain-lain lagi, memang masakan asas untuk belia yang digelar BBNU (Budak-Budak Baru Nak Up) untuk lakukan.

Bina kepercayaan

Jejaka yang berdarah campuran Melayu, Portugis dan Jepun itu kemudian menjawab satu pertanyaan serius yang penulis lontarkan. Adakah menjadi influencer hanya satu batu loncatan untuk cepat popular? Mendengarkannya, Afiq terus menyusun kata dan mengeluarkan kenyataan yang matang.

Tegas beliau, apabila bersetuju untuk melibatkan diri dalam bidang pembikinan kandungan digital, beliau mempunyai sasaran tersendiri.

“Bagi saya platform media sosial merupakan tempat untuk saya membina kepercayaan orang ramai terhadap saya. Saya tidak menganggap apa yang dilakukan sekarang sekadar suka-suka.

“Semua video masakan yang saya kongsikan melalui proses yang panjang. Sebelum memuat naik resipi, saya akan masak terlebih dahulu, kemudian beri kepada ibu dan ayah untuk mencubanya. Jika mereka suka, barulah saya akan mulakan proses rakaman sebenar,“ jelasnya panjang lebar.

Kesungguhan dan ketelitian Afiq semakin dihargai oleh mereka yang di luar sana. Bukan sesiapa, apalagi diri bukanlah seorang selebriti tersohor, anak muda itu mendapat kepercayaan daripada beberapa jenama untuk mempromosikan produk mereka menerusi masakan yang dimasaknya.

Hal itu sesuatu yang amat menggembirakan tuan punya badan. Bagi beliau, ia merupakan satu pengiktirafan kepada ketulusannya dalam ‘berkarya‘.

“Alhamdullilah, platform @afiqrahim dipercayai dan dihargai. Semestinya, saya akan beri hasil yang terbaik dan memuaskan hati semua pihak.

“Lazimnya, apabila menerima tanggungjawab daripada pelanggan untuk melakukan pengiklanan barangan, saya akan jadi lebih peka dan berdisiplin“ katanya.

Akui Afiq lagi, beliau bukan seorang yang cincai. Dirinya tidak gemar dengan cara kerja yang tergesa-gesa. Untuk sesebuah rakaman resipi, anak muda yang sarat dengan budi bahasa itu akan menyiapkan video seperti yang diminta seminggu lebih awal.

“Sewaktu fasa pelanggan menyemak video yang dihasilkan, saya akan pastikan ia telah mencapai 80 hingga 90 peratus penyuntingan supaya klien berpuas hati dengan usaha yang diberikan,“ ujarnya.

Menyambung kata, tutur Afiq, tidak salah untuk mengejar glamor dalam dunia maya yang tiada batasan ini, tetapi pastikan konten yang yang dibuat bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri, malah kepada masyarakat umumnya.

Iklan

“Sehubungan itu, kepada remaja di luar sana, gunakanlah platform media sosial dengan sebaik-baiknya dan fikirkan implikasi yang bakal diterima jika membuat sebarang hantaran,“ nasihat beliau.

Kembara

Sudah cukup bercerita mengenai dunia maya, penulis kemudian mengajak berbual tentang masa depan.

Afiq tampak bersemangat untuk bercerita tentang perancangannya.

Selari dengan bakat yang dikurniakan, anak kelahiran Kuala Lumpur itu memasang impian untuk mengembara ke serata dunia. Tujuannya adalah satu iaitu mahu mempelajari budaya dan masakan tradisi di negara yang disinggahinya.

Tidak hanya itu sahaja, beliau ingin mencipta semula resipi yang dipelajari dan pastinya akan berkongsi dengan orang ramai.

“Itulah cita-cita yang saya rencanakan, saya harap visi itu dapat direalisasikan nanti,“ ujarnya dengan penuh harapan.

Bagaimana pula dengan idea untuk membuka restoran atau kafe hipster?

Tertawa saat mendengar soalan itu, Afiq lantas berkata: “Fikiran saya tak pernah terlintas untuk membuka kedai makan yang besar, namun pernah terfikir untuk membangunkan sebuah kafe kecil, tetapi yang pastinya bukan pada masa yang terdekat. Sekarang saya ingin fokus sebagai penyedia kandungan di media sosial dulu.“

Seperti yang diuar-uarkan tadi, mempunyai wajah dan keterampilan yang memenuhi pakej sebagai selebriti, pastinya ada tawaran lain datang menerpa. Mungkin boleh bergelar pengacara, pelakon drama atau filem?

Iklan

Mendengarkannya, Afiq terus tertawa kecil. Namun, jujurnya, beliau tidak akan mengetepikan ruang itu jika ada pihak yang sudi.

“Saya tidak menolak sekiranya diberi tawaran untuk berlakon atau mengacara kerana saya suka untuk mencuba perkara baharu. Jadi, saya akan gunakan peluang tersebut dan memperbaiki setiap kekurangan,“ ungkapnya.

Sebelum kami mengucapkan selamat tinggal, jejaka itu sempat menitipkan pesanan bagaimana kita masih boleh mengekalkan kehidupan yang sihat, walaupun ada dalam kalangan ahli keluarga merupakan individu yang handal memasak.

Seperti amalan yang dilakukan Afiq, ibu dan ayahnya, Abd Rahim Mahmood, keluarga kecil itu amat menitikberatkan penggunaan bahan-bahan organik dalam masakan. Antaranya menukar penggunaan minyak masak kepada minyak zaitun.

“Saya faham keadaan semasa dengan harga minyak yang agak mahal, ia sedikit sebanyak menjadi kekangan kepada orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Namun, paling penting, anda semua tidak mengitar semula penggunaan minyak masak yang sudah pun telah bertukar warna gelap.

“Satu lagi, jangan lupa ubah penggunaan gula putih kepada gula perang. Garam pula hanya digunakan apabila perlu,“ terangnya.

Jaga pemakanan sahaja kurang mencukupi jika tidak disusuli dengan aktiviti bersenam, kata Afiq.

“Biasanya saya akan melakukan senaman selama dua jam tiga kali seminggu untuk memastikan badan sihat dan cergas walau makan apa jua hidangan sekali pun,“ katanya.

Baca juga: ‘Keghairahan’ wanita dengan emas bertempat, itulah yang bantu mereka jika dalam kecemasan’ -Datin Edora

Baca juga: Sangeeta sediakan hidangan Melayu, Cina, India sempena Deepavali. Buat kollam juga jadi aktiviti wajib 


Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi