‘Keghairahan’ wanita dengan emas bertempat, itulah yang bantu mereka jika dalam kecemasan’ -Datin Edora

MINAT Datin Normadora Mohd Nor, 36, dalam bisnes emas telah bercambah sejak kecil lagi.

Pun begitu, wanita yang lebih senang disapa Edora bekerja makan gaji dahulu, sebelum mengucapkan selamat tinggal selamanya kepada kerjanya itu.

“Peralihan profesion saya bermula pada tahun 2015 apabila suami, Datuk Zulhilmi Mukhtar menghadiahkan satu set barang kemas. Saya tertarik dengan rekaannya yang dilengkapi dengan beberapa biji charm.

“Disebabkan saiz charm yang kecil dan ringan, saya menjualnya kerana harga tak terlalu mahal dan mampu milik,“ katanya yang memulakan langkah baharu selepas melahirkan anak kedua.

Ketika bertandang pada sesi fotografi wajah penghias muka depan SinarPlus di Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor, wanita itu yang merupakan Pengarah, Angsa Emas Jewellery berkata, pendedahan tentang dunia emas daripada keluarga banyak membantu perniagaannya sehingga kini.

Baca ni Makan nasi cuma 2 sudu, petua Azah Aziz kekal awet muda pada usia 50 tahun 

Masakan tidak, beliau melihat secara jelas bagaimana ibu bapa tersayang telah menggunakan emas dalam pembelian aset dan urusan lain.

Edora tidak terus terburu-buru membuka kedai. Sebaliknya, anak kelahiran Pasir Puteh Kelantan itu hanya membuat jualan dari rumah.

“Kebanyakan pelanggan saya ketika itu berada di sekitar Lembah Klang. Saya menggunakan platform media sosial saya sendiri untuk mendapatkan kepercayaan ramai. Selain emas, saya juga menampilkan gaya hidup saya agar pelanggan lebih mengenali jenama dan diri saya,“ kata ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi.

Berkesempatan bertentang empat mata dengannya membolehkan penulis bertanyakan lebih lanjut tentang bagaimana beliau memperoleh nama Angsa Emas? Mungkin ada cerita menarik di sebaliknya?

Sambil mengukir senyuman, ungkap Edora, semuanya gara-gara beliau teringat tentang kisah dongeng angsa bertelur emas.

“Ia hadir secara spontan. Saya terus tertarik dan bagi saya, nama itu agak klasik,“ katanya yang memasang misi untuk menjadikan bidang perniagaan sebagai aspirasi untuk dirinya berkongsi kebaikan dan kelebihan pelaburan serta simpanan berasaskan emas kepada orang ramai.

NIPISKAN POKET SUAMI?

Emas dan wanita sememangnya tidak dapat dipisahkan. Seperti kata perumpamaan, bagai aur dengan tebing.

Pun demikian, sesetengah orang berpendapat, kebanyakan kaum Hawa sanggup menipiskan poket suami semata-mata mahu memenuhi keinginan mereka, sedangkan banyak keperluan lain yang lebih penting.

Hujah berkenaan terus disangkal oleh Edora. Dengan penuh penegasan, namun nada lembut, beliau berkata: “Pada saya, tak betul tanggapan tersebut. Kalau isteri beli emas sekalipun, tidak ada sebarang kerugian kerana ia tidak susut nilai seperti barangan lain.

“Jika berlaku kecemasan atau tengah sesak atau susah, emas boleh membantu kita mendapatkan wang tunai dalam masa yang singkat.“

Mengenai isu penipuan dalam tawaran jual beli barang kemas yang lebih murah daripada harga pasaran semasa yang pernah hangat diperdebatkan turut disentuh wanita penuh karisma itu.

Kongsinya, beliau sendiri terkena tempias apabila ada pihak cuba mengambil kesempatan menggunakan wajah dan kedai miliknya untuk menipu orang lain.

“Dalam hal ini, pengusaha emas kena berterus terang, jangan buat pelanggan rasa tertipu. Harus ada komunikasi antara pelanggan dan penjual terutama dalam jual beli. Dalam resit kena tulis secara terperinci,“ ujar beliau lagi.

Dalam pada kami bersembang, penulis teringat bahawa Edora sebenarnya ialah graduan Ijazah Komunikasi dari sebuah universiti tempatan. Sebelum pertanyaan dilontarkan, beliau pantas berkata bahawa pilihan jurusan tersebut sememangnya banyak membantu dirinya berhadapan dengan pelanggan.

“Alhamdulillah, banyak ilmu yang saya belajar dari menara gading dan boleh diterapkan dalam bisnes emas ini. Jadi, tidak timbul soal sia-sia belajar, alih-alih masuk bidang lain.

“Malah, bagi yang kenal rapat dengan saya, mereka tahu saya seorang yang suka bercakap dan itu salah satu sebab kenapa cabang komunikasi menjadi pilihan saya,“ ujarnya yang kini sudah memiliki dua cawangan  bisnes kedai emas di Bangi dan Shah Alam, Selangor, selain aktif menjual secara online.

Dalam berbisnes, lazimnya mana-mana individu meletakkan seorang atau dua idola untuk dijadikan ilham. Namun, berbeza bagi Edora.

Personaliti itu berterus-terang, beliau hanya menjadikan mana-mana pengusaha lain yang baik dan berjaya sebagai sumber inspirasi.

“Saya tidak sekadar melihat kejayaan mereka dalam berniaga, tetapi bagaimana pembawaan diri mereka itu yang menjadi rujukan dan pengajaran buat diri ini. Bukan sekadar dalam bisnes, tetapi juga dalam kehidupan seharian,“ katanya.

DOA DAN ZIKIR

Bukan ingin memuji, tetapi Edora ialah peniaga emas yang tersendiri. Tidak seperti pihak lain yang beria-ia menayang kekayaan dengan jari tersusun dengan cincin, manakala lengan tenggelam dek salutan gelang pelbagai rekaan, personaliti itu menolak pendekatan sedemikian.

 

“Saya memang jenis yang sederhana. Sejak dulu lagi, saya gemar memilih rekaan barangan kemas yang tidak terlalu sarat. Saya lebih suka aksesori yang simple dan tidak nampak ‘terlalu emas‘ apabila dipakai,“ akuinya.

Biarpun sudah boleh dikategorikan sebagai usahawan berjaya, Edora masih tidak melupakan posisi pentingya sebagai isteri dan ibu.

Memperihalkan tentang keluarga, ada satu tanggungjawab yang tidak akan disisihkan. Tidak lain tidak bukan adalah memastikan perut suami dan anak-anak terisi dengan sajian hasil masakannya sendiri.

“Kesibukan urusan bisnes bagaimana pun tidak membataskan tugas hakiki saya. Sebelum ini pun, saya sudah korbankan banyak masa demi bisnes. Kini, saya rasa penat asyik mengejar itu dan ini. Jadi, sekarang saya lebih suka habiskan waktu di rumah dengan anak-anak,“ ulasnya.

Iklan

Kata-katanya yang rasional itu kemudian mendorong penulis bertanyakan rahsia kebahagiaan rumah tangga yang dikecapi selama ini. Ujarnya bersahaja, tiada sebarang amalan khusus, namun cuma satu iaitu air tangan seorang isteri dan ibu adalah pengikat kasih sayang antara mereka sekeluarga.

“Ketika memasak kita ‘boleh isi‘ dengan doa dan zikir. Suami saya selalu ingatkan bahawa ‘insya-ALLAH dengan mengingati ALLAH, DIA akan sentiasa bersama menjaga famili kita‘,“ kongsinya.

Ujar Edora, beliau juga bersyukur apabila tiga anaknya cukup akrab dan mendengar kata orang tua. Namun, jika si kecil meminta untuk menghantar mereka ke sekolah, tiada masalah buat wanita itu.

“Itu dinamakan bonding (ikatan) kita sesama anak-anak,“ tuturnya.

Kepada satu soalan, Edora berkata, beliau lebih senang menghantar zuriatnya ke sekolah aliran biasa, berbanding dengan sesetengah keluarga yang cenderung memilih sekolah antarabangsa.

“Saya seorang ibu yang berfikiran terbuka. Demikian juga dalam hal pendidikan. Setiap ibu bapa ada impian dan keinginan sendiri kan? Soal pilihan sekolah antarabangsa mahupun sekolah biasa, pada saya terpulang kepada pandangan dan kemampuan masing-masing.

 

“Sebagai ibu, saya mahu anak-anak melalui situasi sama yang saya pernah lalui dulu. Berkawan dengan pelbagai kaum, berdikari dan tidak terlampau dimanjakan. Itu antara matlamat saya dan suami dalam membesarkan anak-anak,“ tegasnya yang juga tidak meletakkan batas dalam pergaulan antara anak-anak tersayang dengan kawan-kawan sekeliling.

Saat dilontarkan pertanyaan tentang trend budak zaman milenial yang tidak boleh berenggang dengan gajet, sambil menarik nafas, Edora meluah pandangan. Katanya, penggunaan gajet bukan satu kesalahan, cuma jangan keterlaluan.

Baca lagi Penampilan sulung karya anak dalam koleksi fesyen terbaru, Melinda Looi luah rasa bangga dan terharu

“Sebagai ibu yang sibuk dengan urusan kerja, saya tidak suka menjadikan gajet sebagai alat kawalan ke atas anak-anak. Bukan apa, lama-kelamaan, mereka akan terlalu bergantung kepada gajet dan bukannya kepada ibu bapa sendiri, itu yang menjadi kerisauan“ katanya dengan wajah sedikit berkerut.

Iklan

GURU MENGAJI

Berbicara dengan wanita yang memiliki wawasan, rajin dan tidak pernah kenal putus asa memang sesuatu yang menyeronokkan.

Falsafah hidupnya yang tidak hanya berpaksikan kepada wang semata-mata dan mementingkan kehidupan ukhrawi sangat dikagumi.

Bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi katanya, membasahkan lidah dengan membaca kitabullah merupakan me time yang menjadi pilihannya. Ia adalah ‘ubat penenang‘ dan penawar penghilang segala keributan minda dan masalah.

“Setiap hari, saya peruntukkan masa dengan al-Quran terutama selepas solat Subuh. Jika tidak sempat, saya akan lakukan di pejabat,“ katanya.

Hal-hal yang baik tidak hanya untuk dirinya sahaja, malah semua staf beliau disarankan untuk berbuat perkara serupa demi kemaslahatan bersama.

Menariknya, Edora telah menyediakan guru untuk datang mengajar stafnya mengaji di pejabat.

“Alhamdulillah, ada yang tidak malu untuk belajar dan betulkan bacaan mereka. Saya ingin bina staf dari ‘dalaman‘.

“Saya tidak mahu ada antara mereka yang mengamalkan amalan tidak sihat sesama sendiri seperti dengki, iri hati dan sebagainya. Kita bekerja dengan manusia bukan dengan robot,“ ujarnya dengan kata penuh bermakna.

Layari portal SinarPlus, sinarplus.sinarharian.com.my untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami untuk info dan kisah penuh inspirasi