Dr Afiq mahu terus tambah ilmu walau sudah bergelar bapa dan doktor. Tiada istilah jemu katanya!

A
A
A

DR Muhammad Afiq Ahmad Anuar mahu terus tambah ilmu walau sudah bergelar bapa dan doktor. Tiada istilah jemu katanya!

Itulah kata-kata beliau saat bertandang ke Studio Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini dan banyak lagi yang kami bicarakan.

Ya, sempena Hari Bapa yang disambut baru-baru ini, SinarPlus memilih Dr Muhammad Afiq yang juga seorang doktor yang berdedikasi dan bapa kepada seorang cahaya mata lelaki sebagai penghias wajah muka depan.

Tatkala bertentang mata dengannya, penulis sengaja kongsikan pandangan masyarakat terhadapnya.

Seperti kata ramai pihak, Dr Muhammad Afiq selayaknya menjadi seorang model atau pelakon sahaja.

Bukan apa, dengan wajah yang tampan, badan yang kekar ditambah dengan stail maskulin yang sejati membolehkan mana-mana agensi model atau pengarah drama dan filem menyambarnya pada bila-bila masa.

Barangkali pernyataan itu pernah singgah pada telinga Pegawai Perubatan di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia itu.

Namun, nampaknya beliau lebih memilih untuk mendambakan diri dalam menuntut ilmu.

Kepada SinarPlus, Dr Muhammad Afiq atau mahu disapa sebagai Dr Afiq berkata, sebagai seorang doktor dan bapa, beliau perlu mara ke hadapan.

Sudah menggenggam ijazah sarjana muda, penjelajahan tidak harus bernoktah sampai di situ sahaja.

Kata Dr Afiq dengan nada tenang, beliau baru sahaja tamat menduduki peperiksaan Medical Specialist Pre-entrance Examination (MedEx).

MedEx adalah kelayakan untuk bergelar sebagai seorang doktor pakar.

"Saya duduki peperiksaan MedEx pada 14 April lalu dan masih menunggu keputusan. Jika lulus, banyak lagi prosedur lain perlu dilalui termasuk menjalani beberapa ujian seterusnya sebelum dipanggil untuk sesi temu duga.

"Lagipun kekosongan ini terhad. Seandainya saya dapat diserap terus dalam bidang kepakaran, memang menjadi satu kepuasan diri yang saya tak dapat nak gambarkan dengan kata-kata," ujarnya.

Pernyataan penuh kesungguhan itu membuatkan isteri beliau, Dr Shazni Mahirah Zulbakri yang menemaninya sepanjang fotografi dan rakaman program DNA yang dilakukan selepas itu mengangguk tanda setuju.

Anak jati Sungai Petani, Kedah itu memberitahu, beliau lebih cenderung dalam mengkaji sistem muskuloskeletal yang merangkumi tulang, sendi, ligamen, tendon, otot dan saraf kerana memberi keputusan diagnosis yang lebih cepat.

“Saya lebih suka bentuk rawatan jenis hands on dan percaya, 'cikgu' terbaik buat seorang doktor ialah pesakit itu sendiri,” ujar anak sulung daripada tiga beradik itu.

Tidak jemukah untuk terus menelaah, menghafal fakta dan pada masa sama, merawat serta melayani karenah pesakit di hospital? Bukan itu sahaja, beliau juga perlu memainkan peranan sebagai suami dan bapa kepada si kecil yang sedang membesar.

BACA JUGA Penyampai radio, Diyana Hashim jadikan kerjaya sebagai tempat 'didik' penjagaan kesihatan mental

Sambil menggeleng kepala, Dr Afiq dengan tegas berkata: "Walaupun penat, namun saya sangat percaya ia berbaloi. Sebenarnya, skop ilmu perubatan sangat besar. Pada setiap hari, bukan saya sahaja, malah semua doktor akan belajar perkara baharu yang semakin lama semakin mencabar.

"Saya mahu terus belajar dan belajar serta tambah ilmu kerana saya menyifatkan pengetahuan yang saya miliki sekarang masih cetek.

"Saya turut bercita-cita mahu menyambung pelajaran untuk subkepakaran di Jerman atau United Kingdom pada suatu hari nanti. Doakan saya, ya."

Seandainya saya dapat diserap terus dalam bidang kepakaran, memang menjadi satu kepuasan diri yang saya tak dapat nak gambarkan dengan kata-kata," ujarnya.

Aura Dr Sheikh Muszaphar

Kejayaan menghantar Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 15 tahun lalu telah meninggalkan impak yang cukup besar kepada anak kecil dan remaja di negara ini.

Masakan tidak, masing-masing mahu menjadi seorang angkasawan. Sambil tersenyum, Dr Afiq berkata, beliau sebahagian daripada 'peristiwa' itu.

"Ketika itu, saya masih ingat lagi, Malaysia sedang heboh memperkatakan tentang kehebatan anak Malaysia pertama yang berjaya menjejakkan kaki ke ISS.

"Seperti remaja lain, jiwa saya juga berkobar-kobar mahu menjadi seperti Dr Sheikh Muszaphar. Beliau ialah seorang doktor, tetapi telah membuktikan kepada dunia dengan kemampuannya yang lebih daripada itu," imbasnya.

Ya, Dr Afiq kini sudah bergelar seorang doktor. Cuma, beliau kini sedang dalam proses untuk memberi tambah nilai kepada diri dan dalam prospek kerjayanya.

Kami bersembang hampir sejam lamanya. Dalam pada berbual itu dan ini, penulis cuba mengalihkan topik lain.

Maka, secara spontan, hal berkenaan bidang peragaan disentuh kembali. Memang tidak sangka, pertanyaan itu memberikan jawapan yang mengejutkan.

Rupa-rupanya Dr Afiq memang pernah menjadi seorang model untuk iklan komersial televisyen.

Pada masa sama, beliau juga pernah bergelar seorang aktor!

Bukan sebuah, tetapi tiga buah drama termasuk satu telefilem yang dibintanginya bersama barisan artis terkemuka tanah air.

Masih ada tawa di hujung kata-kata, ungkap personaliti itu, profesion sebagai pelakon bermula apabila beliau dan rakan-rakan ingin bercuti ke satu destinasi, namun memerlukan sejumlah kos.

"Pada asalnya, saya mula dilamar menjadi model selepas menjadi muka depan sebuah akhbar tempatan selepas menerima Anugerah Pelajar Cemerlang pada tahun 2008.

"Selepas itu, rezeki saya berlakon dalam iklan komersial semakin banyak. Kemudian, dalam diam tak diam, saya menerima pula panggilan untuk berlakon dalam drama dan telefilem.

"Cuma ada beberapa pelawaan saya terpaksa tolak kerana ketika itu saya bergelar mahasiswa di Management & Science University Shah Alam, Selangor," katanya yang menggunakan gaji yang diterima bukan sekadar bercuti, tetapi untuk perkara bermanfaat yang lain.

Untuk berlakon lagi, saya tidak mampu untuk memenuhinya kerana komitmen yang tinggi, selain masa untuk selesaikan satu-satu babak memang yang agak lama," katanya yang enggan dicop sebagai 'jual mahal' lantaran kerap menolak pelbagai tawaran.

Dr Afiq antara lain pernah membintangi drama Papa Nak Menantu, Jejak Karmila dan Baju Berkancing Peniti. Sementara untuk pengiklanan komersial, beliau pernah muncul bersama-sama selebriti, Emma Maembong dalam satu iklan produk kecantikan, di samping pernah menjadi wajah untuk (iklan) permotoran dan makanan.

Memasuki alam pekerjaan yang sebenar, nampaknya masa pegawai perubatan itu semakin terhad.

Beliau kini lebih selektif dan selesa jika memenuhi pelawaan untuk iklan komersial atau peragaan pakaian sahaja disebabkan jadual penggambaran yang fleksibel.

"Untuk berlakon lagi, saya tidak mampu untuk memenuhinya kerana komitmen yang tinggi, selain masa untuk selesaikan satu-satu babak memang yang agak lama," katanya yang enggan dicop sebagai 'jual mahal' lantaran kerap menolak pelbagai tawaran.

BACA JUGA Miliki banyak bakat terpendam, Anna Aljuffrey belum bersedia jadi pelakon

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan

Aktif di padang & rumah

Apa yang penulis boleh katakan, Dr Afiq memiliki banyak kelebihan di dalam dirinya. Selain handal 'beraksi' di dewan pembedahan dan berlakon di pentas seni, beliau juga ligat bersukan.

Bukan niat mahu mendabik dada, lelaki itu berkata, beliau merupakan pemain bola sepak handalan dan menjadi ayam tambatan buat pasukan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia.

Memegang posisi sebagai penyerang, pasukannya turut mempamerkan permainan cemerlang dalam siri perlawanan menentang pasukan dari agensi kerajaan lain baru-baru ini.

"Sejak dari zaman sekolah lagi, saya minat dengan sukan bola sepak dan futsal. Sebelum ini, kelab kami kurang aktif disebabkan pandemik Covid-19.

"Namun, alhamdulillah pada tahun ini, banyak program telah dirancang. Sedikit sebanyak, masa terluang yang saya ada akan diisi dengan melakukan aktiviti riadah seperti ini.

"Saya juga mesti sentiasa kekal aktif. Selain bermain bola, saya juga rajin bersenam di gimnasium dan berbasikal dengan kawan-kawan. Seperkara, saya juga mengamalkan pemakanan dan diet sihat," katanya panjang lebar.

Ujar Dr Afiq, selaku seorang yang berada di sektor perubatan, itu tidak bermakna dirinya sentiasa sihat.

Baru-baru ini, ujar beliau, ujian saringan kesihatan yang dibuat menunjukkan dirinya berdepan dengan tahap kolesterol yang tinggi.

Melihat situasi yang mengejutkan itu, empunya diri lantas melakukan sesuatu bagi mengelak perkara yang lebih buruk berlaku.

"Sejak itu, saya lebih berhati-hati dan beraktiviti. Jangan sangka badan nampak fit secara luaran, kita tidak berpenyakit. Itu satu persepsi yang salah kerana kalau kita lihat, sejak akhir-akhir ini, kematian mengejut banyak berlaku ke atas anak muda.

"Nasihat saya, sila kurangkan minuman manis, amalkan konsep suku suku separuh dan makan sebelum jam 8 malam," sarannya.

Saya juga mesti sentiasa kekal aktif. Selain bermain bola, saya juga rajin bersenam di gimnasium dan berbasikal dengan kawan-kawan. Seperkara, saya juga mengamalkan pemakanan dan diet sihat," katanya panjang lebar.

Ya, lelaki kacak itu juga enggan membiarkan sang isteri sahaja yang mengeluarkan peluh untuk mengurus kediaman dan 'bersilat' di dapur.

Kata Dr Afiq, jika tidak berpeluang untuk melakukan aktiviti luar, mengemas rumah menjadi pilihannya.

"Siapa kata kemas rumah bukan satu aktiviti senaman mengeluarkan peluh? Bukan sahaja sihat, rumah kita pun kelihatan bersih dan kita pun akan rasa selesa.

“Bagi saya, tiada alasan untuk tidak berbuat demikian (bersenam). Umur seawal 30 tahun sebenarnya usia ideal untuk menjalani saringan kesihatan secara berkala setahun sekali. Badan yang sihat, akan menyuntik tenaga dan aura positif kepada diri," katanya yang juga berbakat dalam hal mendekorasi rumah dan memasak. - ARZIANA MOHMAD AZAMAN

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca