Nampak elegan di depan TV, tapi jeans dan Converse tetap jadi pilihan Azaria Tagaya!

A
A
A

TIDAK keterlaluan untuk dikatakan, Azaria Tagaya merupakan antara bintang yang paling menyerlah dalam dunia penyiaran kini.

Kehadirannya memang dirasai. Penampilan, keterampilan, kecekapan, bakat dan cara penyampaiannya tidak kira ketika berbahasa Melayu atau Inggeris tampak meyakinkan.

Beliau juga dikatakan sangat bersungguh-sungguh ketika melaksanakan sebarang tugasan.

Lihat sahaja bagaimana beliau mengendalikan rancangan Money Matters bersama personaliti undangan yang bukan calang-calang. Begitu juga ketika tampil membacakan berita menerusi Buletin Utama dan Nightline.

 

BACA JUGA:Bukan kejar publisiti Nur Liyana bangga bergaya busana Murut Nabai di rantau orang

BACA JUGA:Penyampai radio Diyana Hashim jadikan kerjaya sebagai tempat didik penjagaan kesihatan mental

 

Namun, di sebalik itu, secara peribadi personaliti wanita campuran Melayu-Jepun itu jelas berbeza.

Tatkala penulis berpeluang bertentang empat mata dengan pemilik nama penuh Azaria Tagaya Norio Tagaya di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, apa yang ‘terhidang‘ di depan mata jelas berlainan.

Senang disapa sebagai Tagaya, beliau kelihatan mesra dan mudah tertawa. Empunya diri juga seorang yang tidak lekang dengan senyuman. Alunan suara yang kebiasaannya kedengaran agak lantang berubah menjadi manja, selain sesekali kedengaran seperti keanak-anakan.

Sejujurnya, penulis tidak menyangka vokal beliau saat berbual dan bertugas, begitu ketara perbezaannya. Mungkin, tuntutan kerjaya yang sedang digalas kini memerlukan Tagaya perlu kedengaran lebih serius, matang dan tegas lebih-lebih ketika menyampaikan berita.

Alih suara

Bersama SinarPlus, personaliti yang berasal dari Kuala Lumpur itu mula bercerita tentang susur-galur profesionnya.

Tagaya selesa dengan penampilan minimalis dan santai.

Sebelum bergelar penyampai berita dan pengacara, beliau pernah bersama sebuah produksi alih suara kartun animasi kanak-kanak beberapa tahun lalu.

Kata Tagaya, pengalaman menjayakan projek tersebut telah membuka lembaran baharu terhadap profil kerjayanya kini.

“Ketika pertama kali terlibat, saya berasa agak kekok kerana ia merupakan satu hal yang bukan biasa dilakukan. Saya sering kali melihat animasi di kaca televisyen, tetapi tidak pernah terlibat secara langsung.

“Namun, syukur sangat kerana saya banyak mendapat tunjuk ajar daripada pengarah tentang bagaimana cara untuk melakukan proses alih suara bersesuaian dengan emosi dan gerak mulut kartun tersebut.

“Awalnya sedikit perlahan, tetapi lama kelamaan segalanya berjalan lancar. Namun, sayangnya saya tidak dapat mengingati tajuk kartun animasi yang berasal dari Perancis itu.

"Biarpun demikian, saya tak menolak jika diberi peluang terlibat untuk melakukannya sekali lagi untuk animasi lain pada masa akan datang,“ katanya yang pernah membawakan watak sebagai tikus yang juga rakan baik kepada seekor kucing.

PERSONALITI ini tidak menggunakan media sosial sebagai medium untuk berkongsi kisah peribadi.

Berkongsi sedikit tentang bagaimana cara alih suara dilaksanakan, Tagaya berkata, beliau terlebih dulu perlu menonton babak dan memahami penceritaan terhadap naskhah yang diberikan.

Setelah mengetahui jalan cerita termasuk meneliti tempoh masa gerak mulut watak, barulah beliau menjejakkan kaki ke studio. Durasi waktu yang boleh dikatakan agak lama sangat diperlukan bagi mendapatkan hasil terbaik sebelum sedia ditayangkan untuk tontonan umum.

Jeans dan Converse

Seperti seorang pelakon, penyanyi atau pun seniman, penampilan merupakan sesuatu yang paling diberi perhatian. Bukan apa, setiap apa yang disarungkan atau dioles pada wajah, akan ‘diperhalusi‘ oleh peminat.

Jika tidak kena pada mata mereka, maka kata-kata yang mengguris hati akan dilemparkan tanpa sekelumit perasaan bersalah.

Sebagai seorang personaliti televisyen yang semakin popular, hal berkenaan selayaknya ditanya kepada tuan punya badan. Tambahan, kekerapannya muncul di layar kaca juga tidak terhitung banyaknya.

Sebaik berbicara soal itu, tanggapan penulis yang membayangkan Tagaya seorang yang sangat mementingkan ‘pelan kecantikan‘ terkubur begitu sahaja. Mana tidak, beliau sebenarnya lebih selesa dengan hanya menyarung jeans dan memakai sepatu Converse!

GAYA SANTAI. Tagaya lebih selesa memakai kasut Converse dan hanya akan mengenakan kasut tumit tinggi ketika keadaan yang memerlukan sahaja.

“Mereka yang mengenali saya, tentu tahu siapa diri saya dan tidak terkejut pun dengan perkara itu. Apa yang santai dan mudah, itulah pilihan saya. Lagipun, sejujurnya saya tidak pandai hendak bergaya apatah lagi menyolek wajah sendiri.

“Apabila diperlukan sahaja saya akan memakai kasut tumit tinggi dan berdandan rapi. Pada waktu lain, saya ini biasa-biasa sahaja,“ tuturnya dengan gaya paling rileks.

Bagaimanapun, sukar untuk disangkal, susuk bernama Tagaya sememangnya sering mendapat reaksi berbeza daripada para pengikut. Ramai yang berpeluang berjumpa dengannya secara berdepan mengatakan wanita itu jauh berbeza berbanding di kaca televisyen.

“Sebenarnya, sebelum menyertai TV3, saya sudah biasa dengan pandangan sebegitu kerana perkara sama turut berlaku ketika berada di stesen televisyen terdahulu. Ada yang kata saya lebih kurus atau lebih kecil berbanding di layar kaca. Sejujurnya, saya sudah lali dengan semua itu,“ katanya.

Bagi membuktikan kecintaannya terhadap stail yang menjadi kegemarannya itu, sambil melepaskan ketawa kecil, Tagaya mengakui, beliau memilih untuk mengenakan kasut Converse pada acara perkahwinannya dengan Reza Syafiq Zainal Rashid pada tahun lalu!

Benar, penulis yang melihat kembali potret pada hari bahagianya membuktikan beliau tidak main-main. Bukan itu sahaja, majlisnya juga sederhana dan pendekatan berkenaan mendapat pujian melata.

Saling percaya

Terkesima dan sama-sama menghamburkan tawa, penulis bertanyakan tentang kemanisan selepas beliau berumah tangga pada September 2021.

Sambil mata melirik pada satu sudut, Tagaya dengan senyuman paling manis berkata, apa yang paling penting dalam sesebuah perkahwinan adalah sifat saling memahami dan percaya di antara satu sama lain. Itu antara kunci kebahagiaan dalam hidup berpasangan, ujarnya.

Beliau juga berkata, usia mahligai cinta yang masih hijau sememangnya memperuntukkan kesabaran dan kesetiaan, sementelah kedua-duanya saling sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Sang pemilik hati yang bertugas sebagai jurusolek kesan khas filem kadangkala sibuk, sehingga pernah sebulan tidak pulang ke rumah lantaran perlu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

Kesibukan jadual kerja kadangkala membuatkan Tagaya dan suami Reza Syafiq perlu berjauhan antara satu sama lain.

Pun begitu, mereka enggan membiarkan jarak dan waktu membinasakan hubungan yang sudah terpateri.

Menurut Tagaya, tidak mengira sama ada dirinya atau suami, mereka acap kali bertanya perihal masing-masing hampir setiap hari tanpa mengira waktu siang atau malam.

“Sebelum memulakan kerja pada sebelah pagi, suami akan bertanya dan sentiasa memastikan ada komunikasi antara kami. Saya dan akan berkongsi apa yang terjadi setiap hari.

“Syukur, suami memahami dengan jadual kerja saya dan saya juga mengerti corak kerjanya. Memandangkan kami berada dalam industri kreatif, jadi soal rutin kerja itu tiada masalah,“ katanya.

Ungkap Tagaya, beliau sendiri adakalanya pulang lewat malam atau 1 pagi kerana terikat dengan jadual kerja bermula pukul 3 petang hingga 12 tengah malam.

Reza Syafiq bukan sahaja seorang yang memahami dan sporting, malah turut memiliki kelebihan ‘berperang‘ di dapur, kata penyampai berita berbintang Taurus itu.

Kelebihan berkenaan nampaknya mengisi kelompongan Tagaya yang kurang mahir menyediakan hidangan.

Justeru, jika ada waktu kelapangan, suami tersayang akan memasak untuknya. Bukan bermaksud diva atau mengada-ngada, tetapi mereka membahagi tugas ketika di rumah.

Jika isteri sibuk, suami akan mengemas. Jika sebaliknya, si isteri akan mengambil semua tugas itu. Begitulah rukun orang berumah tangga, yang berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

“Memang benar komunikasi penting dalam hubungan begitu juga kepercayaan dan kesetiaan. Setiap hari tanpa gagal sama ada saya atau suami akan saling bercakap di corong telefon sebelum tidur,“ katanya mengakhiri perbualan kami.

 

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca