Sarah Suhairi susun strategi masa depan, tak mahu terus bergelar penyanyi selama-lamanya

A
A
A

Sarah Suhairi susun strategi masa depan, tak mahu terus bergelar penyanyi selama-lamanya

GEMERSIK suaranya telah menempatkan empunya diri menjengah industri nyanyian yang langsung tak terfikir dalam benaknya suatu ketika dulu.

Berawal dengan menyanyi lagu cover penyanyi lain dengan lenggok tersendiri, akhirnya Sarah Suhairi disunting menjadi artis rakaman.

Pun demikian, nama beliau menjadi buah bibir peneroka alam maya sebaik menjadi peserta pada program realiti, Big Stage pada tahun 2018.

Ah! Kepada yang menontonnya setiap minggu, pasti tidak sabar mendengar lontaran nada merdu beliau. Campaklah apa jua genre, semuanya dilunaskan sebaik mungkin oleh tuan punya badan.

Pengakhirannya sangat manis. Sarah telah dinobatkan sebagai juara dengan mengetepikan beberapa artis yang mempunyai nama besar.

Selepas itu, muncullah single yang berjudul Nyawa & Raga, Bicara Rasa, Satu Di Hati, Entah Apa, Mungkin dan yang terbaharu, Burn.

sarah suhairi

Namun, biasalah kemasyhuran dalam pertandingan tidak semestinya kekal dalam dunia realiti. Selebriti tersebut dikatakan masih belum menemui ‘X-factor‘ sebagai penyanyi.

Sogokan soalan seperti itu mungkin sedikit keras, namun tatkala ditemui, Sarah masih mengukir senyuman ikhlas sebelum memberi pencerahan.

 

Katanya: “Sebenarnya, saya suka benda baharu dan mahu mencuba kelainan demi kelainan untuk menguji kematangan vokal. Mungkin sebelum ini saya dikenali dengan lagu jenis balada dan pop, namun sekarang lebih kepada lenggok rancak (upbeat).

sarah suhairi

“Saya juga sedang menyiapkan lagu terbaharu berkonsepkan balada Korea (K-ballad) yang akan dilancarkan akhir tahun nanti.“

Penerima Anugerah Instafamous Hurr.Tv itu memberitahu, penghasilan naskhah K-ballad itu selama ini memang dinanti-nantikan. Selepas lebih empat tahun, barulah dapat direalisasikan dengan jayanya.

Baca juga Ada hikmah di sebalik peristiwa ‘disekolahkan’ artis bermulut lantang, Nursyazwani lega ramai buka mata tentang…

“Saya sudah lama memburunya (lagu berunsur K-ballad) dan pada masa sama, memang susah sangat nak jumpa komposer yang betul-betul kena dengan jiwa Sarah.

“Alhamdulillah, akhirnya ketemu jua. K-Ballad yang lebih kepada instrumen piano betul-betul menguji kekuatan vokal Sarah. Rafiq Concept yang merupakan renjer muzik banyak membantu termasuk dari segi susunan lagu,“ katanya pada sesi penggambaran di Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

sarah suhairi

Beliau ditemani pengurus yang ramah orangnya, Nur Hazirah Mat Tahar.

Jawapan ringkas berkenaan usah lagi diperdebatkan. Itulah reaksi padu beliau kepada individu yang tidak habis-habis bertanya.

Matlamat jangka panjang

Kepada pembaca SinarPlus sekalian, Sarah sebenarnya baru berusia 23 tahun. Namun, umurnya melebihi kematangan diri, bukan?

Jika dicongak, beliau baru lima tahun dalam industri hiburan. Namun, durasi itu cukup untuk seseorang ditimpa sejumlah cabaran yang barangkali menguji keampuhan jiwa.

sarah suhairi

Kata Sarah, jika bukan kerana ibu dan ayah yang tanpa jemu mengingatkan beliau tentang itu ini, barangkali beliau akan larut dalam lautan kealpaan.

“Tipulah kalau artis baharu tak alami kejutan budaya. Keseronokan mahu nampak cantik dan bergaya sehingga sanggup mengubah imej memang wujud.

Baca juga ‘Saya mahu jalan terus’. Digelar cepat koyak & sentap, Sissy Iman langsung tak kisah

“Namun, hati saya kuat kerana sentiasa ingat pesan ibu dan ayah. Segala keputusan, memang saya akan rujuk dengan mereka dahulu,“ katanya sambil melafazkan kesyukuran kerana masih berada di landasan sewajarnya dalam mengembangkan bakat yang bukan semua orang ada.

sarah suhairi

Bercerita tentang ibu dan bapa, Sarah nampak sedikit sentimental. Beritahunya, jika bukan kerana bapa tersayang, Suhairi Hamdan, beliau bukanlah sesiapa.

Kemampuan memetik gitar dan ukelele serta menekan mata piano adalah disebabkan lelaki dicintainya itu.

“Ya, ayah ialah insan yang menyuntik minat saya untuk menjadi penyanyi. Tatkala dia pulang daripada kerja, dia akan lepak di luar rumah sambil bawa satu fail penuh kord muzik dan lirik. Gitar memang wajib ada untuk kami nyanyi bersama.

sarah suhairi

“Rutin tersebut telah mendedahkan saya dengan lagu-lagu lama. Selain berkaraoke, ayah juga bawa saya untuk belajar piano ketika umur masih lapan tahun lagi. Bila saya dapat tawaran untuk masuk pertandingan Big Stage, ayahlah orang yang paling gembira dan menyokong 100 peratus,“ cerita Sarah yang sudah meluaskan portfolionya sebagai pelakon dan pengacara pula.

Baca juga Kak Ell ambil pusing ‘teguran’ anak demi jadi ibu terbaik. Usahawan terkenal ini juga berkongsi cerita jatuh bangun bisnesnya

Cerita gadis manis itu, pada awalnya, pernah terdetik dalam dirinya betapa mustahil untuk beliau menjadi penghibur. Namun, tidak salah memahat angan-angan kerana ia percuma, kata Sarah.

Justeru, sebagai alternatif tuan punya badan mahu menggapai impian menjadi seorang ahli perniagaan.

sarah suhairi

“Ya, seperti yang anda lihat sekarang, rezeki saya sudah tertulis dalam dunia nyanyian, tetapi insya-ALLAH jika diberi ruang dan peluang, saya ingin melanjutkan pengajian dalam bidang pembinaan (quantity surveyor) sebab mahu mengikut jejak langkah ayah yang terlibat dalam industri pembinaan. Mungkin secara sambilan dulu.

“Selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, saya sempat bekerja dengan ayah sekejap. Saya seronok belajar hal-hal berkaitan projek,“ katanya yang boleh berbahasa Korea.

Sarah berterus terang, beliau tidak berhasrat bergelar artis selama-lamanya. Jadi, sebagai jaminan hidup pada hari tua, selebriti kecil molek itu perlu berfikir di luar kotak.

sarah suhairi

Namun, setelah membelek laman sosialnya, nampaknya pelantun lagu Pedih itu sudah mara ke hadapan. Sarah sudah menjadi pengasas kepada jenama produk sarung tangan scrub sutera, Wildrymba.

Bercerita lanjut, anak kedua daripada empat beradik itu berkata, idea melahirkan Wildrymba tercetus pada tahun Julai lalu. Bisnes berkenaan memfokuskan kepada set penjagaan diri yang didatangkan khas dari Turki.

“Saya suka jual benda yang biasa orang pakai, tapi mahu lain daripada lain. Produk ini sangat sesuai kepada mereka yang aktif dan mementingkan kebersihan diri.

sarah suhairi

“Insya-ALLAH, banyak lagi item seperti serum badan untuk memulihkan kesan selar matahari akan dilancarkan kelak,“ ungkapnya penuh keterujaan.

Ekuestrian profesional

Di Malaysia, tidak ramai artis yang mahu merisikokan nyawa dengan menyertai misi kemanusiaan.

Selain Heliza Helmi dan adiknya, Hazwani, Mizz Nina, Nana Mahazan dan Faizal Tahir, seorang anak muda bernama Sarah tidak kisah mendekatkan diri dengan pelarian yang menjadi mangsa kelaziman.

sarah suhairi

Bersama dengan Jiwa Amal, beliau mengukir kenangan yang cukup memberi pedoman kepadanya sebagai hamba kepada ALLAH YANG MAHA ESA.

Berkongsi kisah, personaliti berkenaan masih tidak dapat melunturkan kenangan ketika menyertai Misi Dapur Qaseh Buat Syria sempena musim sejuk beberapa tahun lalu.

sarah suhairi

“Walau kem pelarian berada di sempadan, melihat tentera dengan kereta kebal keluar masuk sudah cukup mendebarkan. Macam-macam bermain dalam benak saya,“ imbasnya.

Itu sebenarnya tidak cukup membuatkan emosi terganggu. Pertemuan dengan anak-anak Syria yang celik al-Quran membuatkan Sarah berasakan betapa diri sangat kecil.

sarah suhairi

“Al-Quran sentiasa menjadi teman mereka. Ketika berbual, mereka meluahkan rasa hairan mengapa kita pandai membaca kitabullah, tetapi tak boleh berkomunikasi dengan mereka dalam bahasa Arab.

“Kata-kata itu masih boleh dihadam, namun persoalan bagaimana kita tidak memahami maksud ayat-ayat al-Quran membuatkan saya betul-betul rasa insaf,“ ujar bintang Sunsilk #SisCuba itu.

sarah suhairi

Sarah ini ibarat kecil-kecil cili api. Masakan tidak, beliau berani ‘menjebakkan‘ diri dalam sukan berkuda sejak berumur 14 tahun lagi.

Malang tidak berbau, beliau terjatuh dan kaki kirinya cedera. Natijahnya, enam bulan tidak boleh berjalan. Namun dalam tempoh tersebut, masa digunakan sebaik mungkin untuk mengasah bakat nyanyian.

Akui pencinta rona merah jambu itu, ternyata ada hikmah di sebalik tragedi yang masih meninggalkan trauma dalam hidupnya.

sarah suhairi

“Itulah orang kata rezeki ALLAH tak pernah salah alamat. Mahu hilangkan rasa bosan, saya bermain muzik dan buat konten di Instagram. Tak sangka pula boleh jadi artis,“ ujarnya sambil tergelak besar.

Meskipun kenangan buruk tersebut masih bertaut, namun Sarah tidak mahu mensia-siakan skil dressage iaitu ekspresi tertinggi dalam latihan berkuda yang dimilikinya.

Dressage juga merupakan teknik kawalan kuda yang lebih teknikal yang memerlukan peserta menghafal pergerakan untuk melengkapkan tugasan yang ditetapkan pada setiap empat penjuru.

sarah suhairi

Sarah yang pernah bertanding untuk kategori tersebut bersama satu kelab terkemuka tidak menafikan beliau masih seriau untuk menunggang kuda terutamanya untuk aktiviti showjumping.

“Untuk riadah okey, tapi selebihnya tidak. Saya juga menyimpan satu impian besar. Jika satu hari nanti bisnes saya berjaya, saya mahu pergi ke negara Eropah selama sebulan hanya untuk menunggang kuda dan masuk pertandingan ekuestrian.

sarah suhairi

“Kalau ada peluang, saya mahu membeli baka kuda terbaik dan pelihara di sini,“ katanya yang percaya aktiviti berkuda mampu memberikan ketenangan jiwa.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca