UJIAN demi ujian dilalui menyaksikan betapa kuat dan tabahnya seorang wanita bernama Siti Nordiana.

Perkahwinan atas dasar suka sama suka hanya mampu bertahan tiga tahun lebih sebelum akhirnya terlerai di tengah jalan.

Hasil perkongsian hidup bersama Allahyarham Mohd Faizal Yusup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Rayyan Nakhaie.

nana

Siti Nordiana dan Mohd Faizal berkahwin pada 29 April 2006 sebelum bercerai pada 14 September 2009. Allahyarham Mohd Faizal kemudiannya berkahwin dengan Rosmunira Rashid pada 2010 sebelum meninggal dunia pada Januari 2011.

Berkesempatan menemui tuan punya badan baru-baru ini, nyata dirinya yang mesra disapa Nana tetap sama seperti dahulu.

Sopan santun, merendah diri, peramah dan sangat menyenangkan. Biarpun kemunculan artis baharu bak cendawan tumbuh selepas hujan, namun pada pandangan SinarPlus, tempias yang menimpa Nana tidak menjejaskan dirinya.

‘Jodoh’ Nana dalam industri seni tetap utuh. Pembabitan dalam program Gegar Vaganza musim kedua membuka ruang baharu buat dirinya.

Muncul juara dalam program berkenaan menjadi bonus untuk namanya lebih melonjak dan sehingga kini gah berada di persada seni.

Baca ni Saling bermaafan tak jadi saman RM2.5 juta, kes Siti Nordiana dan 5 sekawan berakhir

nana 1

Baru-baru ini, timbul pula cerita dan tanda tanya dalam kalangan peminat seni tanah air apabila melihat wanita anggun itu tampil dalam busana pengantin.

Rata-rata gembira kerana beranggapan empunya diri bakal mengakhiri zaman solonya. Namun ,telahan tersebut nyata tidak benar.

Spekulasi tersebut terjawab apabila Nana mendedahkan hal sebenar tentang kemunculannya dalam sebuah konsert tidak lama lagi.

“Saya minta maaf andai ada yang tidak berpuas hati dan anggap ia satu gimik. Sejujurnya, konsert yang bakal saya adakan kelak ibarat sebuah perkahwinan bersama peminat yang sememangnya sudah menanti lama persembahan solo saya.

“Seperti yang anda tahu, saya punyai peminat yang sangat sayangkan diri ini. Justeru, konsert tersebut adalah sebagai tanda hadiah istimewa buat mereka yang menyokong saya sejak tahun 1999 lagi,” ujarnya.

Baca lagi Siti Nordiana Sedia pertimbangkan lebih banyak tawaran lakonan

nana 2

Sekadar makluman, Nana bakal membuat persembahan sulung dalam konsert Memori Berkasih 25 Tahun di Zepp Kuala Lumpur (KL) yang akan berlangsung pada 11 Mei ini.

Bahkan empunya diri mengakui gementar dan pada masa sama teruja dengan penganjuran konsert yang julung-julung kali diadakan itu.

“Apabila dilamar Ikon Entertainment untuk membuat persembahan, memang saya seolah-olah di awang-awangan. Masakan tidak, sudah lama saya nantikan saat keemasan ini.

“Sekarang saya harus lebih menjaga stamina memandangkan ini persembahan pertama dan perlu menyanyi 25 buah lagu,” ujar Nana yang berharap semuanya berjalan lancar kelak.

Biarpun bergelar ibu tunggal, namun anak kelahiran Felda Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan itu tidak menganggap ia sebagai penghalang untuk meneruskan kerjaya sebagai anak seni.

Baca juga Siti Nordiana beri Amaran, single baru tiada kaitan dengan sesiapa

nana 3

Susuk tubuh ayah

Akui figura seni itu lagi, dia cukup bertuah kerana dikelilingi insan yang baik dan prihatin dalam membantunya sepanjang dia membesarkan anaknya itu.

Menyentuh persoalan ketiadaan susuk tubuh bernama suami dan ayah dalam syurga kecilnya, ini jawapan tulus empunya diri.

“Bertuahnya saya kerana anak tak pernah persoalkan saya sibuk dengan kerja. Sebaliknya, dia cukup memahami. Sejujurnya, bukan mudah untuk saya membesarkan anak sendirian. Ada cabaran tersendiri terutama dalam berhadapan dengan anak remaja, lelaki pula tu sedangkan saya perempuan.

“Jadi, saya memerlukan orang lain untuk ‘mewakili’ diri dan bertindak sebagai orang yang boleh bercakap tentang hal-hal melibatkan kelelakian. Biasanya abang saya ataupun anak saudara dijadikan tempat memohon bantuan,” ungkapnya penuh syukur.

Pelantun lagu Cinta Hanya Sandaran itu berkata, sebagai ibu, dia tidak menafikan cukup bertuah dikurniakan anak bernama Rayyan.

“Sejak kecil sehingga sudah memasuki 16 tahun, dia anak yang cukup memahami dan tak banyak kerenah. Ke mana-mana dan apa sahaja aktiviti akan dilakukan berdua.

“Malah, saya jadikan Rayyan sebagai kawan untuk memudahkannya bercerita apa juga masalah atau berkongsi pendapat dengan saya,” ulas Nana lagi sambil mengakui tetap menganggap anaknya itu masih kecil.

Baca juga “Saya menangis mengenangkan dosa-dosa lalu” – Siti Nordiana

nana 4

Malah, hubungan baik dan rapat dua beranak itu sering menjadi perhatian warga maya setiap kali kisah mereka dikongsikan menerusi lensa media sosial.

“Setakat ini dia memang sangat berdikari, soal dimanjakan memang lumrah sementelah dia satu-satunya anak saya.

“Tapi jika nakkan sesuatu kena usaha, biasanya saya akan minta dia siapkan kerja di rumah dan sebagainya. Biasalah, nama pun anak bujang. Bila diminta baru dia akan buat, ” kata Nana.

Keberuntungan sang ibu itu juga adalah apabila anak remajanya turut bertindak sebagai ‘penenang’ dan penasihat setiap kali dirinya down.

Iklan

“Bohonglah andai kata sepanjang masa saya gembira. Ada masa-masanya memang terduduk, menangis dan kepadanya saya bercerita.

“Biasanya saya berbuat demikian apabila diri dilanda kontroversi. Rayyan seorang anak yang bukan sahaja cepat matang, memahami, bahkan sangat ‘calm’. Dia yang selalu tenangkan diri saya. Katanya pedulikan kata-kata orang,” ungkap Nana.

Meniti usia 40 tahun, bintang drama bersiri Dia Semanis Honey itu mengakui setakat ini tiada tanda-tanda anak tunggalnya itu bakal mengikut jejak langkahnya sebagai anak seni.

Baca juga Siti Nordiana restu minat anak

nana 5

“Memang daripada kecil, dia tak menunjukkan ke arah tersebut (menyanyi), minatnya lebih kepada game. Kalau nak beli apa-apa permainan, saya takkan mudah ikut kemahuannya,” ujarnya yang mengeluarkan produk seperti Sambal Cili Kering dan Sambal Paru Goreng Berlada di bawah jenama Mader Nana.

Bagaimana pula cara Nana ‘melindungi’ anak lelakinya itu daripada pancaran cahaya glamor dan serpihan kontroversi?

Dengan jujur, anak bongsu daripada dua beradik itu mengakui buah hati pengarang jantungnya itu bukan ‘kaki skodeng’ di media sosial.

“Rayyan bukan seperti anak-anak muda seusianya yang suka melayari internet. Malah, dia juga tiada akaun sama ada Instagram, TikTok dan sebagainya. Jadi, saya tak perlu risau penerimaan dirinya.

“Sementelah, daripada dahulu dia bukan jenis yang cepat melatah atau marah bila baca berita bukan-bukan tentang saya,” ulasnya.

 

Soal hati

Iklan

Bahkan, Nana yang terkenal dengan tagline ‘leman’ memberitahu tetap akan sokong apa juga minat dan pilihan anak tunggalnya itu.

“Memang saya sangat sibuk dengan kerja. Alhamdulillah, Rayyan memahami situasi itu. Apabila di rumah, saya seorang ibu yang manja namun tegas. Ada perkara yang dia ingini dan saya tidak setuju, kami akan sama-sama duduk berbincang.

“Demikian juga bab pelajaran, saya sanggup mengupah guru khas untuk membuat kelas tambahan di rumah bagi membantu mana-mana subjek yang Rayyan lemah,” ujar Nana sambil mengakui lebih percayakan pembelajaran di sekolah berbanding persekolahan di rumah atau homeschooling.

Terus cekal mengharungi hari-hari yang mendatang, wanita tabah penuh pesona itu cukup selesa dengan status solonya yang sudah memasuki tahun ke-15.

Baca juga Kemenangan dipertikai, Siti Nordiana tak melatah

Nana 6

Ditebak soal mencari pengganti, akui tuan punya badan, sehingga kini dia tidak menutup pintu hatinya untuk berbuat demikian.

Namun, jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Sang Pencipta.

“Tiada istilah nak tunggu Rayyan dewasa baru saya nak berbuat demikian. Sementelah, dia sangat fleksibel dan tak kisah mana-mana diletakkan pun dia okay.

“Begitulah yang boleh diumpamakan tentang penerimaannya jika saya mahu cari pengganti. Memang saya ada fikir juga untuk diri sendiri, cuma sehingga kini belum bertemu yang sesuai,” jelas Nana sekali gus menutup bicara soal hati dan perasaannya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang