106 anak jutawan ‘supersperm’ bakal dapat wasiat harta RM960 juta seorang tapi kena akur satu syarat gila
MEMANG kaya gila! Bapa kepada 106 anak ini digelar 'Elon Musk dari Rusia' kerana memiliki anggaran nilai bersih sebanyak £17 bilion (lebih RM100 bilion).
Mana tidaknya, pengasas aplikasi Telegram itu sudah sedia siap-siap buat wasiat bernilai RM960 juta untuk setiap zuriatnya.
Lapor The US Sun, Pavel Durov mahu melayan semua anaknya dengan adil sama ada yang lahir melalui pendermaan sperma atau semula jadi.

“Mereka semua anak saya dan akan mempunyai hak yang sama. Saya tidak mahu mereka berpecah-belah selepas kematian saya.
“Saya ada enam anak hasil hubungan dengan tiga pasangan manakala yang lain dilahirkan daripada pendermaan sperma saya secara tanpa nama,” katanya.

Bagaimanapun, usahawan teknologi itu memberitahu, semua anak-anaknya hanya akan dapat wang itu sekurang-kurangnya untuk tempoh 30 tahun lagi.
“Saya mahu mereka hidup seperti orang biasa, bina kehidupan sendiri, belajar percaya pada diri sendiri, mampu mencipta dan bukannya bergantung kepada akaun bank.”
Difahamkan, Durov mula menderma sperma sejak 15 tahun lalu di sebuah klinik milik kawannya dan setakat ini, lebih 100 bayi telah dilahirkan melalui kaedah tersebut di 12 negara.

Cerita jutawan berusia 40 tahun itu, beliau mempunyai seorang anak lelaki yang baru dilahirkan di Dubai, namun terlepas untuk melihat momen-momen awal hidupnya.
“Dia masih belum ada passport dan saya tak sempat nak berada di sana semasa dilahirkan,” kata warganegara Perancis yang menetap di sana.

Kini, pengasas aplikasi popular dunia itu hidup dalam buangan selepas disiasat pihak berkuasa rentetan isu privasi dan pemesejan sulit melibatkan data penunjuk perasaan Ukraine.
Nak dijadikan cerita, beliau membuat wasiat tersebut kerana berasa terancam selepas enggan berkongsi data pengguna dengan perkhidmatan rahsia Rusia dan negara-negara Barat.

Durov berkata, kerjanya melibatkan risiko mempertahankan kebebasan akan menjadikan dirinya mempunyai ramai musuh, termasuk dari negara-negara berkuasa.
“Saya mahu melindungi anak-anak, demikian juga dengan syarikat yang dicipta, Telegram. Saya mahu Telegram sentiasa kekal setia pada nilai yang saya perjuangkan.”

Untuk rekod, lelaki tersebut pernah ditahan tahun lalu selepas terbang dari Azerbaijan ke Paris bersama teman wanitanya Yulia Vavilova, 24, yang merupakan seorang pemain permainan video dan jurulatih kripto.
Pihak berkuasa mendakwa Durov atas tuduhan kekurangan kawalan kandungan dalam Telegram selain keengganan bekerjasama dengan pihak penguat kuasa.

Selain itu, ciri seperti nombor pakai buang dan penggunaan kripto menjadikan platform itu seakan-akan membantu aktiviti jenayah seperti dadah, pedofilia dan penipuan.
Apabila dirinya enggan menyerahkan data penunjuk perasaan Ukraine kepada agensi keselamatan Rusia, lelaki berkenaan terpaksa melepaskan syarikatnya dan berpindah ke luar negara pada tahun 2014.

Durov menyifatkan siasatan terhadap dirinya sebagai satu perkara yang sangat tidak masuk akal.
"Hanya kerana penjenayah menggunakan aplikasi kami sama seperti aplikasi lain, itu tak bermakna orang yang menguruskannya juga adalah penjenayah.
“Kakitangan Telegram tidak boleh melihat atau membaca mesej pengguna. Sebab itu kami tidak pernah dedahkan sebarang mesej peribadi,” tegasnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

