12 tahun tak pernah potong rambut, Rapunzel Gujarat ini akhirnya buat sesuatu yang tak disangka-sangka
MEMILIKI rambut yang panjang mengurai, sihat dan cantik memang menjadi idaman setiap wanita.
Apatah lagi, jika mahkota kaum Hawa itu diiktiraf dunia sebagai rambut paling panjang di dunia.
Ya! Nilanshi Patel dari Gujarat, India memegang gelaran remaja memiliki rambut paling panjang di dunia dengan rambut sepanjang lebih dua meter.
Keunikan beliau turut dibukukan dalam Guinness Book of World Records selamat tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2018. Memang dahsyat dan gigih gadis itu ya!
Memetik laporan thequint.com, Nilanshi telah diberi jolokan Rapunzel Gujarat selepas berjaya mencipta sejarah dunia.
Pun begitu, beliau telah mengambil keputusan yang mengejutkan ramai pihak.
Masakan tidak, gadis berkulit cerah itu nekad untuk memotong rambutnya baru-baru ini.
Kata Nilanshi, dirinya mahu membawa imej baharu dengan stail potongan rambut jenis 'bob' yang menampakanya lebih matang.
Rambut yang dipotongnya itu tidak dibuang begitu sahaja, sebaliknya Nilanshi telah mendermakannya untuk dipamerkan di sebuah muzium terkenal di Amerika Syarikat.
Rambut seberat 266 gram itu difahamkan akan dipertontonkan di Muzium Ripley's Believe it or Not! di Hollywood sebelum dipaparkan di Muzium Guinness World Records.
Menurut Nilanshi, beliau menyukai imej rambut baharunya dan bangga apabila dapat menyumbang sesuatu kepada muzium di luar negara.
"Moga ramai akan lihat dan terinspirasi dengan rambut saya. Saya sangat gembira dan inilah detik perjalanan baharu buat saya.
"Saya akan cuba pecahkan rekod baharu pada masa akan datang," katanya yang bercita-cita mahu menjadi jurutera perisian itu.
Selain Nilanshi, ada beberapa individu yang dikatakan memiliki rambut paling panjang di dunia.
Antaranya Aliia Nasyrova yang berusia 31 tahun berasal dari Latvia, Rusia yang mempunyai rambut sepanjang lebih 2.26 meter.
Pun begitu, Rekod Dunia Guinness terkini menamakan Xie Qiuping dari China sebagai wanita yang memiliki rambut terpanjang di dunia.
Rekod yang dipegang iaitu lebih 5.6 meter itu dikatakan tidak pernah dipotong sejak tahun 1973 lagi. Fuh! Panjangnya setinggi saiz zirafah dewasa.
Selain itu, Savjibhai Rathwa, 68, yang berasal dari tempat yang sama dengan Nilanshi pula direkodkan sebagai lelaki yang memiliki rambut sepanjang 15 meter selepas tidak memotongnya sejak lebih 30 tahun.
Pada masa sama, seorang lelaki berusia 96 tahun di Karnataka, India yang dikenali dengan nama Doddapalliah mempunyai rambut sepanjang 7 meter.
Di Vietnam pula, seorang lelaki bernama Tran Van Hay dikatakan memelihara rambut sepanjang 6.8 meter.
Kalau diteliti, memang banyak rekod yang pelik-pelik yang cuba dicapai manusia seluruh dunia.
Pun begitu, benda yang baik-baik wajar diikuti dan dicontohi, tetapi perkara yang jelik dan pelik perlu dijauhi.
Mungkin rakyat Malaysia satu hari nanti mampu mencipta pencapaian luar biasa dan dibukukan dalam lipatan sejarah buku dunia. Siapa tahukan?
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang