KISAH tragis wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu menjadi perhatian ramai. Kes berprofil tinggi yang berlangsung sejak 16 tahun lalu itu menyentuh hati ramai.

Altantuya bersama rakan dan sepupu datang ke Malaysia pada pertengahan Oktober 2006, namun tiada siapa pun mengetahui ia adalah detik akhir hidupnya.

Selepas jasad Altantuya ditemui dalam keadaan menyayat hati pada tahun 2006, perjuangan ahli keluarga wanita yang fasih bertutur empat bahasa termasuk Rusia, Mandarin dan Perancis itu tidak pernah padam.

Bapanya Dr Shaariibuu Setev, 71, ibu, Altantsetseg Sanjaa, 71, dan anak Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal, 24 tidak pernah lelah. Anak bongsunya, Altanshagai Munkhtulga meninggal dunia pada usia 16 tahun memperjuangkan keadilan pemergian ibunya sehingga ke akhir hayat.

Pada 4 Jun 2007, Dr Shaaribuu, Altantsetseg dan kedua-dua anak lelaki Altantuya itu sebagai plaintif pertama hingga keempat, memfailkan tuntutan saman.

Keluarga berkenaan memfailkan saman terhadap Azilah Hadri sebagai defendan pertama, Sirul Azhar Umar sebagai defendan kedua, bekas penganalisis politik Abdul Razak sebagai defendan ketiga dan kerajaan Malaysia defendan keempat membabitkan tuntutan pampasan RM100 juta.

Kedatangan Altantuya pada pertengahan Oktober 2006 adalah untuk bertemu dengan defendan ketiga. Menurut keterangan saksi, Altantuya dikatakan menjalinkan hubungan dengan defendan ketiga.

Kredit foto: Sydney Morning Herald

Selepas beberapa kali gagal menemui Abdul Razak Baginda di pejabat, Altantuya ke kediaman defendan ketiga itu di Damansara Heights, Kuala Lumpur.

Pada malam 19 Oktober, Altantuya bertolak ke lokasi sama, selepas Abdul Razak bersetuju mahu bertemu.

Namun, Abdul Razak kemudian menghubungi Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar untuk ‘berurusan’ dengan si mati yang kemudian membawanya ke lokasi lain sebelum dirembak, diikat kemudian diletupkan.

Dalam perkembangan terbaru Hakim, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang kini Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan saman yang difailkan keluarga model itu berhubung kematiannya.

Berikut kronologi dan info berkenaan kes ini:

1-Prosiding dijalankan menerusi aplikasi Zoom, yang turut disertai anak Altantuya dan Kedutaan Konsulat Mongolia.

2-Keputusan membenarkan saman itu dibuat Vazeer selepas mendapati keluarga model Mongolia selaku plaintif pertama hingga ketiga berjaya membuktikan kes mereka terhadap defendan kedua dan ketiga.

3-“Berdasarkan fakta dan undang-undang, kerajaan selaku defendan keempat merupakan majikan kepada defendan pertama dan kedua, bertanggungjawab terhadap tindakan mereka yang mencabuli undang-undang.

4-“Mereka telah menjalankan tugas sebagai pegawai polis, telah menggunakan sumber yang disediakan oleh Polis Diraja Malaysia dan penghakiman dibuat atas liabiliti terhadap keempat-empat defendan,” katanya.

5-Berhubung ganti rugi yang dimohon pihak plaintif sebanyak RM100 juta, hakim berkata jumlah itu adalah berlebihan dan tidak boleh ditakrifkan berdasarkan prinsip sahaja.

6-Menurut Vazeer RM5 juta adalah adil dan memadai untuk diberikan sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan.

7-Hakim kemudiannya memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM25,000 kepada setiap plaintif.

8-Mengulas lanjut, Vazeer Alam berkata, tiada motif rasional untuk defendan pertama dan kedua itu membunuh serta meletupkan model Mongolia berkenaan.

9-“Defendan pertama telah memberitahu defendan ketiga, bahawa dia boleh ‘menghabiskan’ si mati dan dia pernah melakukannya beberapa kali sebelum ini,” katanya.

Kredit foto: NamViet News

10-Beliau berkata, satu-satunya penghubung antara mereka ialah defendan ketiga, yang mahu gangguan oleh si mati dihentikan.

11-Jika bukan kerana defendan ketiga katanya, defendan pertama dan kedua tidak akan membawa si mati ke kereta mereka daripada rumah defendan ketiga dan membunuhnya.

12-Saman dikemukakan keluarga Antantuya selepas mendakwa kematian model itu menyebabkan trauma mental dan psikologi, melayakkan kesemua plaintif dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teruk serta teladan.

Iklan

13-Plaintif menamakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar; penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan kerajaan masing-masing defendan pertama hingga keempat.

14-Bagaimanapun nama Altanshagai Munkhtulga kemudian dikeluarkan daripada senarai plaintif apabila dia meninggal dunia pada 2017.

15-Seramai 26 saksi plaintif termasuk bapa serta anak sulung Altantuya memberi keterangan dalam perbicaraan itu yang bermula pada 2019.

16-Sementara defendan iaitu kerajaan mengemukakan tiga saksi dan Abdul Razak memilih untuk tidak memberi keterangan bagi menjawab tuntutan saman itu.

17-Dalam kes ini, plaintif diwakili peguam Sangeet Kaur Deo, Tan Chee Kian dan Simranjit Kaur Chhran.

18-Bagi defendan ketiga, dia dibarisi peguam P Mithran, Avtaran Singh dan Eshwinder Kaur Gill manakala defendan keempat oleh Peguam Kanan Persekutuan, Zetty Zurina serta Khairuddin Anhar.

19-Bagaimanapun, defendan pertama dan kedua tidak diwakili peguam.

20-Pada 2008, Mahkamah Tinggi di sini membebaskan Abdul Razak daripada tuduhan bersubahat membunuh Altantuya.

Iklan

21-Namun, Azilah dan Sirul Azhar diperintah membela diri atas pertuduhan tersebut.

22-Pada 2009, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhi hukuman mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar kerana membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja antara jam 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi keesokan harinya, pada 2006.

23-Bagaimanapun, mereka dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013 selepas membenarkan rayuan kedua-dua bekas anggota UTK itu.

24-Sejurus dibebaskan, Sirul Azhar telah melancong di Australia dan kini berada di Pusat Tahanan Villawood, Sydney.

25-Pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati mereka bersalah melakukan jenayah itu.

Sumber: Sinar Harian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.