GANJA atau nama saintifiknya cannabis sativa adalah tumbuhan yang penuh kontroversi.

Ia adalah sejenis dadah yang paling kerap disalahgunakan untuk tujuan relaksasi dan memberi si pengguna perasaan seronok.

Ganja juga digunakan untuk perubatan, contohnya bagi mengurangkan sakit dan perawatan paliatif bagi mereka yang mengalami penyakit kanser di peringkat akhir hayat.

Kanada, Georgia, Malta, Mexico, Afrika Selatan, Uruguay,18 negeri, 2 wilayah, daerah Columbia di Amerika Syarikat dan ibu kota Australia adalah antara lokasi yang membenarkan penggunaan ganja secara rekreasi.

Baca juga: Tak boleh tanya soal sewa rumah, isteri nyaris dipukul suami gara-gara ketagih ketum

Pekerja rumah hijau Thailand memangkas daun ganja yang rosak.

Di rantau yang terkenal dengan hukuman keras terhadap dadah haram, Thailand menjadi negara pertama di Asia Tenggara pada 2018 menghalalkan ganja untuk penyelidikan dan penggunaan perubatan.

Dalam perkembangan terbaru, kerajaan Thailand akan mengagihkan satu juta tumbuhan ganja percuma kepada isi rumah di seluruh negara pada bulan Jun menandakan peraturan baharu membenarkan orang ramai menanam ganja di rumah.

Menteri Kesihatan Thailand, Anutin Charnvirakul mengumumkan langkah itu dan menyatakan hasratnya agar tanaman ganja ditanam seperti tanaman isi rumah.

Peraturan baharu itu yang akan berkuat kuasa pada 9 Jun membenarkan orang ramai menanam tanaman ganja di rumah selepas memaklumkan kepada pihak kerajaan tempatan.

Namun tumbuhan itu mestilah gred perubatan dan digunakan secara eksklusif untuk tujuan perubatan. Walaupun diberi kebebasan menanam, ganja tidak boleh digunakan untuk tujuan komersial tanpa lesen.

Langkah itu difahamkan sebagai langkah terbaru Thailand untuk mempromosikan ganja sebagai tanaman tunai. Menurut Bank Dunia, kira-kira satu pertiga daripada tenaga buruh Thailand bekerja dalam bidang pertanian.

Tahun lalu, syarikat minuman dan kosmetik Thai berlumba-lumba melancarkan produk yang mengandungi bahan aktif ganja iaitu hemp dan cannabidiol (CBD) selepas penggunaannya diluluskan untuk barangan pengguna.

Dalam catatan Facebook selanjutnya pada 10 Mei, Anutin menyatakan bahawa syarikat Thai yang mendaftar untuk berbuat demikian boleh menjual produk kanabis yang mengandungi kurang daripada 0.2 tetrahydrocannabinol (THC) iaitu bahan yang tidak membuatkan pengguna gian dan ketagih.

Iklan

“Ini akan membolehkan orang ramai dan kerajaan menjana lebih daripada 10 bilion baht setahun dalam hasil daripada ganja dan rami,” tulis Anutin.

Kitty Chopaka, seorang usahawan ganja yang berpangkalan di Bangkok, memberitahu CNN undang-undang itu bertujuan untuk membuka jalan kepada orang ramai menggunakan bahan tersebut dalam teh atau sup perubatan.

“Ia masih akan dianggap jenayah jika tidak mempunyai preskripsi yang sah. Untuk menggunakannya anda perlu menjadi pesakit penyakit tertentu.

“Hanya selepas itu anda akan boleh menanam ganja di rumah dan menggunakannya,” katanya.

Kredit foto: Canva

Kitty berpendapat walaupun penggunaan rekreasi dadah itu dilarang, penagihan mungkin berisiko untuk berlaku.

Di negara kita, penanaman ganja atau kanabis adalah dilarang sama sekali. Larangan ini diperuntukkan di bawah seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Iklan

Kanabis, kanabis resin, kanabis ekstrak dan kanabis tincture merupakan dadah berbahaya yang tertakluk kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga racun yang tertakluk kepada Akta Racun 1952. Sekiranya melibatkan produk berasaskan kanabis untuk kegunaan rawatan perubatan manusia, ia juga merupakan dadah dan produk yang tertakluk kepada Akta Jualan Dadah 1952. Akta-akta ini dan peraturan-peraturannya memperuntukkan kawalan ke atas pengendalian kanabis, antaranya pengimportan, pengeksportan, penjualan, pembekalan, pengilangan, penanaman, pemilikan dan penggunaan.

Baca juga: Ganja bukan sahaja buat ketagih, ini kesan sampingan menakutkan

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI