SEBUAH bandar di Nigeria, Igbo-Ora yang terletak di barat daya negara itu mencatat kadar kelahiran anak kembar yang luar biasa tinggi.

Masakan tidak, hampir setiap keluarga di sana mempunyai anak kembar atau kelahiran berbilang (multiple pregnancy).

Di Malaysia, kelahiran kembar adalah unik dan jarang-jarang berlaku. Pada tahun 2020, bilangan kelahiran hidup di negara ini ialah 487,957 yang mana 7,862 daripadanya ialah kembar dua manakala 144 pula kembar tiga.

Kadar kes kembar di negara-negara Eropah pula ialah 16 bagi setiap 1,000 kelahiran manakala Amerika Syarikat pula mencatat 33 pasang kembar bagi setiap 1,000 kelahiran.

Namun data-data di atas sama sekali tidak dapat menandingi rekod kelahiran kembar di di Igbo-Ora yang mana 158 pasangan kembar dilahirkan bagi setiap 1,000 kelahiran!

Festival kembar

Oleh kerana keunikan yang luar biasa, sebuah festival kembar dianjurkan di daerah itu sejak 12 tahun lalu bagi meraikan pasangan kembar.

Acara tahunan yang dinamakan Twin Festival itu diadakan awal bulan Oktober dan disertai lebih 1,000 pasangan kembar. Tidak hanya penduduk tempatan, ia turut menrik peserta jauh seperti Perancis.

Susulan rekod kadar kelahiran kembar, bandar yang terletak 135 kilometer (83 batu) di selatan bandar terbesar Nigeria itu mempunyai penduduk yang padat iaitu kira-kira 200,000 orang.

Unik dan luar biasa, tiada penjelasan saintifik yang boleh membuktikan keunikan etnik Yoruba di Igbo-Ora.

Ubi keladi dikatakan sebagai salah satu faktor fenomena kembar di daerah berkenaan. (Kredit foto: Pexels)

Namun kebanyakan daripada mereka percaya fenomena itu adalah kesan daripada pemakanan wanita di sana.

Masyarakat itu mengaitkan kelahiran anak kembar dengan makanan tempatan dipanggil ‘amala’ yang diperbuat daripada tepung ubi keladi.

Kembar seiras paling ramai

Manakala pakar sakit puan yang berpangkalan di ibu negara, Abuja, Dr John Ofem berkata ia mungkin disebabkan bahan yang dimakan penduduk di sana.

“Ada perkara yang mereka makan di sana yang mengandungi tinggi tahap hormon tertentu yang tinggi dan mengakibatkan keadaan dipanggil ovulasi berganda atau hiper ovulasi,” katanya.

Bagaimanapun sesetengah pihak berpendapat ia bukan disebabkan oleh hiper ovulasi kerana kadar kembar seiras yang lebih ramai. Kembar seiras adalah kehamilan yang terhasil daripada satu sel telur (ovum) yang disenyawakan yang kemudian membelah menjadi dua embrio berasingan. Justeru, fenomena kembar di sana bukan kerana hiper ovulasi.

Ubi kayu dikatakan mengandungi kadar hormon estrogen yang tinggi dan menyumbang kepada fenomena kembar di Igbo-Ora. (Kredit foto: Pexels)

Walaupun terdapat spekulasi mengatakan kelahiran kembar di sana mungkin disebabkan oleh faktor genetik, banyak penyelidikan yang dijalankan mendapati bahawa kelahiran kembar mungkin dikaitkan dengan tabiat pemakanan wanita Yoruba.

Menurut Pulse Nigeria, ubi kayu yang popular sebagai makanan etnik adalah bahan utama sajian masyarakat tempatan di sana seperti ‘amala’, ‘garri’, ‘fufu’ dan lain-lain.

Ubi kayu, ubi keladi dan daun bendi

Penyelidikan yang dijalankan di Hospital Pengajar Universiti Lagos mendapati kandungan bahan kimia yang terdapat pada kulit ubi kayu dan jenis ubi keladi tertentu menjadi faktor.

Iklan

Bahan itu juga ditemui dalam ujian yang dijalankan kepada wanita-wanita di sana.

BBC pada 2001 melaporkan pakar perunding sakit puan mengaitkan kelahiran kembar di sana disebabkan oleh faktor persekitaran.

“Bahan-bahan ini (ubi kayu) biasanya menggalakkan pembebasan lebih daripada satu sel telur yang biasanya membawa kepada kehamilan kembar. Maknanya berkemungkinan ada faktor persekitaran yang menggalakkan kandungan bahan kimia ini tinggi,” katanya.

Kredit foto: Pexels

Selain ubi kayu dan ubi keladi, wanita Yoruba juga mengambil daun bendi yang dimasak sebagai sup.

Kelahiran kembar yang ramai di Igbo-Ora memang unik dan sering menjadi perhatian seluruh dunia.

Tidak hanya Igbo-Ora, terdapat dua lagi aerah yang mempunyai kadar kelahiran yang tinggi iaitu Kodinji di India dan Candido Godoi di Brazil.

Iklan

Kodinji mencatat 44 pasangan kembar dalam 1,000 kelahiran manakala di Candido Godoi pula 100 pasangan kembar setiap 1,000 kelahiran.

Sumber: NPR, Pulse Nigeria, Outlook India, BBC

Kredit foto: AP

Foto utama: Pixabay

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi\