SEBUT sahaja penjara kita pasti akan membayangkan bilik kurungan yang dikelilingi oleh tirai besi dan penghuninya adalah mereka yang pernah melakukan jenayah atau melanggar undang-undang yang sedang menjalani tempoh hukuman.

Persepsi setiap individu mengenai kehidupan di dalam penjara adalah berbeza. Berada di dalam penjara menyekat seseorang daripada merasa kebebasan dunia luar.

Setiap banduan juga tidak akan datang ke penjara secara rela. Mereka adalah pesalah yang dikehendaki pihak berkuasa yang telah melakukan kesalahan undang-undang negara terbabit dan harus dihukum mengikut hukuman yang dikenakan.

Pelbagai andaian yang dibuat orang ramai mengenai kehidupan di dalam penjara. Namun, hanya mereka yang masuk penjara tahu apa ada di dalamnya.

Banduan ditawar pengajian sarjana muda secara sambilan

Seperti di negara jiran Singapura, lain pula kisahnya apabila Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dilaporkan telah menjalin kerjasama dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) untuk memulakan satu program Sarjana Muda Sains dalam Perniagaan dengan pengkhususan dalam logistik dan pengurusan rantaian bekalan.

Ini bermakna banduan di dalam penjara berpeluang untuk menyambung pelajaran mereka dalam jurusan yang ditawarkan.

Dimulakan pada Julai tahun lepas, program pengajian sarjana muda secara sambilan itu ditawarkan khusus untuk para banduan yang sudahpun meraih diploma semasa dalam penjara.

Iklan

Memetik laporan mediacorp.sg, seramai 53 banduan menyertai program tersebut untuk mendapatkan Diploma Amalan Perniagaan (Pengurusan Rantaian Bekalan Antarabangsa) apabila ia ditawarkan dua tahun lalu.

Daripada jumlah itu, lapan mengambil keputusan untuk menyertai program sarjana muda yang baru ditawarkan.

Kursus sambilan sepanjang lapan tahun tersebut boleh dijalani para banduan semasa di sekolah penjara, dan di SUSS selepas mereka dibebaskan.

Iklan

Menurut Naib Pengetua Sekolah Penjara, SPS, Paruk Kothari, program sarjana muda tersebut dimulakan agar para banduan dapat memanfaatkan masa mereka di dalam penjara.

Mereka percaya bahawa para banduan yang sudah meraih Diploma patut mengambil peluang keemasan itu untuk mempertingkatkan diri mereka semasa dalam penjara.