BARU sahaja meninggalkan rumah dalam jarak 2 kilometer (km) menuju ke hospital, seorang wanita di Australia bersalin di dalam kereta. Video yang dikongsikan menerusi laman sosial TikTok itu meraih perhatian warganet hingga meraih lebih 500,000 tontonan dan 30,000 tanda suka.

Wanita yang dikenali sebagai Shai difahamkan mula mengalami kontraksi bersalin anak kedua tetapi jarak hospital dan kediamannya agak jauh iaitu 57km.

“Jarak antara rumah dan hospital adalah 57km. kami hanya sempat menaiki kereta dan bergerak 2km dari rumah.

“Pesan saya, terus ke hospital apabila anda mengalami kontraksi,” kata ibu berkenaan pada ruangan komen.

Shai kelihatan berbaring pada tempat duduk penumpang di di bahagian hadapan dibantu pasukan paramedik. Apa yang menarik, wanita itu begitu mudah melahirkan tanpa perlu meneran.

Baca juga: Meninggal dunia mengejut, catatan terakhir arkitek sarat hamil menyentuh hati, luah ‘angin tak lepas’

Kredit foto: Pexels

Warga maya rata-rata menzahirkan syukur menyaksikan kelahiran bayi berkenaan.

Tidak kurang ada berkongsi pengalaman sendiri bersalin di dalam kenderaan.

-“Saya dulu lewat 5 minit sahaja bersalin dalam kereta. Nasib baik langgar lampu isyarat.”

-“Saya hampir bersalin dalam ambulans. Sampai sahaja di hospital tidak sampai 5 minit terus beranak.”

-“Ketika ke hospital masa bersalin anak kedua, saya baru berbaring untuk periksa jantung (CTG) tetapi tiba-tiba bersalin. Baby tidak sabar hendak keluar.”

-“Hanya terlewat enam minit kerana lampu isyarat, saya bersalinkan anak sulung dalam kereta.”

-“Dahulu masa kakak ipar hendak bersalin, saya sambut dalam kereta. Keika itu abang sedang memandu. Saya masih berumur 16 tahun terpaksa jadi bidan terjun.”

-“Syukur ibu dan anak selamat.”

Kelahiran anak atau bersalin adalah satu proses yang berlaku pada akhir kehamilan.

Ia berlaku apabila selaput ketuban, janin dan uri keluar dari rahim ibu yang dimulakan dengan kontraksi yang berterusan pada rahim menghasilkan pembukaan serviks (pangkal rahim).

Proses bersalin terbahagi kepada tiga peringkat iaitu fasa pertama, kedua dan ketiga yang bermaksud:

Fasa pertama

Berlaku pengecutan rahim yang berterusan setiap 10-30 minit dan kadar pengecutan ini meningkat perlahan-lahan, menghasilkan pembukaan pangkal rahim hingga mencapai 10 sentimeter (cm).

Show (lapisan mukus bercampur darah) akan terkeluar dan diikuti dengan pecah selaput ketuban.

Fasa kedua kelahiran
Pengecutan otot rahim yang kuat dan berterusan menyebabkan bayi dikeluarkan dari rahim melalui faraj.

Selepas bayi dilahirkan, tali pusat bayi yang menghubungkan bayi kepada uri masih melekat pada ibu akan dikepit dan kemudian dipotong.

Fasa ketiga kelahiran
Pada masa ini berlaku proses pemisahan uri dari rahim ibu dan ia berlaku lebih kurang 15 hingga 30 minit selepas bayi dilahirkan.

Ibu hamil disarankan untuk merancang kelahiran dengan cara selamat bagi memastikan ia dikendalikan oleh individu terlatih dalam persekitaran yang bersih dan sesuai.

Baca juga: Bukan 44 hari, gaya hidup sihat seumur hidup, Dr Amalina kongsi 8 amalan selepas bersalin

Kredit foto: Pexels

Pelbagai risiko dan komplikasi boleh berlaku kepada ibu dan bayi jika individu yang menyambut kelahiran tidak mempunyai kemahiran dan peralatan perubatan lengkap dalam memberi bantuan kecemasan.

Risiko dan komplikasi ke atas ibu:

1-Peningkatan dan penurunan tekanan darah boleh berlaku semasa proses kelahiran yang boleh mengakibatkan kematian sekiranya tiada rawatan.

Iklan

2-Mengalami sakit bersalin berpanjangan yang mungkin menjurus kepada keperluan untuk bersalin dengan bantuan peralatan atau pembedahan.

3-Melalui kelahiran yang sukar (obstructed labour) dan boleh mengakibatkan rahim pecah (uterine rupture) seterusnya menyebabkan pendarahan dan kematian.

4-Mengalami lekat uri dan cebisan selaput mentuban yang mengakibatkan pendarahan yang banyak dan menjurus kepada kematian sekiranya tidak dirawat.

5-Mengalami koyakan teruk pada vagina dan jika tidak dirawat boleh mengakibatkan pendarahan dan jangkitan kuman.

6-Berisiko mendapat jangkitan kuman jika menggunakan peralatan yang tidak dibasmi kuman.

Baca juga: Wanita harungi detik cemas, bersalin dalam kereta beberapa jam selepas hospital minta balik ke rumah

Gambar hiasan (Kredit foto: Pexels)

Risiko dan komplikasi ke atas bayi :

1-Bayi lemas yang disebabkan oleh kemungkinan kedudukan bayi yang tidak normal seperti menyongsang, menyerong atau melintang.

Iklan

Ini mengakibatkan kelahiran tersekat, tali pusat terkeluar dahulu dan bayi lemas kerana tiada pemeriksaan dijalankan terhadap bayi dalam kandungan.

2-Kemasukan air ketuban yang dicemari oleh najis bayi dalam kandungan (meconium) ke dalam saluran pernafasan bayi boleh mengakibatkan pernafasan tersekat dan jangkitan paru-paru.

3-Dijangkiti kuman jika menggunakan peralatan yang tidak dinyahkuman ketika memotong tali pusat.

4-Mengalami suhu badan terlalu rendah (hypothermia) yang mengakibatkan kekurangan penyerapan oksigen dan boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat segera.

Baca juga: Wanita dibuang kerja terima pampasan RM39,000 gara-gara hamil lagi ketika cuti bersalin

Sumber: TikTok iamshaiigirl, MyHealth KKM

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi