ANAK sulung merupakan buah cinta yang amat dinanti-nantikan oleh setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga. Kehadiran anak sulung merupakan pengalaman pertama menjadi seorang ibu dan bapa.

Anak sulung biasanya dilihat menjadi subjek eksperimen bagi ibu bapa baru bergelar ibu ayah pada pertama kali. Jika sebelum kehadiran anak kedua, anak yang sulung ditatang bagai minyak yang penuh. Namun keadaan mula berubah. Anak yang sama terpaksa mula berdikari apabila kehadiran ‘orang baru’ iaitu anak kedua dan seterusnya.

Si sulung juga turut dididik dengan pendekatan ‘keras’ atau ‘terlalu bertoleransi’ sehingga ada kalanya keperluan mereka seolah-olah diketepikan. Ramai ibu bapa meletakkan beban termasuk mengasuh adik-adik pada usia awal sehingga anak sulung ini tidak ada ruang untuk diri sendiri. Perasaan mereka langsung tidak diambil peduli malah anak-anak sulung sering disisihkan oleh kedua ibu bapanya.

Melalui satu perkongsian video dilaman media TikTok, tular video seorang bapa yang merampas belon kepunyaan anak sulungnya lalu diberikan kepada si adik. Dalam video tersebut juga, pemilik video, Dr Faiz Hayaza menceritakan apabila belon si anak sulung iaitu seorang kanak-kanak perempuan diambil oleh bapanya untuk diberikan kepada adik, si kakak menangis dengan kuat kerana enggan belonnya diberikan pada si adik.

Kredit foto: Pexels

Pemilik video berasa sangat sedih dan tersentuh dengan insiden yang berlaku di depan matanya. Beliau yang juga merupakan seorang pakar psikologi kanak-kanak, remaja dan keluarga berasa sangat kasihan dengan kanak-kanak perempuan itu lalu bertindak membelikan belon untuk diberikan kepada kanak-kanak perempuan tersebut.

Dalam video tersebut, Dr Faiz Hayaza menerangkan alasan dia sanggup membelikan belon untuk anak orang lain. Beliau berharap agar belon yang diberikan pada kanak-kanak perempuan itu mampu mengubati luka hati seorang anak.

“Di sini saya ingin menjelaskan alasan saya melakukan hal tersebut. Apabila saya melihat seorang anak yang belonnya tiba-tiba diambil ayahnya, dan belon itu diberikan kepada adiknya dan si kakak menangis.

“Seringkali kita orang tua gagal mempertahankan hal-hal kecil yang dialami anak, padahal pengaruh masa kecil boleh terbawa-bawa sampai dewasa. Saya hanya berharap belon yang saya berikan hari itu boleh mengubati luka hati seorang anak,” katanya.

Perkongsian video tersebut umpama satu tamparan kepada ibu bapa yang sering mengenepikan soal perasaan anak-anak sulung. Mungkin kisah ini nampak biasa sahaja dan kerap berlaku dalam kalangan masyarakat kita namun kesannya amat menyentuh hati.

Penulis dan pendidik ilmu keibubapaan, Taufiq Razif menerusi laman sosial Facebook berkongsi tentang tanda-tanda ketidakadilan ibu bapa terhadap anak-anak.

Berikut perkongsian beliau:

Lima tanda ibu bapa sudah mula tidak adil dengan sebahagian anak-anak:

1. Nada dan intonasi suara berbeza bila bercakap dengan anak yang lain
Ada anak yang selalu ditengking dan dibebel biarpun tidak membuat apa-apa kesalahan. Padahal ada juga adik beradiknya yang suka buat salah tapi mak ayahnya masih mengekalkan nada suara yang lembut dan perlahan.

Iklan

2. Hanya pandang pada skor anak sahaja
Anak yang skor A lebih diberikan pujian berbanding anak yang skor C. Mungkin anak yang skor C ini sudah bermati-matian belajar cuma mungkin anak itu kategori late boomers yang mana perlukan masa yang sedikit lama untuk belajar dan skor dalam pelajarannya.

3. Mengagungkan anak yang tertentu di depan adik beradiknya
Anak yang lebih berharta dan lebih tinggi prestasi akademiknya dipuji secara berlebihan di depan adik beradiknya. Pada mulanya anak yang lain mungkin akan turut termotivasi tetapi jika terlalu berlebihan, keyakinan diri anak yang lain akan mula jatuh dan rasa diri tidak berguna akan mula muncul dalam diri mereka.

Kredit foto: Pexels

4. Melebihkan eye contact pada anak tertentu sahaja
Tanpa sedar eye contact mak ayah itu lebih banyak pada anak tertentu sahaja. Anak anak sebenarnya sensitif dan tahu bila mak ayahnya lebihkan atau kurangkan eye contact pada diri mereka. Kurangnya eye contact bermakna kurangnya ikatan emosi mak ayah pada anak-anak.

5. Melebihkan si adik daripada si abang dan kakaknya
Adik yang dimanja berlebihan akan dianggap threat ataupun ancaman pada abang dan kakaknya. Walaupun si adik kelihatan lebih memerlukan perhatian tapi jangan sampai kakak dan abangnya kita sisihkan. Kita tidak mahu rasa cemburu sesama adik beradik bertukar menjadi sengketa dan perbalahan apabila mereka sudah meningkat dewasa.

Iklan

Sumber: Tiktok faiz.hayaza, Taufiq Razif

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi