Bayi ajaib, Sofia dilahirkan sebesar tapak tangan selamat, terus bertahan

A
A
A

Oleh: ARZIANA MOHAMAD AZAMAN

PROSES kelahiran bagi ibu-ibu, lazimnya berlaku selepas cukup tempoh matang kira-kira sembilan bulan 10 hari.

Pun begitu, ada segelintir bayi terpaksa dilahirkan dalam keadaan pramatang atas beberapa faktor yang tidak boleh dielakkan.

Bagi sesetengah kes, terdapat bayi di bawah berat bawah 2 kilogram.

Dalam kes seperti itu, kebanyakan mereka tidak dapat 'bertahan lama' akibat komplikasi organ dalaman yang belum sempurna.

Pun begitu, kisah Sofia Viktoria yang dilahirkan dengan berat 500 gram menjadi bayi pramatang paling muda yang berjaya hidup di United Kingdom.

Lapor mirror.co.uk, Sofia dilahirkan sebesar tapak tangan orang dewasa.

Beliau ditahan di wad selama empat bulan lamanya.

Si comel itu dilahirkan pada 2 Oktober tahun lalu, sedangkan tarikh jangkaan kelahirannya adalah pada 1 Februari lalu.

Bercerita mengenai kelahiran yang tidak disangka itu, ibunya, Egija Birina berkata, perutnya memulas dan berlaku kontraksi ketika usia kandungan 22 minggu.

"Seminggu sebelum itu, saya hadiri rutin pemeriksaan dan imbas kandungan seperti biasa, tiada tanda-tanda mahu bersalin kerana saya beranggapan akan bersalin pada tempoh yang dijangkakan.

"Bila sudah rasa sakit, saya terus ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Tidak sangka bila doktor kata sudah ada bukaan dan saya perlu dibawa ke bilik bersalin," ceritanya.

Pun begitu, selepas Birina diminta berehat selama 10 hari di katil tanpa sebarang pergerakan (bed rest), akhirnya Sofia selamat dilahirkan dengan tangisan cukup kuat.

Kata Birina, anaknya sangat kecil sebesar tapak tangan manakala kulitnya boleh nampak sehingga ke bahagian dalam.

"Saya perlu tunggu seminggu untuk pegangnya buat pertama kalinya dan keadaannya sangat fragile. Sebaik sahaja dapat pegang dan peluk, tiada siapapun boleh pisahkan kami," katanya dengan nada terharu.

Siapa sangka, si comel itu mampu bertahan pada usia sebegitu.

Barangkali itu satu keajaiban buat mereka sekeluarga ditambah dengan kelengkapan penuh yang disediakan di Hospital Universiti Wishaw di Lanarkshire Utara, United Kingdom memang memberangsangkan.

Pada awalnya, bayi perempuan comel itu dikatakan hanya ada 10 peratus peluang untuk terus hidup selepas dilahirkan, namun kuasa ALLAH, tiada siapa mampu menidakkannya.

SinarPlus difahamkan, si kecil itu menghabiskan masa tiga bulan pertama di dalam inkubator dan bertarung nyawa kerana beberapa isu kesihatan kritikal.

Antaranya kecacatan jantung hingga pendarahan otak tahap satu, penyakit mata, pramatang retinopatireti dan beberapa jangkitan lain.

Bukan itu sahaja, Sofia juga memerlukan tujuh pemindahan darah dan rawatan susulan di Hospital Diraja Untuk Kanak-kanak Glasgow.

Anak sulung pasangan itu juga mengalami simptom gangguan pernafasan kerana paru-parunya tidak berkembang sepenuhnya.

Meskipun sudah dibenarkan pulang pada 10 Februari lalu, bayi ajaib tersebut masih memerlukan alat bantuan pernafasan dengan tiub yang dipasang sepanjang berada di rumah.

Buat ibu-ibu yang berdepan risiko kelahiran pramatang, jangan bimbang kerana masih ada harapan untuk kelangsungan hidup.

Birina menitipkan kata-kata semangat kepada semua ibu supaya jangan mudah berputus asa dan berharap kisahnya dapat memberikan inspirasi kepada semua.

Benar, jika si ibu kuat harungi dugaan, secara automatik anak pun akan kuat. Doa ibu yang tiada hijap.

Foto: (Image: NHS Lanarkshire/SWNS.COM)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang