'Being different is a superpower' – Autisme jadi kekuatan, bukan kekurangan. Kisah Greta Thunberg cetus inspirasi dunia
AKTIVIS alam sekitar Sweden, Greta Thunberg, sekali lagi menjadi tumpuan dunia apabila dilaporkan antara lebih 70 individu pelbagai kewarganegaraan yang dibenarkan meninggalkan Israel selepas ditahan ketika menaiki flotilla bantuan Gaza yang dipintas tentera negara itu.
Menurut kenyataan rasmi beberapa kerajaan, kumpulan tersebut termasuk 28 warga Perancis, 27 warga Greece, 15 warga Itali dan sembilan warga Sweden. Seramai 21 warga Sepanyol pula sudah tiba di negara mereka pada Ahad, manakala 28 lagi masih kekal ditahan.

Misi flotilla itu bukan sesuatu yang mudah. Ia membawa risiko tinggi dan memerlukan keberanian luar biasa untuk menyertainya.
Namun, bagi Greta yang baru berusia 22 tahun, tindakan itu bukan sekadar simbolik. Gadis yang pernah didiagnosis dengan autisme (Asperger’s / Gangguan Spektrum Autisme) itu sememangnya terkenal dengan pendirian tegas terhadap keadilan dan prinsipnya dalam memperjuangkan isu alam sekitar serta kemanusiaan.
Persoalan menarik dilontarkan oleh Sha Ramson Abdullah, seorang individu autistik dan ADHD, melalui satu perkongsian di Facebook.
“Macam mana seorang gadis autistik boleh berani naik kapal flotilla yang penuh risiko, sedangkan ramai orang biasa pun gentar, takut?”
Sha menulis dengan penuh kekaguman terhadap keberanian Greta. Dalam tulisannya, wanita itu menegaskan bahawa autisme bukan penghalang untuk seseorang melakukan perkara besar, sebaliknya menjadi sumber kekuatan luar biasa.
"Bagi Greta, keberanian bukan datang daripada tiada rasa takut, tetapi kerana keyakinan yang kuat terhadap matlamatnya.
"Greta pernah berkata, “Being different is a superpower.” Kata-kata itu menjadi inspirasi besar buat ramai individu dalam komuniti Autistik di seluruh dunia.
"Orang Autistik sering mempunyai keupayaan unik yang dipanggil hyperfocus – tumpuan luar biasa terhadap sesuatu perkara yang mereka pedulikan. Apabila minda mereka terarah kepada sesuatu yang dianggap penting, mereka akan memberi seluruh jiwa dan tenaga untuk melakukannya," ujarnya lagi.

MINDA AUTISTIK
Fokus Greata juga katanya adalah krisis iklim dan keadilan global. Ketegasannya menolak penerbangan udara demi mengurangkan jejak karbon dan kesanggupannya menyertai flotilla yang berisiko adalah bukti bagaimana prinsip boleh mengatasi rasa takut.
Ramai yang mungkin melihat tindakannya sebagai ekstrem, namun bagi seseorang dengan minda autistik, konsistensi terhadap nilai diri adalah satu bentuk kejujuran yang tidak boleh digadaikan.
Sha turut menjelaskan bahawa orang autistik biasanya tidak terlalu terpengaruh dengan tekanan sosial atau pandangan orang lain. Mereka berfikir lurus ke arah matlamat utama dan tidak mudah goyah.
"Bagi Greta, matlamatnya jelas, selamatkan bumi, bukan jaga perasaan orang.
"Prinsip itu menjadi pendorong kuat untuknya mengatasi segala rasa takut terhadap laut, polis atau media.
'Walaupun kelihatan seolah-olah Greta bergerak sendirian, hakikatnya beliau disokong oleh keluarga dan pasukan aktivis yang memahami keperluannya. Sokongan sebegini amat penting bagi individu autistik.
"Apabila mereka berada dalam persekitaran yang teratur, mempunyai struktur dan orang yang dipercayai, tahap kecemasan mereka dapat dikawal dengan lebih baik.
Sha turut menerangkan dengan mendalam tentang konsep hyperfocus. Ia bukan sekadar minat biasa, tetapi keadaan di mana seseorang boleh memberi tumpuan mendalam sehingga melupakan dunia luar.

Ada kanak-kanak autistik yang mampu mengingati setiap nama dinosaur lengkap dengan tarikh fosilnya ditemui, manakala orang dewasa pula boleh menulis, melukis, atau membaca selama berjam-jam tanpa henti.
"Namun, hyperfocus juga ada dua sisi. Ia boleh menjadi kelebihan apabila menghasilkan kerja berkualiti tinggi, tetapi pada masa sama boleh menjadi cabaran apabila terlalu tenggelam hingga lupa makan atau sukar berhenti.
"Walau bagaimanapun, bagi ramai individu autistik, keadaan ini adalah ruang di mana mereka benar-benar merasa hidup dan tenang," dedahnya.
Sha mengingatkan masyarakat bahawa setiap individu autistik adalah berbeza.
"Walaupun berada dalam spektrum yang sama, setiap seorang mempunyai fokus dan kekuatan tersendiri.
"Ada yang tertarik pada isu alam sekitar seperti Greta, ada yang menumpukan minat kepada seni, teknologi, sejarah, haiwan atau bidang akademik.
"Keunikan inilah yang menjadikan dunia autisme kaya dengan warna dan perspektif.
“Bila kita bertemu autistik yang lain, itu bukan bermakna kita mesti sama. Tidak. Setiap autisme itu berbeza,” tulis Sha dengan jujur.
Baginya, perbezaan bukanlah halangan, tetapi cermin untuk saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.

Sha menutup perkongsian dengan pengakuan yang cukup menyentuh hati.
“Saya Sha, disahkan Autisme + ADHD dan sedang belajar cara hidup mengikut kapasiti diri dan keperluan neurologi saya sebagai individu neurodivergen.”
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
